Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Program $15j baru tangani potensi wabak penyakit haiwan-manusia

Mar 5, 2024 | 5:54 PM
Singapura mempunyai sekitar 210 kilometer laluan alam semula jadi atau nature ways dan lebih 380 kilometer penghubung taman.
Singapura mempunyai sekitar 210 kilometer laluan alam semula jadi atau nature ways dan lebih 380 kilometer penghubung taman. - Foto fail

Lembaga Taman Negara (NParks) telah melancarkan Program Penyelidikan Pemantauan Bio atau Biosurveillance baru di bawah Pelan Penyelidikan, Inovasi dan Perusahaan 2025 (RIE2025) untuk membolehkan pengesanan awal dan campur tangan terhadap potensi wabak penyakit zoonotik.

Zoonotik adalah penyakit yang boleh berjangkit daripada haiwan kepada manusia.

Program berjumlah $15 juta itu juga bertujuan memperkasa pihak berkepentingan industri dan masyarakat serta orang ramai dengan pemahaman lebih mendalam tentang pencegahan zoonosis.

Ini akan membantu menangani cabaran penyakit kesihatan awam yang disebabkan oleh perubahan iklim dan pergerakan merentas sempadan manusia dan haiwan sebagai sebahagian daripada usaha NParks untuk meningkatkan daya tahan ekologi dan melindungi kesihatan dan keselamatan awam.

Mengumumkan demikian, Menteri Negara Kanan (Pembangunan Negara), Encik Tan Kiat How, berkata pemantauan bio adalah penting sebagai “pertahanan terhadap wabak penyakit zoonosis”.

Pemantauan bio merangkumi pengesanan dan pemantauan ancaman kesihatan keselamatan negara, dalam populasi manusia dan haiwan, makanan, air, pertanian dan alam sekitar.

Encik Tan berkata, NParks sudah pun bekerjasama dengan agensi OneHealth lain termasuk Kementerian Kesihatan (MOH), Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA), Agensi Makanan Singapura (SFA) dan agensi air negara (PUB) dalam pelbagai usaha.

Ini termasuk pemantauan dan analisis data kesihatan haiwan dan penunjuk alam sekitar untuk mengesan dan bertindak balas terhadap penyakit dengan pantas, sekali gus mengelak wabak daripada menular.

Menyentuh program baru yang dilancarkan, Encik Tan berkata:

“Kami akan meningkatkan penyelidikan melalui Program Penyelidikan Pemantauan Bio baru bernilai $15 juta.

“Program ini akan memanfaatkan kepakaran dan teknologi baru yang muncul merentasi pelbagai disiplin, seperti genomik, pemodelan penyakit dan biologi vektor untuk meningkatkan pemahaman kami tentang pemacu utama penularan penyakit zoonotik di Singapura.

“Ini akan membantu kami untuk membangunkan strategi mitigasi yang lebih berkesan.”

Dalam ucapannya juga, Encik Tan memberi kemas kini berkaitan visi Singapura menjadi Bandar Dalam Alam Semula Jadi atau City in Nature.

Beliau berkata setakat ini, Singapura mempunyai sekitar 210 kilometer laluan alam semula jadi atau nature ways dan lebih 380 kilometer penghubung taman.

Singapura juga telah memulih dan menambah baik lebih 40 hektar habitat hutan, pantai dan marin sejak 2020. Jumlah tersebut bererti Singapura telah mencapai separuh sasarannya untuk memulihkan 80 hektar habitat hutan, pantai dan marin menjelang 2030.

Di samping itu, lebih 640,000 pokok telah ditanam sehingga Januari 2024 dengan bantuan lebih 100,000 anggota masyarakat sejak pelancaran gerakan, Satu Juta Pokok, pada 2020.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg