Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Program $25j dilancar tingkat keupayaan S’pura faham, ramal cuaca

Mar 4, 2025 | 6:23 PM
Kajian Perubahan Iklim Negara ketiga Singapura, yang diketuai Pusat Penyelidikan Iklim Singapura (CCRS) di bawah Khidmat Kaji Cuaca Singapura (MSS), meramalkan suhu yang lebih tinggi, tempoh hujan dan kering yang lebih ekstrem, serta peningkatan purata paras laut menjelang penghujung abad ini.
Kajian Perubahan Iklim Negara ketiga Singapura, yang diketuai Pusat Penyelidikan Iklim Singapura (CCRS) di bawah Khidmat Kaji Cuaca Singapura (MSS), meramalkan suhu yang lebih tinggi, tempoh hujan dan kering yang lebih ekstrem, serta peningkatan purata paras laut menjelang penghujung abad ini. - Foto fail

Khidmat Kaji Cuaca Singapura (MSS), di bawah Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) telah melancarkan program bernilai $25 juta untuk meningkatkan keupayaan Singapura memahami dan meramalkan cuaca bandar tropika negara itu, termasuk cuaca ekstrem yang timbul daripada perubahan iklim.

Demikian dikongsi Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu, semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) Kementerian Kemampanan dan Sekitaran (MSE) pada 4 Mac.

Dibiayai oleh Pelan Penyelidikan, Inovasi dan Perusahaan 2025, Program Penyelidikan Sains Cuaca (WSRP) kini dibuka untuk cadangan penyelidikan daripada institusi penyelidikan tempatan.

Memberi butiran lanjut, MSE dan NEA, dalam satu kenyataan pada 4 Mac, berkata melalui program tersebut, MSS bertujuan membangunkan keupayaan sains cuaca dalam ekosistem penyelidikan negara.

Pusat Penyelidikan Iklim Singapura (CCRS) akan bekerjasama dengan institut pengajian tinggi (IHL) dan institut penyelidikan untuk meningkatkan ramalan cuaca bagi Singapura dan rantau ini dengan menggabungkan perkembangan saintifik dan teknologi terkini dalam bidang tersebut.

Kajian Perubahan Iklim Negara ketiga Singapura, yang diketuai oleh CCRS di bawah MSS, meramalkan suhu lebih tinggi, tempoh hujan dan kering yang lebih ekstrem, serta peningkatan purata paras laut menjelang penghujung abad ini.

Dalam pada itu, penyelidik akan menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk menggabungkan data daripada pelbagai sumber, yang berpotensi meningkatkan ramalan hujan lebat dan angin kencang.

“Program tersebut juga akan membangunkan sistem ramalan cuaca lanjutan yang mengambil kira bagaimana cuaca tempatan dipengaruhi oleh keadaan laut dan darat, yang boleh meningkatkan keupayaan kita untuk meramalkan fenomena seperti ribut Sumatera.

“Saintis juga akan menyelidik cara-cara baru untuk memasukkan pemerhatian cuaca, seperti daripada satelit persekitaran yang mengorbit kutub dan radar berasaskan darat, bagi menghasilkan ramalan cuaca yang lebih teliti dan tepat pada masanya,” kata kenyataan itu.

Salah satu inisiatif utama di bawah program tersebut adalah mencipta analisis semula untuk sejarah cuaca yang terperinci, bagi beberapa dekad kebelakangan ini, untuk Asia Tenggara.

Set data yang komprehensif daripada analisis semula itu akan memberikan pandangan berharga mengenai corak cuaca masa lalu dan menyediakan set data yang berguna untuk memanfaatkan AI dalam ramalan cuaca tempatan.

Projek WSRP itu dijangka dianugerahkan pada separuh kedua 2025.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg