Minatnya terhadap teknologi bermula seperti kebanyakan generasi muda, dengan rasa ingin tahu yang menariknya kepada pemprograman atau programming.
Namun tidak seperti yang lain, Encik Arash Nur Iman Mohd Ali Shaifuddin, tidak berhenti di situ sahaja.
Pada usia 20 tahun, pelajar Politeknik Ngee Ann (NP) itu sudah membina bot pintar berasaskan model bahasa besar atau Large Language Model (LLM), memimpin masyarakat pembangun teknologi, dan membantu menganjurkan bengkel pemprograman merentas zon masa – kesemuanya sebelum menamatkan pengajiannya.
Encik Arash baru sahaja menamatkan pengajian diploma dalam Teknologi Maklumat pada 8 Mei, dengan Gred Mata Purata (GPA) sempurna iaitu 4.0.
Dengan pencapaian luar biasa itu, beliau turut menerima Anugerah Lee Kuan Yew dan Anugerah Pencapaian Cemerlang NP (Pelajar Terbaik).
“Saya rasa minat saya dalam teknologi bermula dari kecil, saya suka menggodek-godek alat elektronik dan cuba fahami bagaimana sesuatu itu berfungsi,” jelasnya.
Semasa di sekolah rendah, Encik Arash menyertai Kelab Teknologi Infokom (ICT) dan beliau mula terdedah kepada dunia komputer.
Namun minatnya terhadap pemprograman hanya benar-benar berputik semasa di sekolah menengah iaitu Sekolah Sains dan Teknologi Singapura (SST), apabila beliau menyertai program bakat ICT sekolahnya, SST Incorporated.
“Bila saya belajar pengekodan buat kali pertama dan hasilkan sesuatu, saya sedar bahawa ini bukan sekadar untuk saya sendiri, malah saya boleh kongsi ciptaan itu dengan orang lain.
“Dari situ, semangat saya semakin membara,” ujarnya.
Salah satu projek peribadi Encik Arash yang menarik perhatian adalah ‘5.0 GPA Student’, iaitu chatbot kecerdasan buatan (AI) berasaskan pemesejan Discord, yang beliau bina menggunakan model generatif seperti ChatGPT dan Gemini.
“Saya buat chatbot itu sebagai eksperimen kerana saya mahu cuba sesuatu yang baru dan kongsi dengan rakan-rakan. Saya nak mereka rasa seronok dan tidak takut cuba teknologi baru seperti AI,” katanya.
Menurut Encik Arash, ramai yang melihat teknologi sebagai sesuatu yang kompleks.
Maka, misinya adalah untuk mempermudahkannya, dengan menjelaskan konsep rumit secara ringkas, agar lebih ramai orang selesa mendekati dunia teknologi.
Namun perjalanannya tidak tanpa cabaran.
“Saya hadapi banyak kegagalan teknikal – tersekat masa pengekodan, tak tahu mana silapnya. Tapi ini perkara biasa sebagai seorang pengaturcara. Ia ajar saya agar lebih sabar dan kreatif,” akuinya.
Beliau turut berpegang kepada konsep “belajar sambil berkongsi” dan percaya bahawa setiap ilmu yang diperoleh perlu didokumentasi dan dikongsi dengan rakan-rakan.
Justeru, beliau bertekad memupuk budaya pemprograman menerusi beberapa kelab minat dan kegiatan kokurikulum (CCA) di kampus NP.
Minatnya dalam menghubungkan orang ramai dengan teknologi mendorongnya untuk meyandang jawatan kepimpinan dalam beberapa kumpulan berkepentingan khas IT di NP.
Ini termasuk jawatan sebagai Presiden Kelab Pemprograman Overflow, sebagai Peneraju Teknologi untuk kumpulan NullSec, dan Pengerusi Teknologi untuk kumpulan Orion, yang kesemuanya mengadakan acara berkaitan dengan keselamatan siber dan kemahiran IT.
“Saya percaya ilmu patut dikongsi, dan bila ramai orang daripada latar belakang berbeza datang bersama dan berbincang tentang teknologi, kita akan dapat hasil yang lebih baik dan inklusif,” kongsinya.
Selain itu, Encik Arash turut menganjurkan hackathon dan bengkel bagi mendekatkan golongan belia dengan dunia teknologi.
Beliau bercadang melanjutkan pendidikan di luar negara sebelum berkhidmat dalam sektor awam.
“Saya harap dapat terlibat dalam projek yang benar-benar membawa manfaat kepada rakyat, seperti yang dilakukan oleh Agensi Teknologi Pemerintah (GovTech), contohnya Singpass dan FormSG.
“Saya mahu bina sesuatu yang memberi kesan positif kepada kehidupan ramai,” kata Encik Arash dengan penuh harapan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg