Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Program, aktiviti di RKM bantu penghuni bangkit semula

Jan 31, 2025 | 5:30 AM
Arif (bukan nama sebenar) merupakan penghuni Rumah Kebajikan Muhammadiyah (RKM) sejak Februari 2024.
Arif (bukan nama sebenar) merupakan penghuni Rumah Kebajikan Muhammadiyah (RKM) sejak Februari 2024. - Foto BH oleh KHALID BABA

Menyelam adalah salah satu sukan baru yang Arif (bukan nama sebenar) ceburi semasa di Rumah Kebajikan Muhammadiyah (RKM) – aktiviti yang tidak pernah dia terokai akibat penderaan yang dialaminya di rumah.

Sejak Februari 2024, RKM menyediakannya bukan sahaja tempat perlindungan bagi dirinya malah peluang pulih dan membina semula kehidupan melalui pelbagai program dan aktiviti.

Bagi Arif, RKM kini menjadi tempat perlindungannya, rumahnya. 

Bercakap dengan Berita Harian (BH), Arif berkata: “RKM adalah tempat selamat untuk saya; terdapat banyak program yang disediakan untuk saya dan rakan-rakan. Antaranya ialah bola sepak dan menyelam.

“RKM telah membantu saya memperoleh kemahiran menyelam. Ia merupakan kali pertama saya mencubanya dan mendapat sijil.”

Kemahiran lain termasuk memasak melalui program Masterchef yang dijalankan RKM.

Arif juga menjalani sesi kaunseling bersama pegawai RKM yang sentiasa mendengar masalahnya serta memberi nasihat dan dorongan.

Di samping itu, Arif menerima sokongan moral daripada rakan penghuni yang berkongsi pengalaman dan saling membantu.

“Saya gembira kerana mereka sentiasa memeriksa keadaan saya supaya saya dapat menyesuaikan diri dan menghadapinya dengan baik di sini,” ujar Arif, salah seorang daripada 41 penghuni di RKM buat masa ini.

Dia ditempatkan di RKM akibat penderaan yang dialaminya semasa tinggal di rumah bapa saudaranya, setelah ayahnya menumpangkannya di sana susulan perpisahan ibu bapa Arif.

Selama beberapa bulan dia dikatakan dipukul bapa saudaranya dan mukanya ditampal dengan pita pelekat sebagai hukuman jika nakal, imbau Arif.

Kes Arif ini dikategorikan sebagai kes penderaan kanak-kanak yang kurang teruk, atau kes Tahap 1, mengikut definisi Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF).

Kes-kes ini diawasi agensi masyarakat seperti Pusat Khidmat Keluarga (FSC), Pusat Pakar Perlindungan Kanak-Kanak (CPSC) dan Pusat Pakar Perlindungan termasuk Khidmat Bersepadu bagi Pusat Pakar Perlindungan Individu dan Keluarga.

Antara cabaran terbesar yang dihadapi Arif ketika mula ditempatkan di RKM adalah menyesuaikan diri dengan struktur kehidupan di sana, termasuk jadual bangun dan tidur yang teratur.

Namun, “pegawai-pegawai RKM dan penghuni melakukan pemeriksaan atau ‘check-in’ secara berkala untuk memastikan kesejahteraan setiap hari”.

Meskipun perjalanan hidupnya berbeza daripada orang lain, dia berharap dapat terus memperbaiki diri dan menjadi insan yang baik.

“Saya juga berharap tidak perlu lagi berjauhan daripada keluarga dan dapat bersatu semula dengan ibu,” kata Arif.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg