Satu program bimbingan rintis akan dilancarkan Galeri Warisan Geylang Serai (GSHG), bagi memberi peluang kepada penggiat warisan memperdalam amalan mereka, menjangkau khalayak baharu serta mengangkat kisah, masyarakat dan warisan hidup yang sekian lama membentuk identiti Geylang Serai.

Program tersebut di bawah inisiatif warisan makanan Melayu, Sendok Rakyat, dan disokong WGS, akan meneroka tradisi masakan komunal melalui hidangan asam pedas.

Program itu yang akan diadakan pada 18 Julai di WGS, menggabungkan memori dan rasa, untuk menggalakkan peserta merenung bagaimana proses masakan dipengaruhi orang tercinta.

Ia mengambil satu pendekatan yang menggalakkan perbincangan di antara peserta tentang persiapan sesuatu masakan dengan cara makanan itu dapat meninggalkan kesan terhadap orang lain.

Program bimbingan Galeri Warisan Geylang Serai (GSHG) diharapkan membolehkan orang ramai mengenali warisan Geylang Serai dengan lebih baik.
Program bimbingan Galeri Warisan Geylang Serai (GSHG) diharapkan membolehkan orang ramai mengenali warisan Geylang Serai dengan lebih baik. - Foto GSHG

Program bimbingan ini menghimpunkan penggiat daripada pelbagai bidang Warisan Budaya Tidak Ketara (ICH) seperti makanan dan pertukangan tradisional, untuk menggalakkan masyarakat mengenali warisan hidup Geylang Serai dengan lebih baik.

Menurut Lembaga Warisan Negara (NHB), program seperti ini memberikan orang ramai peluang untuk meneroka dan merakam warisan hidup Geylang Serai, serta menggalakkan masyarakat, termasuk golongan belia untuk menghargai kekayaan warisan di kawasan tersebut.

Sepanjang enam bulan akan datang, sembilan lagi program yang meraikan kisah-kisah masyarakat dan Geylang Serai bakal dianjurkan bersama rakan kongsi bidang warisan.

Antaranya adalah program anjuran kedai minyak wangi Aroma Nostalgia, dan Sendok Rakyat yang menghidupkan memori Geylang Serai dengan menggunakan deria bau.

Ia akan meneroka bagaimana bau seperti kelapa, serai, dan salak mengingatkan orang tentang Geylang Serai dan mengaitkan bau kepada sebuah tempat serta masa.

Program tersebut, yang akan diadakan pada 22 Ogos, mengambil satu pendekatan berbeza daripada Kelab Masakan Geylang Serai.

Peserta akan berjalan kaki dan dibawa sekeliling Geylang Serai untuk melihat bagaimana suatu bau itu saling berkait dengan memori kita.

Satu lagi program pula, anjuran artis visual, Cik Hafizah Jainal, atau lebih dikenali sebagai HAFI, menggalakkan peserta mentafsir dan melukis semula gambar keluarga lama untuk menghasilkan sebuah karya yang baharu sambil berkongsi tentang kenangan mereka.

Program tersebut pula akan dianjurkan pada 28 November.

Orang ramai yang berminat untuk menyertai program bimbingan ini boleh mendapatkan maklumat lanjut menerusi Instagram, @sendokrakyat.

Pendaftaran program akan diumumkan secara berperingkat dan kesemuanya boleh dibayar menggunakan Pas Budaya SG.