Buat julung-julung kalinya, Festival Belia DKSG bakal diadakan bagi meraikan penglibatan golongan belia dalam seni dikir barat di Singapura.

Bertemakan ‘Rentas Belia’, ia merupakan satu usaha menghimpun penggiat dikir dalam kalangan belia daripada pelbagai institusi pengajian tinggi.

DKSG ialah singkatan bagi Dikir Singapura.

Festival itu akan berlangsung pada 11 Julai di Taman Warisan Melayu (TWM), dari 12 tengah hari hingga 8.30 malam.

Bertitik daripada buah fikiran belia sendiri, festival tersebut merupakan anjuran Sanggar (kumpulan wacana budaya), Kumpulan Dikir Barat Universiti Nasional Singapura (NUS Dikir) serta TWM dan Berita Harian (BH) sebagai rakan kerjasama.

Sebanyak 15 program berbeza telah disusun, merangkumi bengkel, wacana, persembahan dan siaran langsung podcast.

Bukan sahaja berpusat pada kegiatan dikir semata, festival itu membuka peluang mendedahkan belia kepada aspek warisan budaya yang lebih luas.

Justeru, para pengunjung dapat menjangkakan program yang melibatkan karyawan Melayu/Islam dan penggiat budaya daripada pelbagai bidang berbeza.

Antara program yang bakal diadakan ialah sesi perkongsian bertajuk Kuasa Belia: Mengarusperdanakan Suara Muda Melalui Warisan, dengan barisan panelis terdiri daripada pemimpin belia seperti Encik Jihad Suhaimi (Membina Community), Encik Syazwan Majid (Wan’s Ubin Journal) dan Encik Ramadhan Siron (Kelana Purba).

Sesi perkongsian tersebut akan menyelongkar kepentingan belia dalam menjadi pemimpin, khususnya dalam bidang warisan serta cabaran yang dihadapi mereka.

Program seperti Integrasi Dimensi dalam Dikir dan Membayang Semula Pengalaman Pedagogi Dikir menonjolkan sifat seni dikir barat yang merentas pelbagai dimensi termasuk teknologi dan seni lain seperti tarian, teater dan genderang.

Bagi kanak-kanak dan seisi keluarga, mereka boleh turut serta dalam program sesi bermain bersama Karya Kulture untuk permainan boneka dan Genbano bagi aktiviti interaktif dengan genderang.

Berbeza dengan acara dikir barat yang lazimnya diisi sekadar persembahan, festival itu memberi fokus terhadap pembinaan jaringan dan pemerolehan ilmu pengetahuan melalui sesi wacana sesama belia.

Justeru, mengangkat belia sebagai ‘pembentuk’ budaya yang berkembang, festival yang diadakan pada minggu Hari Belia itu bertujuan memupuk semangat tanggungjawab bagi penggiat muda yang ingin memajukan seni tersebut.

Mengulas lanjut tentang hal itu, Pengarah Festival dan Pengasas bersama Sanggar, Encik Muhammad Ilyia Kamsani berkata:

“Festival ini disusun oleh belia untuk belia. Ia melambangkan kepentingan peranan belia dalam mendorong kemajuan warisan.

“Justeru, belia boleh mengubah dunia selagi warisan budaya tidak dipandang enteng.

“Sejarah telah membuktikan – idealisme dan daya juang dalam kalangan belia lahir daripada pendayaannya melalui warisan budaya.

“Demi masyarakat yang lebih sejahtera, inilah yang dinamakan “Rentas Belia” – keberanian mengharungi warisan merentasi zaman.”

Pengurus Besar TWM, Encik Mohamed Hafiz Mohamed Sharif, pula menambah:

“Usaha Festival Belia DKSG ini merupakan salah satu cara bagaimana satu seni Melayu dapat terus dilestarikan kerana ia melibatkan usaha membicarakan seni dan budaya dalam segi wacana.

“Wacana seni amat penting supaya masyarakat boleh terus memahami apa yang mereka lihat (program atau persembahan seni).”