Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Program bantu lebih banyak keluarga susah belajar agama di rumah

Gabungan hasil usaha sama antara MTFA dengan Pergas
Feb 27, 2025 | 9:31 PM
(Dari kiri) Ketua Pegawai Eksekutif Pergas, Ustazah Nurdiana Hanim Abdul Rahman; Presiden Pergas, Ustaz Muhammad Tarmizi Wahid; Presiden MTFA, Encik Abdul Rahman Mohd Hanipah; Ketua Pegawai Eksekutif MTFA, Dr Abdul Qader al-Aidaroos di majlis memeterai Memorandum Persefahaman (MOU) bagi program ‘Ulum Ihsan pada 27 Februari.
(Dari kiri) Ketua Pegawai Eksekutif Pergas, Ustazah Nurdiana Hanim Abdul Rahman; Presiden Pergas, Ustaz Muhammad Tarmizi Wahid; Presiden MTFA, Encik Abdul Rahman Mohd Hanipah; Ketua Pegawai Eksekutif MTFA, Dr Abdul Qader al-Aidaroos di majlis memeterai Memorandum Persefahaman (MOU) bagi program ‘Ulum Ihsan pada 27 Februari. - Foto BH oleh MUHD HAZMAN ABD AZIZ

Lebih ramai keluarga kurang berkemampuan dijangka dapat mempelajari ilmu agama di rumah melalui peluasan sebuah program pendidikan Islam, ‘Ulum Ihsan.

Program itu, yang menyediakan ilmu agama asas seperti Fardu Ain dan Al-Quran, dijangka dapat mengerahkan lebih ramai asatizah untuk membawa pendidikan Islam berstruktur langsung ke rumah golongan tersebut.

Ini selepas Persatuan Dana Amanah Muslimin (MTFA) dan Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas) menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) pada 27 Februari di pejabat Pergas.

Daripada 74 pelajar sedia ada, program itu merancang mengembangkannya kepada sekurang-kurangnya 200 pelajar di 30 rumah menjelang akhir 2025, dengan setiap rumah menampung enam hingga tujuh pelajar dalam persekitaran pembelajaran yang mesra dan selesa.

Berkongsi kepada Berita Harian (BH), Ketua Pegawai Eksekutif MTFA, Dr Abdul Qader al-Aidaroos, berkata ketika MTFA melancarkan program itu pada 2024, ia mendapat sambutan menggalakkan.

Namun, cabaran terbesar yang dihadapi ialah mendapatkan asatizah yang komited dan terlatih untuk dipadankan dengan keluarga-keluarga itu.

Maka itu, beliau percaya kolaborasi terkini mampu mengatasi cabaran yang dihadapi.

“Kerjasama ini sebenarnya mengatasi salah satu halangan terbesar yang kami hadapi dan kami bukan sahaja mendapatkan asatizah, bahkan asatizah terlatih dan berkelayakan dari pihak berkuasa agama itu sendiri.

“Jadi, saya rasa ini adalah antara pencapaian terbaik kami tahun ini (2025) dan kami berharap kerjasama ini dapat berkembang lebih jauh daripada apa yang telah kami capai,” ujarnya.

Menurut Dr Abdul Qader, ‘Ulum Ihsan bermula dengan satu isi rumah semasa dilancarkan namun menjelang akhir 2024 jumlah itu meningkatkan kepada 10 isi rumah tangga.

MTFA menyasarkan tambahan 20 isi rumah pada 2025. Setakat ini, terdapat tiga asatizah yang mengendalikan program itu.

Bagi menarik lebih ramai keluarga untuk mempelajari ilmu agama dan menyediakan rumah mereka sebagai lokasi pembelajaran, MTFA akan memberikan insentif kepada mereka.

Dr Abdul Qader berkata: “Dengan cara ini, kami mengumpulkan keluarga dan jiran-jiran bukan hanya untuk berjumpa atau berbincang secara informal (tidak rasmi), tetapi bersama mempelajari agama.

“Kami memberikan insentif kepada keluarga yang menjadi tuan rumah agar dapat memasak makanan, menyediakan minuman, dan menyediakan hidangan ringan untuk kanak-kanak.

‘Ulum Ihsan adalah program pendidikan percuma yang dilancarkan pada 2024 oleh MTFA, khusus untuk benefisiari mereka, seperti keluarga berpendapatan rendah, ibu bapa tunggal, anak yatim, serta golongan memerlukan.

Sejajar dengan itu, Ketua Pegawai Eksekutif Pergas, Ustazah Nurdiana Hanim Abdul Rahman, berpendapat asatizah harus terus aktif ‘on the ground’, membimbing dan melayani semua segmen masyarakat, terutama mereka yang kurang mendapat perhatian.

Walaupun ‘Ulum Ihsan menawarkan pengajian asas, cara penyampaiannya berbeza disebabkan pelajar daripada latar belakang berbeza, katanya.

“Asatizah perlu lebih menitikberatkan sudut sensitiviti kerana golongan ini datang daripada latar belakang berbeza. Mereka mungkin tidak seperti masyarakat ataupun golongan yang biasa ke masjid atau ke pusat pengajian.”

Menurutnya, asatizah perlu menjalani latihan penyedaran atau ‘sensitization training’ supaya dapat menyesuaikan cara pengajian mereka untuk golongan tersebut.

Kolaborasi Pergas juga sesuai dengan salah satu pelan strategi empat tahun Pergas iaitu untuk menghantar asatizah atau menggembleng tenaga mereka supaya dapat mendampingi masyarakat daripada setiap golongan.

Memandang ke hadapan, Ustazah Nurdiana berharap melalui kolaborasi itu, ia mampu membawa keluarga itu melanjutkan pengajian di masjid ataupun institusi Islam.

“(Kolaborasi) ini amat penting kerana MTFA merupakan organisasi yang mempunyai klien yang ramai di estet perumahan yang mempunyai latar belakang yang berbeza.

“Mereka juga akur penduduk memerlukan pendidikan Islam dari asas untuk mereka lebih selesa supaya satu hari nanti dapat pergi ke masjid untuk menyambung pengajian mereka ataupun ke institusi pengajian Islam,” ujarnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg