Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tawar program pengajian Islam berstruktur kepada orang ramai

Institut Pengajian Islam Pergas (IPIP) lakar program meliputi peringkat asas, diploma dan sarjana
Dec 13, 2024 | 5:30 AM
Pelajar Nur Adriana Muhammad Sa’at (dua dari kiri), bersama rakan sekelasnya yang menghadiri program Sijil Pengajian Islam Remaja (SPIR), mendapat bimbingan daripada Ustazah Khadijah Ramli (kiri) ketika mengikuti jejak pembelajaran, atau ‘learning journey’, ke Pergas Green Space.
Pelajar Nur Adriana Muhammad Sa’at (dua dari kiri), bersama rakan sekelasnya yang menghadiri program Sijil Pengajian Islam Remaja (SPIR), mendapat bimbingan daripada Ustazah Khadijah Ramli (kiri) ketika mengikuti jejak pembelajaran, atau ‘learning journey’, ke Pergas Green Space. - Foto INSTITUT PENGAJIAN ISLAM PERGAS (IPIP)

Institut Pengajian Islam Pergas, atau dikenali sebagai IPIP, menawarkan program pengajian Islam yang berstruktur dari pada program asas kepada diploma dan seterusnya peringkat sarjana.

IPIP juga menyediakan kursus jangka pendek, seperti Pengajian Al-Quran dan Pengajian Bahasa Arab.

Program IPIP yang pelbagai ini merupakan pengajian Islam di bawah naungan Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas).

Menurut Ketua Jabatan Pendidikan Islam Pergas, Ustaz Muhammad Hasan Masnin, tempoh kursus yang ditawarkan di IPIP juga tergantung pada pengajian yang dipilih pelajar.

Program yang ditawarkan terbuka kepada semua, tanpa mengira usia dan tahap kefahaman mereka.

“Tempoh kursus kami bergantung pada pengajian yang dipilih pelajar, daripada sesingkat satu bulan bagi kursus Modular Program Takrif Islam (PTI), hingga tempoh penuh empat tahun bagi program diploma dan ijazah sarjana muda kami.

“Sebagai contoh, program IPIP terbuka kepada semua lapisan masyarakat, tanpa mengikut tahap pendidikan ukhrawi mereka.

“Bagi yang baru ingin memulakan pengajian Islam daripada peringkat asas, mereka boleh mengikuti Program Takrif Islam (PTI) atau Pengajian Al-Quran (PAQ), manakala mereka yang sudah mempunyai asas boleh melanjutkan pengajian melalui Sijil Pengajian Islam (SPI) atau Sijil Lanjutan Pengajian Islam,” jelas Ustaz Muhammad Hasan.

Ustaz Muhammad Hasan berkata antara pelajar yang telah mengikuti program anjuran IPIP itu merupakan pekerja dewasa, belia dan ibu bapa.

Ada juga golongan pelajar ‘matang’ yang terus berdedikasi dan mengikuti pembelajaran yang ditawarkan di institut tersebut.

“Pelajar dan alumni kami merangkumi golongan pekerja, ibu bapa serta belia yang sedang melanjutkan pelajaran di universiti tempatan.

“Bahkan, terdapat juga sebilangan individu berumur 50 tahun ke atas yang menyertai dan menghargai program kami.

“Kesemua program kami dijalankan secara pembelajaran teradun (blended learning), kecuali program yang mempunyai medium pembelajaran khusus, seperti subjek Program Takrif Islam Online,” kata Ustaz Muhammad Hasan.

Menurutnya, kebanyakan program yang ditawarkan melalui dua pilihan jadual: iaitu secara ekspres (dua kali seminggu) atau secara mingguan (sehari seminggu).

Jadual itu dibuat khusus bagi memenuhi keperluan individu yang bekerja, dengan sesi diadakan selepas waktu bekerja atau pada hujung minggu.

Ustaz Muhammad Hasan turut menjelaskan, visi IPIP adalah mahu menjadi institusi pendidikan Islam yang unggul dalam membentuk insan soleh (yang baik) musleh (mampu membaiki orang lain) ke arah melahirkan khaira ummah atau bermaksud umat yang terbaik (terbilang).

“Misi IPIP adalah menerajui Pendidikan Islam di Singapura bagi melahirkan generasi Du’at (golongan pendakwah atau ulama) dan masyarakat yang beriman, serta menghayati dan menegakkan amar makruf nahi mungkar, atau bermaksud ‘perintah untuk mengerjakan yang baik dan larangan mengerjakan perbuatan yang keji,” tambahnya.

Bagi Cik Norasykin Omar, 48 tahun, beliau telah menghantar anaknya, Nur Adriana Muhammad Sa’at, 16 tahun, untuk mengikuti program Sijil Pengajian Islam Remaja (SPIR).

Program SPIR itu sepanjang empat tahun dan dikhususkan untuk remaja berusia dari 13 tahun.

Nur Adriana telah mengikuti SPIR sejak 2023, dan 2024 merupakan tahun kedua dia mengikuti program tersebut.

“Saya mahu anak saya mempunyai kededua kelayakan dan mempunyai ilmu ukhrawi dan sekular. Saya rasa program kendalian Pergas ini adalah batu loncatan untuk anak saya mendalami ilmu ukhrawi dengan lebih teratur dan sempurna.

“Saya berharap anak saya membesar menjadi Muslimah yang berjaya dan mempunyai ilmu asas Islam yang kukuh. Jika anda perhatikan, ramai juga orang dewasa yang tidak mempunyai ilmu agama Islam yang mendalam, dan akhirnya tidak tahu kewajipan dan tanggungjawab sebagai seorang Muslim atau mengetahui rukun Islam yang sebenar,” jelas Cik Norasykin, seorang ejen hartanah.

Cik Norasykin berkata beliau akan menghantar dan menggalakkan anaknya untuk mengikuti program diploma pada peringkat selanjutnya.

Baginya, seseorang perlu cemerlang dan mendalami ilmu agama, agar kehidupan disaluti dengan nilai murni, teras yang utuh serta berjaya dunia dan akhirat.

“Bagi saya, mendalami ilmu agama Islam itu satu keperluan, dan saya amat yakin dengan pembelajaran di Pergas sejak dahulu lagi ketika institusi ini masih berada di kawasan Playfair Road lagi,” kata Cik Norasykin dengan penuh keyakinan.

Untuk pertanyaan dan maklumat lanjut, sila lungsuri laman web, https://ipip.sg

IPIP terletak di Wisma Indah, 448 Changi Road, #03-01, Singapura 419975. Atau hubungi talian 6346-9350.

Ikuti Facebooknya di Institut Pengajian Islam Pergas atau Instagram IPIP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg