Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Program bantuan Kolam Ayer bolehkan penerima pilih barang runcit yang diperlukan

Dec 3, 2023 | 6:24 PM
PERKASA PENDUDUK: Cik Saerah Sapet (duduk di kerusi roda) boleh mengambil barang runcit pilihannya menerusi usaha bantuan Kolam Ayer Cares yang dijalankan bak di pasar raya.
PERKASA PENDUDUK: Cik Saerah Sapet (duduk di kerusi roda) boleh mengambil barang runcit pilihannya menerusi usaha bantuan Kolam Ayer Cares yang dijalankan bak di pasar raya. - Foto LIANHE ZAOBAO

Dahulu, bantuan barang runcit dan keperluan lain yang diterima Cik Saerah Sapet, 72 tahun, ditentukan penderma dan beliau tidak boleh memilih barangan yang benar-benar diperlukannya.

Perkara itu boleh menyebabkan pembaziran.

Kini, beliau boleh memilih barang yang benar-benar diperlukannya.

Cik Saerah antara penduduk Kolam Ayer yang menerima bantuan program Kolam Ayer Cares. Inisiatif itu, yang bermula pada April 2021, bertujuan meringankan beban kos perbelanjaan isi rumah berpendapatan rendah bagi pendudukan di kawasan itu.

Ia juga ingin mengelakkan pembaziran apabila bantuan yang diagih bukan yang mereka perlukan.

Pada 3 Disember, bantuan itu diadakan di dewan Blok 67A, Geylang Bahru yang disusun bak pasar raya. Penerima bantuan datang ke situ dan mengambil barang yang mereka perlukan. Setiap penerima diberi kupon untuk mengambil 10 barang runcit.

Lebih 300 penduduk meraih manfaat daripada bantuan Kolam Ayer Cares.

Bercakap kepada Berita Harian, Cik Saerah, penduduk Kolam Ayer selama 18 tahun, berkata: “Dua-dua cara ada baiknya, tapi cara baru ini lebih bagus sebab kami dapat ambil barang yang kami perlu.”

Cik Saerah, seorang pesara pergi ke sana bersama anaknya, dan antara lain, menggunakan kupon untuk mengambil serbuk pencuci baju, sabun pencuci pinggan, minyak masak, mihun, madu dan teh.

Barang runcit dan keperluan lain itu disumbang oleh individu dan kumpulan masyarakat semasa aktiviti mengumpul derma. Mereka termasuk Joyre Group, The Salvation Army and Institut Kesihatan Sian Chay.

Bantuan itu dijalankan semasa satu lawatan masyarakat menteri ke Kolam Ayer. Anggota Parlimen GRC Jalan Besar, Dr Wan Rizal Wan Zakariah, menemani Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, semasa kunjungannya ke sana.

Dr Wan Rizal berkata: “Kami percaya memberi beg cenderahati atau sesuatu yang generik tidak akan membantu penduduk, kerana ada dalam kalangan mereka mempunyai masalah kesihatan dan tidak boleh makan sesetengah makanan berlebihan. 

“Oleh itu, kami ingin memperkasa penduduk untuk memilih apa yang mereka mahu.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg