Pelajar tahun ketiga Politeknik Republic (RP) berpeluang meraih pengalaman secara langsung dalam industri biofarmaseutikal melalui satu inisiatif baru yang dikenali sebagai Program Kemajuan Bakat (TAP).
Dilancarkan semasa acara Rumah Terbuka RP pada 9 Januari, TAP merupakan inisiatif pertama seumpamanya dalam kalangan politeknik tempatan untuk mempersiapkan pelajar bagi industri biofarmaseutikal yang kian berkembang.
Menurut satu kenyataan media oleh pihak RP, program tersebut dibangunkan hasil kerjasamanya dengan Lembaga Pembangunan Ekonomi (EDB) dan Majlis Penasihat Pengeluar Biofarmasi (BMAC) yang merangkumi 16 syarikat sains bioperubatan.
Dengan program itu, pelajar akan dapat belajar dengan lebih mendalam serta pengalaman praktikal yang selaras dengan Rangka Kerja Kemahiran Pembuatan Biofarmaseutikal yang menjadikan mereka lebih bernilai bagi pihak majikan.
Program itu turut memastikan saluran bakat mampan bagi industri biofarmaseutikal yang berkembang secara pantas di Singapura.
Satu ciri utama termasuk latihan amali selama 36 minggu pada tahun terakhir pengajian mereka (tahun ketiga) yang ditujukan untuk memberi pelajar pendedahan pengalaman kepada pelbagai syarikat biofarmaseutikal.
“Inisiatif ini dapat mempersiapkan pelajar dengan kemahiran dan pendedahan relevan untuk menyumbang kepada industri selepas pelajar tamat pengajian,” kata naib presiden kanan penjagaan kesihatan EDB, Cik Goh Wan Yee.
Pengetua dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) RP, Cik Jeanne Liew, turut menekankan kepentingan kerjasama antara RP dengan syarikat firma biofarmaseutikal.
“Kolaborasi lama antara sekolah RP dengan syarikat biofarmaseutikal terkemuka penting bagi penghasilan graduan yang bersedia untuk industri.
“Program TAP bukan sahaja menutup jurang antara pendidikan dengan industri, malah memperkasa graduan untuk berkembang maju dan mahir dalam dunia yang semakin kompetitif,” ujar beliau.
Sekitar 360 pelajar daripada program diploma berkaitan dengan bidang sains dan kejuruteraan RP layak memohon memasuki program tersebut pada Tahun Akademik (AY) 2025.
Jumlah itu akan bertambah kepada sekitar 1,000 pelajar pada 2027.
Menurut RP, jawatan yang tersedia bagi program itu akan diubah setiap tahun, mengikut keperluan syarikat.
Sebelum ini, pelajar Sekolah Hospitaliti (SOH) RP turut berpeluang meraih bimbingan kerjaya dan latihan sambil bekerja yang lebih tersusun, serta peluang pekerjaan sepenuh masa selepas tamat sekolah.
Dengan kemahiran dan pengalaman yang diraih, lulusan berpeluang menerima tawaran pekerjaan sepenuh masa pada jawatan lebih tinggi, dengan gaji tambahan hingga 10 peratus, daripada syarikat yang menawarkan mereka program sambil belajar itu.
“
“Kolaborasi lama antara sekolah RP dengan syarikat biofarmaseutikal terkemuka penting bagi penghasilan graduan yang bersedia untuk industri. Program TAP bukan sahaja menutup jurang antara pendidikan dengan industri, malah memperkasa graduan untuk berkembang maju dan mahir dalam dunia yang semakin kompetitif.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg