Usaha meningkatkan pendidikan, penyelidikan dan menarik bakat terbaik antarabangsa dalam jurusan kecerdasan buatan (AI) di Universiti Teknologi Nanyang (NTU) akan diperkukuh dengan suntikan hadiah $6 juta daripada Yayasan Chen Yidan.
Yayasan tersebut, yang dimulakan oleh Dr Charles Chen Yidan, yang juga pengasas utama syarikat Internet, Tencent, mengikrarkan hadiah tersebut pada 3 Disember untuk memperluas sempadan pendidikan dan penyelidikan AI, serta memacu kepimpinan pemikir AI.
NTU juga akan menubuhkan Jawatan Profesor Yidan AI untuk membentuk program akademik dan penyelidikan universiti dalam jurusan tersebut.
Berucap semasa majlis penyampaian cek yang diadakan di kampus NTU, Dr Charles berkata:
“Yayasan Chen Yidan komited untuk memupuk ekosistem pendidikan yang pelbagai melalui usaha kerjasama.
“Kami menantikan peranan AI yang kian berkembang dalam membentuk masa depan pembelajaran.”
Beliau turut menambah bahawa NTU sentiasa berada di barisan hadapan dalam inovasi berbilang disiplin serta sikap terbukanya terhadap pendidikan AI, penyelidikan dan aplikasi inovatif telah memudahkan kerjasama itu.
“Kami berharap perkongsian ini akan membawa kepada kemajuan yang berkesan kepada penyelidikan dan kerjasama antara Singapura dengan China,” ujar Dr Charles.
Presiden NTU, Profesor Ho Teck Hua, turut meluahkan penghargaannya atas sumbangan Yayasan Chen Yidan untuk menubuhkan Jawatan Profesor AI NTU.
Menurutnya, ia akan membantu menarik bakat terbaik untuk merintis dan model pendidikan dalam bidang AI yang pesat berkembang.
“Hadiah ini menunjukkan komitmen teguh yayasan ini bagi pembangunan dunia yang lebih baik dengan pendidikan serta sejajar dengan misi NTU untuk memupuk para lulusan yang sedia menghadapi masa depan,” kata Profesor Ho.
Menyusuli majlis itu, Dr Chen turut menyertai sesi perbincangan kesan AI yang tak terputus terhadap pendidikan yang dikendalikan oleh Naib Presiden (AI dan Ekonomi Digital) dan Dekan Kolej Pengkomputeran dan Sains Data (CCDS) di NTU, Profesor Luke Ong.
“AI adalah salah satu keutamaan NTU disebabkan kuasanya yang bakal mengubah masa depan orang ramai.
“Jawatan Profesor Yidan AI mengukuhkan kepimpinan NTU dalam bidang ini, membolehkan kami menarik bakat terbaik serta memajukan pendidikan dan penyelidikan berbilang disiplin di barisan hadapan dalam Inovasi AI,” tambah Profesor Ong, yang telah berkhidmat sebagai Profesor Unggul Universiti di NTU sejak 1 Ogos 2022.
Tambahan pula, NTU berkata dalam satu kenyataan akhbar bahawa mereka bakal menganjurkan Forum Global NTU dalam jurusan pendidikan di China bermula 2027.
Persidangan yang dijangkakan berlangsung selama dua hari sekitar setiap tahun, akan menghimpunkan para penyelidik dan pemimpin bertaraf dunia untuk berkongsi pandangan dan penyelidikan yang inovatif.
“
Hadiah ini menunjukkan komitmen teguh yayasan ini (Yayasan Chen Yidan) bagi pembangunan dunia yang lebih baik dengan pendidikan serta sejajar dengan misi NTU untuk memupuk para lulusan yang sedia menghadapi masa depan.Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg