Pendidikan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

ITE, ST Engineering lancar kemudahan latihan bagi selenggara, baiki, enjin pesawat

May 15, 2025 | 8:19 PM
Satu Memorandum Persefahaman telah ditandatangani oleh Pengetua, ITE College Central Encik Seng Chin Chye (dua dari kiri),  dan Ketua Perkhidmatan Enjin, ST Engineering Encik Tay Eng Guan (dua dari kanan). Majlis menandatangani MoU ini telah disaksikan oleh Menteri Negara (Perdagangan dan Perusahaan merangkap Kebudayaan, Masyarakat dan Belia), Encik Alvin Tan, Ketua Pegawai Eksekutif ITE Cik  Low Khah Gek (kiri),  dan Presiden Aeroangkasa Komersial, ST Engineering, Encik Jeffrey Lam (kanan).
Satu Memorandum Persefahaman telah ditandatangani oleh Pengetua, ITE College Central Encik Seng Chin Chye (dua dari kiri), dan Ketua Perkhidmatan Enjin, ST Engineering Encik Tay Eng Guan (dua dari kanan). Majlis menandatangani MoU ini telah disaksikan oleh Menteri Negara (Perdagangan dan Perusahaan merangkap Kebudayaan, Masyarakat dan Belia), Encik Alvin Tan, Ketua Pegawai Eksekutif ITE Cik Low Khah Gek (kiri), dan Presiden Aeroangkasa Komersial, ST Engineering, Encik Jeffrey Lam (kanan). - Foto ITE

Institut Pendidikan Teknikal (ITE) dan syarikat ST Engineering telah melancarkan sebuah kemudahan latihan bagi penyenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) enjin pesawat pada15 Mei.

Diberi nama Makmal Latihan Kemahiran, Pengetahuan dan Inovasi Aviasi Suai Tugas (Onboarding@SKILL), kemudahan tersebut adalah yang pertama yang memberi tumpuan kepada MRO enjin pesawat – dihasilkan dengan kerjasama antara sebuah institusi pendidikan dengan ST Engineering.

Tetamu terhormat Menteri Negara (Perdagangan dan Perusahaan merangkap Kebudayaan, Masyarakat dan Belia), Encik Alvin Tan turut hadir di pelancaran kemudahan latihan baru itu yang diadakan di Kolej ITE Cenral pada 15 Mei.

Dalam ucapannya Encik Tan berkata pada masa hadapan dengan adanya minat pelaburan kukuh dalam sektor aeroangkasa, Singapura menjangkakan lebih daripada 2,500 pekerjaan akan dihasilkan dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.

“Justeru belia kita boleh menjangkakan bekerja dalam industri aeroangkasa dan kami ingin menyediakan mereka dengan baik untuk mendakap peluang ini,” katanya.

Beliau menambah bahawa Onboarding@SKILL melangkaui pembelajaran teori.

Ia memberi tumpuan kepada pengalaman praktikal, secara langsung dengan teknologi canggih masa kini yang membentuk semula proses MRO dan dikerahkan oleh syarikat seperti ST Engineering.

“Sebagai contoh, pelajar akan dapat menggunakan sistem realiti tambahan untuk pemeriksaan enjin aero secara bebas tangan, mengendalikan lengan robot untuk penggilapan automatik dan menguasai simulator sel ujian enjin maya untuk diagnostik.

“Persekitaran latihan yang dinamik ini memastikan pelajar kami kekal mendahului teknologi yang baru diperkenalkan dan mencapai kemahiran yang berkaitan dengan industri,” tambah Encik Tan.

Menurut kenyataan ST Engineering pada 15 Mei, dianggarkan lebih daripada 380 pelajar dan pelatih akan menjalani latihan setiap tahun dengan Onboarding@SKILL mencerminkan proses sebenar dalam industri MRO.

Kemudahan itu dilengkapi dengan peralatan canggih terkini serta beberapa teknologi bijak yang digunakan ST Engineering bagi mempertingkatkan kecekapan, ketelitian dan keselamatan dalam operasi MRO.

Makmal latihan khusus ini akan menjadi jambatan penting antara latihan akademik dengan keperluan industri, menawarkan laluan berstruktur bagi pelajar ITE mendaftarkan diri dalam kursus Kejuruteraan Aeroangkasa di peringkat Higher Nitec untuk tempoh tiga tahun, bermula 2026.

Menerusi latihan secara langsung di Onboarding@SKILL serta peluang bekerja sambil belajar dengan ST Engineering, pelajar akan dilengkapi sepenuhnya dengan kemahiran relevan bagi mengejar kerjaya bermakna dalam MRO aviasi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg