Pelajar sepenuh masa yang bakal mengambil jurusan kejuruteraan di Institut Teknologi Singapura (SIT) dari September 2025 bakal melalui kaedah pembelajaran baru.
Di bawah dua program baru bagi ijazah kejuruteraan, pelajar akan menguasai kemahiran yang relevan dengan kerjaya kejuruteraan sebenar, melalui blok pembelajaran atau learning blocks.
Sebagai contoh, dalam program ijazah kepujian kejuruteraan elektrik dan elektronik empat tahun, setiap blok pembelajaran boleh terdiri daripada kemahiran yang berkaitan dengan pengilangan semikonduktor.
Pelajar antara lain akan membina kemahiran dalam bidang seperti pembungkusan semikonduktor dan penilaian kebolehpercayaan, serta teknologi fabrikasi peranti semikonduktor.
Setiap fasa, yang mengambil masa selama empat bulan, akan mengandungi projek berdasarkan masalah industri untuk pelajar menunjukkan kemahiran yang mereka peroleh.
Pelajar bakal menghabiskan enam fasa pelajaran sepanjang program ijazah yang berlangsung selama empat tahun.
Menamakan pendekatan itu sebagai pendidikan berasaskan kompetensi (CBE), SIT menggunakan format tersebut dalam program ijazah bagi pelajar dewasa sebelum ini.
Universiti tersebut bermula dengan kursus pengkomputeran gunaan pada 2023 dan menambah dua lagi kursus iaitu kejuruteraan elektrik dan elektronik; serta kejuruteraan prasarana dan sistem pada 2024.
Dalam satu temu bual bersama The Straits Times (ST) pada Disember 2024, Presiden SIT, Profesor Chua Kee Chaing, berkata universiti itu menyasarkan untuk mendaftar seramai 100 pelajar dalam kededua program ijazah baru itu.
Beliau berkata rancangan itu adalah supaya semua program ijazah yang dianugerahkan SIT menggunakan model CBE secara bertahap.
Menurutnya, cara itu memastikan ilmu serta kemahiran boleh digunakan oleh pelajar.
Beliau berkata antara masalah cara pembelajaran tradisional program ijazah adalah pelajar lupa perkara yang dipelajari tahun sebelumnya.
Mereka juga biasanya dibiarkan membuat perkaitan antara modul pada tahun pertama dengan apa yang mereka pelajari pada tahun kedua atau ketiga.
Sama seperti cara ia digunakan untuk pelajar dewasa yang belajar separuh masa, model CBE untuk pelajar sepenuh masa membolehkan mereka mengakses sumber dalam talian mengikut keselesaan mereka.
Ini membebaskan masa profesor daripada memberi kuliah, supaya mereka boleh menjalankan lebih banyak sesi tutorial dan perbincangan.
“Dengan meringankan beban kerja mereka, profesor kini boleh meluangkan lebih banyak masa berinteraksi dengan pelajar, memastikan mereka memahami bahagian mana pelajar lemah dan menghabiskan lebih banyak masa untuk memastikan pelajar dapat mengembangkan penguasaan kemahiran itu,” kata Profesor Chua.
Beliau menambah bahawa profesor juga akan mempunyai lebih banyak masa untuk mempertimbangkan cara menilai penguasaan kemahiran pelajar.
Penilaian akan terdiri daripada projek praktikal dengan ujian kecil dan kuiz, bukannya peperiksaan tradisional.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg