Topik diikuti
Pergi ke BHkuProgram inkubator baharu hidupkan warisan Geylang Serai
Program inkubator baharu hidupkan warisan Geylang Serai
Program inkubator baharu hidupkan warisan Geylang Serai
Penggiat warisan bakal mendapatkan peluang untuk memperkukuh minat mereka serta mendekati lebih ramai orang menerusi satu program inkubator yang akan dilancarkan Galeri Warisan Geylang Serai (GSHG).
Program tersebut akan memanfaatkan dan memaparkan kisah-kisah, masyarakat dan warisan hidup yang telah membentuk Geylang Serai sejak sekian lama.
Program perintis di bawah naungan program GSHG tersebut, Kelab Masakan Geylang Serai, akan diterajui inisiatif akar umbi warisan makanan Melayu – Sendok Rakyat – yang akan meneroka tradisi masakan komunal melalui lauk asam pedas.
Program itu yang akan diadakan pada 18 Julai di Wisma Geylang Serai, menggabungkan memori dan rasa untuk menggalakkan peserta merenung bagaimana proses masakan dipengaruhi oleh orang tercinta.
Ia mengambil satu pendekatan yang menggalakkan perbualan di antara peserta tentang persiapan sesuatu masakan dan bagaimana makanan itu dapat meninggalkan kesan terhadap orang lain.
Program inkubator ini menghimpunkan penggiat daripada pelbagai bidang warisan kebudayaan tidak ketara seperti makanan dan pertukangan tradisional, untuk menggalak masyarakat mengenali warisan hidup Geylang Serai dengan lebih baik.
Menurut Lembaga Warisan Negara (NHB), program seperti ini memberikan orang ramai peluang untuk meneroka dan merakam warisan hidup Geylang Serai, serta menggalakkan masyarakat, termasuk golongan belia, menghargai kekayaan warisan di kawasan tersebut.
Sepanjang enam bulan akan datang, sembilan lagi program yang meraikan kisah-kisah masyarakat dan Geylang Serai bakal dianjurkan bersama rakan kongsi bidang warisan.
Antaranya adalah program anjuran kedai minyak wangi Aroma Nostalgia, dan Sendok Rakyat yang menghidupkan memori Geylang Serai dengan menggunakan deria bau.
Ia akan meneroka bagaimana bau seperti kelapa, serai, dan salak mengingatkan orang tentang Geylang Serai dan mengaitkan bau kepada sebuah tempat serta masa.
Program tersebut, yang akan diadakan pada 22 Ogos, mengambil satu pendekatan berbeza daripada Kelab Masakan Geylang Serai.
Peserta akan berjalan kaki dan dibawa sekeliling Geylang Serai untuk melihat bagaimana suatu bau itu saling berkait dengan memori kita.
Satu lagi program pula, anjuran artis visual, Cik Hafizah Jainal, atau lebih dikenali sebagai HAFI, menggalakkan peserta mentafsir dan melukis semula gambar keluarga lama untuk menghasilkan sebuah karya yang baharu sambil berkongsi tentang kenangan mereka.
Program tersebut pula akan dianjurkan pada 28 November.
Orang ramai yang berminat untuk menyertai program inkubator ini boleh mendapatkan maklumat lanjut menerusi Instagram @sendokrakyat.
Pendaftaran program akan diumumkan secara berperingkat dan kesemuanya boleh dibayar menggunakan Pas Budaya SG.
