Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Program kewangan baru bimbing pembayaran semula hutang

Permintaan bagi bantuan berkaitan bayar balik hutang naik 18% pada 1,146 pada separuh pertama 2024
Oct 17, 2024 | 8:09 PM
Kaunseling Kredit Singapura (CCS) mengumumkan program Sokongan Membina Keupayaan Kewangan (FCBS) pada 17 Oktober.
Kaunseling Kredit Singapura (CCS) mengumumkan program Sokongan Membina Keupayaan Kewangan (FCBS) pada 17 Oktober. - Foto ZAOBAO

Satu program yang menggabungkan kaunseling kewangan dan bimbingan jangka panjang dengan komponen pembayaran semula hutang telah diumumkan oleh Kaunseling Kredit Singapura (CCS) pada 17 Oktober.

Ia dilancarkan apabila permintaan untuk bantuan berkaitan pembayaran balik hutang meningkat 18 peratus pada separuh pertama 2024 kepada 1,146 berbanding 973 pada enam bulan terakhir 2023.

Presiden Tharman Shanmugaratnam, sebagai tetamu terhormat Majlis Makan Tengah Hari bagi pengumpulan dana sempena ulang tahun ke-20 CCS di Hotel Fairmont pada 17 Oktober, telah memainkan peranan penting dalam mewujudkan CCS semasa beliau bertanggungjawab sebagai Menteri Kanan bagi Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI).

Encik Tharman telah menggesa pemimpin masyarakat supaya melaksanakan skim kaunseling kredit masyarakat selepas hakim Mahkamah Rendah menyatakan kebimbangan terhadap masalah yang menjejas individu dan keluarga yang berpunca daripada peningkatan hutang pengguna.

Program yang dinamakan Sokongan Membina Keupayaan Kewangan (FCBS) bertujuan memperkasa peserta dengan kemahiran dan pengetahuan penting, bukan sahaja untuk meringankan beban kewangan semasa, malah untuk melengkapi mereka bagi menghadapi masa depan yang lebih terjamin.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan CCS pada 17 Oktober, FCBS, yang dilengkapi dengan sokongan melunaskan hutang, akan diperkenalkan seiring program perintis untuk sekumpulan keluarga berpendapatan rendah.

Semasa berucap di majlis itu, pengerusi CCS, Encik Ang Hao Yao, berkata pembayaran semula hutang bernilai kira-kira $2.3 bilion telah dipermudahkan oleh CCS sejak 20 tahun lalu.

Ia membolehkan individu menguruskan pembayaran semula hutang mereka secara realistik dan mengelakkan tekanan kewangan yang lebih mendalam.

“Sepanjang 20 tahun, kami telah memberi kesan besar kepada masyarakat.

“CCS telah memberi kaunseling peribadi kepada lebih 40,000 orang yang memerlukan bantuan dan membantu lebih 27,000 individu dalam menguruskan semula hutang mereka dengan baik melalui Program Pengurusan Hutang (DMP) ternama kami.

“Secara keseluruhan, kami telah memudahkan pembayaran semula hutang kira-kira $2.3 bilion, yang membolehkan individu menguruskan pembayaran semula hutang mereka secara realistik dan mengelakkan daripada lebih menderita ekoran beban kewangan,” kata Encik Ang.

Berbeza daripada program kaunseling sedia ada yang melibatkan hanya satu sesi dengan peserta, program perintis FCBS akan meliputi kursus kerja selama 12 bulan dan 12 bulan lagi bagi pemantauan selepas berakhirnya kursus kerja itu.

Menurut CCS, peserta akan dipadankan dengan jurulatih yang akan membantu dalam menangani kebimbangan mereka berhubung isu kewangan, dan mengemukakan cara untuk meningkatkan pendapatan atau mengurangkan perbelanjaan.

CCS turut mengendalikan Program Pengurusan Hutang Peminjam Wang (MDMP) dengan kerjasama Persatuan Kredit Singapura.

MDMP melibatkan pelan pembayaran semula hutang yang dikemukakan oleh CCS bagi pihak peminjam yang bermasalah yang berhutang dengan peminjam wang berlesen.

Sehingga kini, CCS telah melaksanakan 305 pelan di bawah MDMP bernilai hampir $8.8 juta.

CCS juga telah mengadakan perbincangan mengenai pengurusan hutang yang dihadiri 70,000 individu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg