Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Inisiatif pulang hari sama kurangkan kos, tingkat keselesaan pesakit jantung di NUHCS

Lebih 200 pesakit raih manfaat daripada khidmat serupa pada 2024
May 30, 2025 | 8:45 PM
‘Same-Day Discharge’, NUH, Azhar Zainal
Perkhidmatan ‘Same-Day Discharge’ memberi pesakit peluang pulang selepas pembedahan Intervensi Koronari Perkutan (PCI) di Hospital Universiti Nasional (NUH) dan Hospital Besar Ng Teng Fong (NTFGH). Encik Azhar Zainal (kiri) merupakan antara 200 pesakit yang telah meraih manfaat daripada perkhidmatan itu pada 2024. Beliau ditemani (dua dari kiri) Penolong Jururawat Klinikal, Cik Yap El Fuon; Pengarah Klinikal Pusat Kardiologi Intervensi dan Angiografi di NUHCS, Penolong Profesor Dr Gavin Ng; Pengarah, Makmal Kateterisasi Kardiovaskular, Pusat Jantung Universiti Nasional, Singapura (NUHCS) @ Hospital Besar Ng Teng Fong (NTFGH), Dr Sim Hui Wen. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Apabila Encik Azhar Zainal didapati menghidapi penyakit jantung iskemik (pembuluh darah di jantung tersumbat) dan perlu menjalani pembedahan untuk membukanya semula di Hospital Universiti Nasional (NUH) – beliau menjangkakan perlu menginap di hospital selama beberapa hari.

Namun, dengan program baru – perkhidmatan ‘Same-Day Discharge’ – beliau tidak lagi perlu menginap di hospital dan boleh pulang sejurus selepas prosedur pada hari yang sama, pada November 2024.

Encik Azhar merupakan antara lebih 200 pesakit yang telah meraih manfaat daripada perkhidmatan itu di Pusat Jantung Universiti Nasional Singapura (NUHCS), yang merangkumi NUH dan Hospital Besar Ng Teng Fong (NTFGH) pada 2024.

Encik Azhar Zainal antara lebih daripada 200 pesakit yang telah meraih manfaat daripada perkhidmatan ‘Same-Day Discharge’ di Hospital Universiti Nasional (NUH) pada 2024.
Encik Azhar Zainal antara lebih daripada 200 pesakit yang telah meraih manfaat daripada perkhidmatan ‘Same-Day Discharge’ di Hospital Universiti Nasional (NUH) pada 2024. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Dengan inisiatif tersebut, pesakit dapat menjimatkan kos antara $1,300 hingga $2,700.

Inisiatif yang diterajui jururawat itu bermakna pesakit yang menjalani Intervensi Koronari Perkutan (PCI), seperti belon angioplasti dan pemasangan ‘stent’ (tiub), kini boleh pulang ke rumah beberapa jam selepas prosedur mereka.

Ini sekali gus menawarkan keselesaan dan kemudahan yang lebih baik serta penjimatan kos.

Bercakap kepada wartawan di NUH pada 30 Mei, Penolong Jururawat Klinikal, Cik Yap El Fuon, menjelaskan inisiatif itu mengikuti garis panduan dari Kolej Kardiologi Amerika Syarikat, yang telah menerbitkan sebuah kertas kerja pada 2021 mengenai kesepakatan pakar tentang garis panduan pulang pada hari yang sama.

“Setakat ini, kertas kerja tersebut telah menunjukkan bahawa selamat bagi pesakit untuk pulang pada hari yang sama selepas menjalani prosedur Intervensi Koronari Perkutan (post-cutaneous coronary intervention),” katanya yang juga menerajui kajian pulang dari hospital pada hari yang sama.

Untuk mengatasi kekurangan tidak menginap di hospital, pihak hospital akan menghubungi pesakit sehari selepas mereka pulang untuk memeriksa keadaan mereka. 

Inisiatif itu mula diperkenalkan di NUH pada September 2023, sebelum berkembang ke Hospital Besar Ng Teng Fong pada Januari 2024.

Cik Yap menjelaskan bahawa kebiasaannya, pesakit yang menjalani prosedur PCI perlu berada di hospital antara 24 hingga 36 jam.

Pesakit juga ditempatkan di Unit Pemantauan Jantung yang hanya mempunyai kapasiti maksimum sebanyak enam pesakit.

Peningkatan bilangan pesakit yang memerlukan PCI mengakibatkan kekurangan katil di unit tersebut. Lantas, Pusat Jantung Universiti Nasional telah mengambil inisiatif untuk mengatasi masalah tersebut.

“Kami menyasarkan 90 peratus pesakit yang layak untuk dibenarkan pulang pada hari sama selepas menjalani prosedur PCI, dengan dua objektif utama.

“Pertama, untuk mengurangkan tempoh penginapan pesakit di hospital, dan kedua, untuk mengurangkan kos penjagaan kesihatan itu sendiri,” katanya.

Menurutnya, hospital mampu menjimatkan wang sebanyak $4,100 – kekurangan daripada $13,665 turun kepada $9,557 – jika pesakit pulang pada hari yang sama.

Mengulas lanjut, Pengarah Klinikal Pusat Kardiologi Intervensi dan Angiografi di NUHCS, Penolong Profesor Gavin Ng, berkata antara sebab penjimatan itu ialah untuk mengurangkan tekanan di Unit Pemantauan Jantung.

“Dari sudut hospital, ini sangat berharga kerana Singapura mempunyai penduduk yang semakin menua.

“Waktu menunggu di jabatan kecemasan di beberapa hospital juga agak tinggi. Saya percaya projek ini merupakan salah satu usaha yang boleh digunakan untuk mengurangkan masalah tersebut, supaya katil dapat disimpan untuk pesakit yang benar-benar memerlukannya dan yang datang melalui jabatan kecemasan,” ujarnya.

Encik Azhar Zainal (tengah) selepas menjalani pembedahan Intervensi Koronari Perkutan (PCI) di Hospital Universiti Nasional (NUH) pada November 2024. Beliau ditemani Penolong Jururawat Klinikal, Cik Yap El Fuon (kiri), dan Pengarah Klinikal Pusat Kardiologi Intervensi dan Angiografi di NUHCS, Penolong Profesor Gavin Ng.
Encik Azhar Zainal (tengah) selepas menjalani pembedahan Intervensi Koronari Perkutan (PCI) di Hospital Universiti Nasional (NUH) pada November 2024. Beliau ditemani Penolong Jururawat Klinikal, Cik Yap El Fuon (kiri), dan Pengarah Klinikal Pusat Kardiologi Intervensi dan Angiografi di NUHCS, Penolong Profesor Gavin Ng. - Foto NUHCS

Walau demikian, terdapat beberapa kriteria yang harus dicapai pesakit agar dibenarkan keluar pada hari yang sama.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan NUHCS pada 30 Mei, ia menjelaskan antara kriterianya ialah pasukan perubatan mesti menilai keadaan pesakit secara positif selepas prosedur dan memastikan prosedur PCI berjaya dilaksanakan tanpa sebarang komplikasi.

Pesakit juga tidak boleh mengalami sebarang masalah selepas prosedur, seperti strok, pendarahan, komplikasi pada salur darah.

Selain itu, sebarang penyakit sedia ada seperti kegagalan jantung, tekanan darah tinggi, kencing manis, penyakit paru-paru kronik atau asma tidak seharusnya menjadi semakin teruk selepas prosedur.

Keadaan mental pesakit juga mesti kekal stabil dan tidak berubah berbanding sebelum prosedur dilakukan.

Pesakit juga perlu bersedia dan rela untuk pulang ke rumah, serta mempunyai penjaga yang boleh membantu di rumah selepas pulang daripada hospital.

Sejajar dengan itu, Encik Azhar, seorang teknisyen, bersyukur beliau mempunyai isteri yang membantu dalam pemulihannya.

Isterinya, Cik Rahimah Mohamed Said, 48 tahun, yang berpengalaman hampir 30 tahun sebagai jururawat, membantu beliau menguruskan ubat-ubatannya.

Selain menghidapi serangan jantung, beliau juga menghidapi kencing manis serta tekanan darah tinggi.

“Saya perlu makan 12 jenis ubat pada waktu pagi dan enam ubat pada malam. Saya sendiri pun tidak pasti, saya cuma ada satu kotak penuh dengan macam-macam ubat, yang disusunnya,” ujarnya.

Encik Azhar Zainal (kiri) bersama isterinya, Cik Rahimah Mohamed Said, yang sudah bekerja sebagai seorang jururawat sekitar 30 tahun.
Encik Azhar Zainal (kiri) bersama isterinya, Cik Rahimah Mohamed Said, yang sudah bekerja sebagai seorang jururawat sekitar 30 tahun. - Foto ihsan AZHAR ZAINAL
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg