Kira-kira 3,000 peluang latihan industri baharu yang berlangsung selama setahun akan ditawarkan kepada pelajar pengajian tinggi dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Ia bertujuan bagi menangani kesan kecerdasan buatan (AI) yang mengganggu peringkat permulaan kerjaya, serta membantu golongan muda membina pengalaman kerja yang lebih mendalam sebelum tamat pengajian.

Latihan industri yang memberikan kredit akademik ini akan ditawarkan sepanjang tiga tahun akan datang dan boleh diambil sebagai sebahagian daripada kurikulum sebelum pelajar menamatkan pengajian mereka.

Langkah ini juga bertujuan membantu pelajar merapatkan jurang kemahiran yang timbul akibat automasi AI, yang kini menyebabkan peranan peringkat permulaan semakin tidak lagi diperlukan.

Demikian diumumkan Menteri Negara Kanan (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Encik Tan Kiat How, semasa berucap di acara TechConnect 2026 anjuran Persatuan Komputer Singapura (SCS) pada 19 Oktober.

Beliau berkata usaha sebegini adalah penting untuk membina jambatan baharu antara alam pendidikan dengan alam pekerjaan, memandangkan majikan kini lebih mengutamakan pekerja baharu yang mampu menyumbang dengan lebih awal.

“Ini bukan sekadar program latihan industri yang lebih lama tempohnya,” kata Encik Tan kepada hampir 500 pelajar dan pemimpin syarikat di kampus Institut Teknologi Singapura (SIT) di Punggol.

“Seperti program perantisan, ia memberi masa kepada pelajar untuk menyumbang kepada projek penting, belajar daripada rakan sekerja berpengalaman, serta mengasah pertimbangan profesional mereka.”

Acara tersebut merupakan acara tahunan yang menghubungkan pelajar daripada institut pengajian tinggi (IHL) dengan majikan, pengamal industri, serta mentor daripada syarikat seperti Nvidia.

Semasa ucapannya, Encik Tan berkongsi kebimbangan bersama yang telah dibangkitkan oleh Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong pada 12 Oktober lalu.

Encik Wong telah berkata “peringkat permulaan” dalam laluan kerjaya mungkin terjejas akibat penggunaan AI, dan ini boleh menyebabkan golongan muda tidak mendapat latihan yang mencukupi.

Dalam hal ini, Encik Wong telah menggesa syarikat di Singapura supaya memberi perhatian terhadap cabaran ini dan mengambil langkah proaktif dalam membimbing pekerja baharu.

“Dahulu, jurutera peringkat permulaan belajar dengan cara menulis program ringkas, membetulkan masalah dalam kod (debugging), menguji aplikasi, atau menyelenggara sistem.

“Kini, AI boleh membantu melaksanakan banyak tugasan peringkat permulaan itu,” kata Encik Tan, sambil menambah bahawa golongan profesional muda perlu diberi peluang untuk memperoleh pengalaman dan kemahiran pertimbangan yang penting.

Program latihan industri selama setahun ini telah ditawarkan kepada pelajar politeknik dan ITE sejak 2022, di bawah program TIP Alliance+ yang diterajui oleh Penguasa Pembangunan Media Infokom (IMDA).

Kini, program itu telah diperluaskan untuk merangkumi pelajar universiti.

Program latihan industri ini akan dirangka bersama oleh IHL dan majikan, serta merangkumi pelbagai sektor seperti teknologi, kewangan, dan penjagaan kesihatan.

Kos pengambilan pelatih dibiayai bersama oleh IMDA, dengan syarikat menerima sehingga $1,000 sebulan bagi setiap pelatih untuk program latihan industri selama setahun yang layak.

Beliau menambah IMDA akan memantau dengan teliti hasil daripada program latihan industri yang berlangsung selama setahun itu, serta menilai kemungkinan untuk memperluaskan kaedah-kaedah yang berjaya dari semasa ke semasa.

Dalam ucapannya, Encik Tan turut menggesa majikan agar tidak lagi bergantung semata-mata kepada kelayakan akademik semasa mengambil pekerja, sebaliknya mengiktiraf calon berdasarkan kemahiran dan pengalaman mereka.

Antara 200 firma yang berikrar menyokong pengambilan pekerja berasaskan kemahiran termasuk DBS, Google, HSBC dan Singtel.