Sekitar 20 anggota delegasi pelbagai negara menghadiri Program Masyarakat Gemilang (COSP) anjuran Rahmatan Lil Alamin (RLAF) dan disokong Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dari 9 hingga 13 November untuk menimba kepakaran, yang kemudian boleh diterapkan di negara masing-masing.
Delegasi tersebut mengunjungi pertubuhan masyarakat dan agama serta mendengar perkongsian daripada rakan kongsi M³ dan agensi kebangsaan bagi mempelajari pengalaman Singapura memupuk perpaduan untuk membentuk Masyarakat Gemilang.
Program lima hari itu – di bawah naungan Program Kerjasama Singapura (SCP) Kementerian Ehwal Luar (MFA) – melabuhkan tirainya pada 13 November dalam satu majlis di Hotel JEN Tanglin.
Ia dihadiri tetamu terhormat, Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.
Dalam satu hantaran di Facebook pada 15 November, beliau berkata delegasi tersebut terdiri daripada pegawai pemerintah, pemimpin masyarakat dan agama dari Sepanyol, Kemboja, Thailand, Filipina, dan Papua New Guinea.
“Melalui COSP, kami dapat berkongsi tentang amalan dan idea terbaik dengan negara-negara lain yang mempunyai penduduk Islam minoriti dan bagaimana kita dapat meningkatkan kemasyarakatan bersama,” kata beliau.
Encik Masagos turut menyaksikan penyerahan cek bernilai $150,000 untuk Cabaran Presiden 2024, yang diberikan kepada Pengarah Kumpulan bagi Kumpulan Kedermawanan Majlis Khidmat Sosial Kebangsaan (NCSS), Encik Jack Lim.
Salah seorang peserta dari Kemboja, Cik Sman Norany, berkata: “Peluang ini menghubungkan saya dengan pemimpin agama, pendidik, ketua pasukan, dan asatizah yang berpengalaman untuk bertukar idea.
“Saya mendapat pandangan berharga daripada penceramah, penganjur, fasilitator, peserta, rakan dan sukarelawan, menjadikan setiap sesi berasa bermotivasi dan bertenaga.”
Ini adalah kali kedua COSP diadakan, yang bertujuan memupuk kerjasama antara pemimpin dari negara minoriti Islam dalam membina sebuah masyarakat yang gemilang.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg