Anak-anak kini lebih seronok menggunakan matematik dalam aktiviti harian.
Itulah yang dikongsi seorang ibu, Cik Noreen Abdullah, 48 tahun, setelah beliau dan anaknya, Muhammad Zahir Muhammad Hozir Bonawi, tujuh tahun menyertai program KelasMateMatika (KMM).
KelasMateMatika (KMM) merupakan satu program Yayasan Mendaki bagi memperkasa ibu bapa yang mempunyai anak prasekolah berusia empat hingga enam tahun dengan Pengalaman Pembelajaran Perantara (MLE) supaya mereka lebih yakin melibatkan anak-anak dalam pembelajaran konsep asas numerasi.
Dalam satu laporan tahunan Yayasan Mendaki baru-baru ini, lebih 900 kanak-kanak dan 800 ibu bapa telah mendaftarkan diri untuk KMM pada 2022.
Menurut Cik Noreen, anak-anak beliau lebih ghairah membantunya dalam kerja rumah seperti menyediakan meja makan kerana mereka ingin mengaplikasikan kemahiran matematik yang dipelajari melalui KMM – dengan mengira jumlah pinggan mangkuk yang perlu disediakan.
Selain itu, mereka gemar mengenal pasti bentuk barang di rumah seperti dipelajari dalam KMM.
Melalui KMM, anak-anak beliau didedahkan kepada matematik pada peringkat awal agar mereka dapat memulakan pembelajaran di sekolah rendah dengan lebih lancar.
“KMM telah memberi Zahir peluang memahami kemahiran asas dalam matematik sebelum memulakan sekolah rendah. Kini, Zahir tidak perlu menghadiri Program Sokongan Pembelajaran (LSP) di sekolah rendah kerana dia memahami matematik dengan lebih baik,” jelas ibu tiga anak itu.
Anak sulungnya, Noor Hozireen Muhammad Hozir Bonawi, sembilan tahun, tidak pernah menghadiri KMM dan beliau akur terdapat perbezaan pemahaman matematik dalam kalangan mereka yang menyertai program itu dengan yang tidak.
“Saya hanya dapat tahu tentang KMM selepas Hozireen memasuki sekolah rendah dan saya sedar dia kini memerlukan bimbingan yang lebih berbanding adiknya. Namun, saya bersyukur kerana Mendaki masih membantu saya dalam pembelajaran Hozireen dengan adanya Skim Tuisyen Mendaki (MTS),” tambah suri rumah sepenuh masa itu.
Menurut Cik Noreen, KMM telah memupuk asas matematik yang kukuh bagi Zahir dan telah mencetus minat Zahir dalam matematik.
Pendekatan KMM membuat Matematik satu subjek yang menarik dan seronok memberi Zahir satu tanggapan positif terhadapnya dan dijadikan dorongan untuk terus mempelajarinya.
“KMM juga telah membina keyakinan diri anak-anak saya kerana mereka sedar bahawa pembelajaran itu bukan hanya menambah stres dan boleh disesuaikan untuk pemahaman mereka sendiri,” kata beliau.
Selain anak-anak, beliau sendiri berpeluang mempelajari lebih tentang cara membantu anak-anaknya dalam matematik. Melalui sesi-sesi KMM, beliau mempelajari cara menerapkan matematik dalam kehidupan harian agar anak-anak beliau gemar dan selesa dengan subjek tersebut.
“Memang pendidikan sekarang sudah bertambah susah tetapi KMM memberi saya peluang meringankan beban itu untuk anak-anak saya,” kata beliau.
Beliau juga merasakan bahawa sesi-sesi KMM amat bermanfaat kerana beliau sendiri lebih selesa dengan matematik. Bagi beliau, kemahiran mengajar yang telah beliau pelajari bersama Zahir juga digunakan untuk membantu anak-anak yang lain.
Selain mengukuhkan asas ibu bapa dan anak-anak dalam Matematik, KMM memberi peluang bagi ahli keluarga menjadi lebih rapat.
Cik Noreen dan keluarga telah menyertai beberapa aktiviti pasca-KMM bagi mengeratkan hubungan keluarga. Antara aktiviti yang disertai termasuk literasi digital, pembelajaran luar dan lawatan keluarga sambil belajar ke Arts House.
Bagi beliau, aktiviti-aktiviti seperti ini juga memberi keluarganya peluang berehat dan mencuba aktiviti lain di luar KMM.
“Di samping merapatkan keluarga saya, aktiviti-aktiviti yang dikendalikan KMM menggembirakan anak-anak saya. Mereka sedar bahawa pembelajaran bukan satu-satunya aktiviti penting dalam kehidupan dan perlu ada keseimbangan,” ujarnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg