Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Program pelatih bantu lulusan poly bina kerjaya dalam syarikat khidmat kewangan

Aug 17, 2025 | 9:30 PM
Syahindah Abdul Halil, JPMorganChase
Sepanjang menjalani program pelatih di syarikat khidmat kewangan JPMorganChase, lulusan Diploma Pemasaran dari Politeknik Nanyang (NYP), Cik Syahindah Abdul Halil, diberi kebebasan mengurus hala tuju kerjayanya sendiri, dengan sokongan rakan sekerja dan penyelia. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Semasa menuntut di tahun ketiga Politeknik Nanyang (NYP), keutamaan Cik Syahindah Abdul Halil jelas, iaitu memberikan kestabilan dan masa depan lebih baik bagi anak perempuannya yang baru berusia dua tahun.

Berusia 20 tahun pada ketika itu dan berada dalam ‘survival mode’ (tekanan teramat sangat hingga letih secara fizikal dan mental), beliau terbuka kepada sebarang peluang yang datang kepadanya.

Salah satu peluang tersebut terbentang dalam risalah yang beliau lihat di kampus. Ia mengiklankan program pelatih syarikat khidmat kewangan, JPMorganChase.

“Apabila saya memohon dan kemudian diterima, saya mula membuat kajian tentang JPMorganChase dan apa yang dilakukan oleh syarikat tersebut.

“Pada ketika itu, saya hanya memohon program pelatih itu sahaja dan saya tidak kisah pekerjaan apa yang diberikan kepada saya.

“Saya berada dalam keadaan ‘survival mode’, maka saya lebih pentingkan dapat kerja untuk menyara anak saya.

“Jadi, apabila saya terlihat risalah itu, saya terus memohon kerana ia kelihatan menarik dan saya tertarik kepada tawaran program ini,” kongsi karyawan berusia 24 tahun itu ketika dihubungi Berita Harian (BH).

Selepas meraih Diploma Pemasaran pada Mei 2021 semasa pandemik Covid-19, Cik Syahindah merebut peluang tersebut dan berjaya menyertai program pelatih syarikat berkenaan tiga bulan kemudian.

Sepanjang program selama setahun itu, beliau menggunakan kemahiran pemasarannya untuk menyokong pemimpin kanan syarikat itu, termasuk menyediakan bahan penyampaian yang memudahkan usaha memahami topik teknologi sulit.

Ini di samping memikirkan cara membantu mengekalkan penglibatan pasukan di seluruh rantau Asia-Pasifik.

Beliau dibimbing seorang mentor, meraih elaun bulanan, sambil mendalami kemahiran teknikal seperti pengekodan dan analisis data.

Ternyata, usaha dan dedikasinya membuahkan hasil kerana beliau ditawarkan pekerjaan sepenuh masa sebagai penganalisis pemasaran dan komunikasi dalam pasukan prasarana teknologi sejagat syarikat tersebut pada Ogos 2022.

Mentelah lagi, ibu dua anak berusia enam dan dua tahun itu, baru sahaja dinaikkan pangkat kepada Pengurus Projek Teknologi Bersekutu pada Julai.

Mengambil kira keberkesanan program pelatih sebegini dalam membantu lulusan baru bertapak dalam dunia pekerjaan, pemerintah akan mengumumkan program pelatih baru yang dibiayai mereka bagi lulusan Institut Pendidikan Teknikal (ITE) dan politeknik, serta lulusan universiti.

Inisiatif itu diumumkan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong, semasa menyampaikan ucapan Rapat Hari Kebangsaan 2025, di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Central, di Ang Mo Kio, pada 17 Ogos.

“Hari ini, syarikat-syarikat terus menawarkan program pelatih. Tetapi dengan sokongan pemerintah, mereka dapat menawarkan lebih banyak peluang latihan.

“Kami akan memulakannya dengan pelaksanaan yang lebih fokus. Jika ekonomi merosot, kami akan memperluaskan program ini,” ujar Encik Wong, yang turut berkongsi bahawa butiran lanjut akan diberikan pasukan petugas kelak.

Beliau turut menukil contoh Cik Syahindah semasa ucapannya dalam Bahasa Inggeris.

Mengulas tentang perjalanannya dalam program pelatih itu, Cik Syahindah akur beliau mengambil lebih masa untuk menyesuaikan diri dengan budaya kerja baru.

Ini termasuk bersembang bersama penyelia beliau dalam memahami kekurangan dan keperluan pasukan.

“Pada mulanya, saya tidak tahu bagaimana untuk menyesuaikan diri saya di syarikat itu kerana kebanyakan rakan sekerja mempunyai latar belakang kewangan atau analisis data, manakala saya lebih tertumpu kepada reka bentuk dan komunikasi.

“Walaupun saya tidak datang daripada latar belakang kewangan tradisional, saya cuba memahami keperluan perniagaan dan menyesuaikan kemahiran saya untuk memberikan nilai tambah pada khidmat saya di syarikat itu,” ujar Cik Syahindah.

Dalam pada itu, beliau berharap program pelatih sebegitu dapat menjadi titik permulaan bagi lulusan muda mendapatkan pengalaman praktikal, menjalin rangkaian profesional dan memahami minat kerjaya masing-masing.

“Ia penting untuk kita mempunyai minda terbuka dan memohon sahaja, kerana kita tidak tahu ilmu dan pengalaman apa yang boleh diperolehi di tempat kerja.

“Ini selain merebut peluang untuk mendapatkan pandangan dalaman tentang industri yang bakal disertai dan kelebihan apabila diterima bekerja kelak,” ujar beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg