Lebih 1,000 pembimbing, menti atau individu yang diberi tunjuk ajar, dan sukarelawan yang menganjurkan kegiatan telah melibatkan diri di bawah Program Masyarakat Peer anjuran Kelab Mendaki (MClub) sejak program itu dirasmikan pada Februari 2021.

Program itu bertujuan menyemai nilai positif dalam belia yang dipanggil menti, seperti keyakinan, kecekapan, kemasyarakatan, perwatakan dan perhubungan melalui pelbagai rangkaian kegiatan.

Dalam satu kenyataan pada 15 Oktober, MClub menyatakan sebahagian besar peserta program telah menggalas tanggungjawab kepimpinan, dengan sebilangan pembimbing turut berperanan sebagai penganjur sukarelawan.

Sebilangan bekas peserta juga telah menjadi ketua masyarakat, tambah kenyataan itu.

Lantaran itu, bagi memperluas kesannya kepada lebih ramai belia Melayu/Islam, MClub merancang mengembangkan Program Masyarakat Peer ke beberapa bandar lain pada tahun-tahun mendatang, berbanding hanya di Woodlands dan Tampines buat masa ini.

Kenyataan itu dibuat menyusuli acara penghargaan bagi peserta dan pembimbing Peer anjuran MClub yang diadakan buat kali pertama pada 10 Oktober, di ruang SQ Collective x Gen AI Labs, yang terletak di Mohamed Sultan Road.

Acara itu dihadiri sekitar 50 individu, meliputi pembimbing, menti dan penganjur kegiatan yang terlibat sepanjang enam edisi program Peer.

Pengerusi Peer, Encik Syakir Kamal, berkata program itu akan terus menjadi penghubung bagi mengisi keperluan masyarakat dengan minat dan semangat belia.

“Melalui Peer, kami ingin memperkasa dan mengasah (bakat) pemimpin belia masa hadapan yang akan menerajui kepimpinan dengan sifat ihsan, penuh matlamat dan kekal terhubung dengan masyarakat,” kata beliau.

Pengerusi rangkaian M Kuasa Tiga Plus (M³+) bagi kawasan Woodlands, Encik Muhammad Harmizan Abdul Hamid, berkata usaha mempersiapkan belia bagi masa hadapan dapat menyuntik daya keyakinan jangka panjang terhadap golongan itu.

Ini memandangkan sepanjang enam tahun kebelakangan ini, program itu menyaksikan perkembangan belia daripada seorang menti sehingga ada yang kini menjadi pemimpin masyarakat, ujarnya.

Beliau berkata: “Peer merupakan contoh yang hebat tentang bagaimana pelaburan terhadap golongan muda mewujudkan kitaran keyakinan, kepimpinan, dan khidmat bakti yang berkekalan.”

Antaranya ialah Naib Pengerusi Cabang Belia Majlis Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu Belia Persatuan Rakyat (PA Mesra Belia), Cik Rasyidah Hakim, yang sebelum ini merupakan seorang penganjur kegiatan.

Cik Rasyidah berkata Peer memberikan beliau ruang untuk membina hubungan bermakna dan mengasah daya kepimpinannya, yang diterapkan sehingga hari ini.

“Peer adalah program yang lebih daripada sekadar platform untuk memimpin.

“Ia memberi saya ruang membina hubungan yang bermakna, keluar daripada zon keselesaan, dan mendapatkan pelbagai peluang untuk berkembang sebagai pemimpin,” tambah beliau.

Program Masyarakat Peer merupakan inisiatif di bawah M³+, yang bertujuan memberi manfaat kepada pelajar Melayu/Islam di sekolah menengah dengan memadankan mereka bersama pembimbing yang merupakan pekerja atau mahasiswa Melayu/Islam.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti