Sehingga 1,000 pesakit angin ahmar serta penjaga mereka bakal mendapat sokongan menerusi satu program perintis baru yang akan dilancarkan pada 2025.
Program itu direka dengan tujuan mempertingkat penjagaan selepas seseorang itu mengalami angin ahmar, mengelakkannya daripada berulang dan memperbaiki sokongan dalam masyarakat.
Ini diumumkan Menteri Negara Kanan (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Dr Janil Puthucheary, di Persidangan Angin Ahmar Antarabangsa Singapura ke-20 pada 4 Oktober.
Dinamakan Program Ikhtiar Integrasi Semula bagi Masyarakat Angin Ahmar Yayasan Temasek (RISE), inisiatif itu merupakan kerjasama antara Institut Sains Neuro Nasional (NNI) dengan Yayasan Temasek.
Menurut Dr Janil, walaupun rawatan dan campur tangan yang tepat pada masanya boleh meningkatkan peluang pemulihan, cabaran sebenar bagi pesakit bermula selepas keluar dari hospital dengan proses pemulihan dalam masyarakat.
Sehingga 60 peratus daripada mereka yang terselamat daripada serangan angin ahmar menghadapi masalah jangka panjang yang menjejas cara berjalan, bercakap, menelan dan fungsi kognitif.
“Cabaran fizikal dan mental ini memberi kesan bukan sahaja kepada kemerdekaan pesakit, malah keluarga seperti pasangan dan kanak-kanak mereka yang sering menjadi penjaga,” tambah beliau.
Program itu akan memberi tumpuan kepada tiga bidang utama.
Pertama, memperbaiki penyelarasan penjagaan dan sokongan untuk mangsa-mangsa angin ahmar selepas mereka dibenarkan untuk keluar dari hospital.
Ini termasuk menasihati pesakit dengan menyaring isu-isu yang berkaitan dengan serangan angin ahmar dan menyediakan nasihat khusus pesakit mengenai ubat, perubahan gaya hidup yang sihat, dan cadangan bagi penjagaan peribadi.
Kedua, RISE akan melaksanakan program latihan berstruktur bagi penjaga mangsa serangan angin ahmar.
Akhir sekali, ia akan memperkenalkan Program Memperkasa Angin Ahmar, untuk membantu pesakit dalam perjalanan pemulihan mereka untuk meningkatkan fungsi dan kualiti hidup mereka.
Dr Janil turut menambah bahawa kes serangan angin ahmar merupakan satu bidang tumpuan bagi Kementerian Kesihatan (MOH).
“Ia merupakan antara penyebab utama kematian dan kecacatan jangka panjang dalam kalangan orang dewasa di Singapura,” ujar Dr Janil.
Di Singapura, kes angin ahmar telah meningkat seiring dengan penduduk negara ini yang semakin menua.
Pada 2021, jumlah penyakit tersebut telah meningkat kepada sekitar 9,000 kes.
“Jika kita tidak bertindak secepat mungkin, kesan akibat angin ahmar terhadap penduduk kita yang semakin tua akan semakin teruk.
“Walaupun penuaan tidak dapat dielakkan, kita boleh mengawal gaya hidup kita untuk mengurangkan impaknya,” kata Dr Janil.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg