Kelab Ihsan salah satu kegiatan kokurikulum (CCA) di Madrasah Aljunied kekal komited menyediakan ruang kepada pelajar untuk menyumbang dan berbakti kepada masyarakat secara aktif dan berterusan.
Ia dipimpin oleh Cik Sharifah Anisah Syed Taha, selaku Ketua Guru Kelab Ihsan di madrasah itu, bersama Ustaz Muhammad Akmal Sufyan Chua Muhammad Safwan Chua. Di bawah bimbingan mereka, kelab ini giat menganjurkan pelbagai daya usaha yang bertujuan meningkatkan kesedaran sosial serta memupuk semangat kesukarelawanan dalam kalangan pelajar.
Cik Sharifah Anisah berkata tumpuan utama Kelab Ihsan adalah menyantuni keluarga yang memerlukan, di samping menjalin persahabatan dengan warga emas yang uzur atau hidup bersendirian.
“Selain itu, kelab ini juga memberi penekanan kepada pemeliharaan alam sekitar sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial. Keseluruhan usaha ini dirangka bagi membangunkan peribadi pelajar melalui penglibatan aktif dalam pelbagai projek kesukarelawanan yang memberi makna dan kesan langsung kepada masyarakat,’‘ ujar Cik Sharifah Anisah.
Sebagai sebahagian daripada usaha menyemai nilai ihsan dan kepedulian sosial dalam kalangan pelajar, Kelab Ihsan turut giat menyertai program Food on Wheels anjuran Pertapis sempena bulan Ramadan 2025. Program tahunan ini bertujuan membantu keluarga kurang berkemampuan mendapatkan keperluan asas sepanjang bulan yang penuh keberkatan.
Bermula dari 10 hingga 14 Februari 2025 pula, Kelab Ihsan telah melancarkan kempen pengumpulan makanan yang melibatkan seluruh warga madrasah termasuk pelajar, guru dan kakitangan. Kempen ini memberi tumpuan kepada sumbangan makanan dalam tin seperti susu, kacang, sardin dan buah-buahan, dengan sasaran sebanyak 700 tin.
Sambutan yang diterima amat menggalakkan, dan sebanyak 829 tin berjaya dikumpulkan – melebihi sasaran asal, lantas menandakan semangat kebersamaan dan keprihatinan yang tinggi dalam kalangan warga madrasah.
Kemuncak program ini berlangsung pada 15 Februari, apabila pelajar Kelab Ihsan berganding bahu bersama rakan daripada madrasah lain serta sekolah arus perdana dalam kegiatan membungkus 1,200 set barangan keperluan di Wisma Geylang Serai, ujar Cik Sharifah Anisah.
Kelab Ihsan terus memperluas peranannya dalam menyemai nilai kasih sayang dan kepedulian sosial menerusi penyertaan aktif dalam Kempen Ramadan Compassion yang dianjurkan oleh Persatuan Bertindak Ginjal Bagi Masyarakat Islam (MKAC). Kempen ini merupakan sebahagian daripada daya usaha sempena Ramadan bagi membantu pesakit kronik, khususnya mereka yang menghidap kegagalan buah pinggang.
Dalam kempen yang berlangsung pada 8 Mac 2025 pula, Kelab Ihsan telah bekerjasama erat dengan barisan Pemimpin Pelajar Jabatan Tarbiyah dan Ta’dib serta Majlis Perwakilan Pelajar (ITMAJ). Ini mencerminkan semangat kerjasama antara pelbagai bahagian dalam madrasah demi memperkukuh impak khidmat masyarakat yang dijalankan.
Menerusi kempen ini, sebanyak 260 pek penjagaan Ramadan telah berjaya diagihkan kepada penerima yang memerlukan – merangkumi barangan asas harian, makanan sihat serta keperluan kebersihan diri yang amat penting bagi kesejahteraan pesakit kronik.
Kelab Ihsan Madrasah Aljunied terus memainkan peranan aktif dalam memperkasa pelajar sebagai agen perubahan masyarakat dengan menyertai dan menganjurkan pelbagai program berteraskan nilai ihsan, kasih sayang dan tanggungjawab sosial sepanjang Ramadan.
Pada 15 Mac 2025, ahli Kelab Ihsan bersama-sama Pasukan Belia Singapura (YCS), fasilitator serta jurulatih utama Program Jom Belajar Melayu 2024, telah menyertai program Pertapis Community Iftar yang turut melibatkan sesi interaksi mesra bersama warga emas Pertapis.
Dalam suasana penuh kasih sayang dan hormat, pelajar bukan sahaja berpeluang bergaul dengan generasi lebih tua, malah mendalami nilai adab dan penghargaan terhadap warga emas.
Acara yang menyentuh hati ini turut diserikan dengan persembahan nasyid dan bacaan tarannum oleh ahli Kelab Nasyid dan Tarannum, Nadi Aswat, lantas menjadikan iftar tersebut bukan sahaja sekadar jamuan, bahkan wadah untuk menyebarkan mesej keindahan Islam melalui seni suara dan budaya.
Sementara itu, Kelab Ihsan turut meneruskan komitmen khidmat masyarakat menerusi program Ramadan Connect: Unity in Community yang dijadualkan berlangsung pada 22 Mac 2025. Dalam program ini, Kelab Ihsan akan berganding bahu bersama Kelab Bola Jaring dengan menganjurkan Karnival Pembelajaran khas buat kanak-kanak penerima bantuan daripada Jamiyah Singapura.
Karnival ini bakal menampilkan pelbagai kegiatan pembelajaran interaktif berasaskan permainan yang bertujuan menanam nilai kerjasama, semangat kesukanan, dan hormat-menghormati sejak usia muda. Pendekatan ini mencerminkan hasrat Kelab Ihsan dalam membentuk pelajar yang bukan sahaja prihatin terhadap golongan rentan, malah kreatif dalam menyampaikan ilmu dengan cara menyeronokkan.
Program ini akan diakhiri dengan majlis iftar masyarakat, yang bukan sahaja bertujuan menyantuni para peserta, malah mengeratkan hubungan antara pelajar, sukarelawan, serta masyarakat secara keseluruhan. Majlis iftar ini dijangka menjadi medan memperkukuh ukhuwah dan memupuk semangat memberi dalam kalangan pelajar.
Cik Sharifah Anisah menjelaskan, program-program yang dianjurkan ini bertujuan memupuk semangat empati serta tanggungjawab sosial dalam kalangan pelajar di madrasah tersebut.
“Mereka juga berpeluang membangunkan kemahiran komunikasi, mampu menyelesaikan masalah dengan baik, berfikiran luas dan terbuka, selaras dengan kemahiran abad ke-21.
Selain itu, program ini membantu keluarga berpendapatan rendah yang mungkin bergelut dengan kos sara hidup yang tinggi, serta menjadikan Ramadan mereka lebih bermakna melalui pengalaman iftar istimewa bersama sukarelawan belia,” jelas Cikgu Sharifah Anisah.
Sebagai penerima zakat dalam golongan asnaf, Madrasah Aljunied Al-Islamiah menerima sumbangan derma dan zakat harta masyarakat bagi memastikan pendidikan berkualiti serta menyokong operasi dan programnya.
Orang ramai yang ingin menyumbang boleh berbuat demikian melalui:
1. PayNow ke UEN: T08GB0028LALJ atau mengimbas kod QR yang disediakan.
* Untuk maklumat lanjut, ikuti media sosial Instagram dan Facebook @Madrasah Aljunied.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg