Kenangan belajar di Madrasah Aljunied Al-Islamiah sudah pasti tidak pernah dilupakan oleh Ustaz Raja Lutfil Hadi Raja Muzaffar, 28 tahun. Manakan tidak, madrasah inilah yang menjadi tempat beliau menuntut ilmu agama bermula dari tahun 2003 hingga 2014, sehingga membentuk dirinya pada hari ini.
Kini, Ustaz Raja Lutfil Hadi memikul tanggungjawab sebagai Ketua Sosial dan Penglibatan Masyarakat Masjid Al-Istighfar, yang menjangkau masyarakat Islam di Pasir Ris dan masyarakat Islam secara keseluruhan.
Mengimbas kembali penglibatan Ustaz Raja Lutfil Hadi ketika di Madrasah Aljunied, beliau sangat bersyukur kerana berpeluang mempelajari bahasa Arab di madrasah tersebut.
Sebagai rekod, beliau pernah mewakili Madrasah Aljunied dalam kejohanan Bahas Antarabangsa Pelajar Musleh di Malaysia dan berjaya menyandang naib johan dalam pertandingan dalam bahasa Arab tersebut.
Penyertaan bahas bukan sahaja melatih diri untuk berfikir secara kritikal, malah menambah keyakinan dan memperbaiki kemahiran komunikasi beliau, yang menjadi senjata utama dalam usahanya berdakwah hingga ke hari ini.
Jelas Ustaz Raja Lutfil Hadi:
“Apabila ingin berdakwah di khalayak ramai, seseorang pendakwah dan asatizah perlu memiliki semangat, keyakinan dan kemahiran dalam bertutur. Menerusi penyertaan bahas, ia akan melatih keupayaan seseorang itu dalam menyampaikan hujah secara strategik, sama seperti hendak menyampaikan ilmu dakwah. Maka, penyertaan bahas di Madrasah Aljunied sangat-sangat membantu saya menyebarkan dakwah secara berkesan kepada masyarakat pada hari ini, terutamanya generasi muda.”
Sehubungan itu, Ustaz Raja Lutfil Hadi berpesan agar semua pelajar tidak melupakan jasa asatizah kerana peranan mereka sangat besar dalam mencungkil potensi anak-anak pelajar di madrasah, seterusnya membantu pembentukan akhlak seseorang pendakwah yang baik.
Didikan akhlak yang diperjuangkan di madrasah, mengingatkan pelajarnya agar sentiasa menghargai pengorbanan asatizah yang tidak jemu mendidik serta sentiasa merendah diri walaupun berada di puncak.
“Dalam medan berdakwah, seseorang itu pasti mempunyai guru ataupun beberapa guru yang masih berhubung rapat supaya perjalanan dakwah tersebut sentiasa mendapat panduan daripada figura asatizah.
“Perkara ini merupakan konsep ataupun adat berguru yang masih perlu ada dalam diri seseorang pendakwah. Oleh itu, amalkan sikap menghormati asatizah dan kembali menziarahi madrasah serta guru-guru yang pernah mendidik anda sebagai tanda penghargaan,” katanya.
Menghargai institusi kesayangannya, Ustaz Raja Lutfil Hadi sentiasa merindui detik-detik ketika masih bergelar pelajar di Madrasah Aljunied.
“Sebagai bekas pelajar madrasah, suasana madrasah itu pasti dirindui kerana ia merupakan suatu kenangan yang mustahil diulang pada hari ini. Kenangan ditegur, diajar dan juga bergembira bersama teman-teman di Madrasah Aljunied tentu sekali menjadi pengalaman paling bermakna.
“Setiap kali terserempak dengan teman-teman junior atau senior Madrasah Aljunied, itu sedikit sebanyak mengingatkan memori ataupun kenangan baik di Madrasah Aljunied, sehingga menjadikan diri saya yang sekarang,” jelas Ustaz Raja Lutfil Hadi.
Selain itu, beliau turut berkhidmat sebagai pembimbing di satu-satunya sebuah kelab debat bahasa Arab yang ditubuhkan pada tahun 2023 di Singapura iaitu MunazarahSG.
Kelab ini menyediakan khidmat latihan perbahasan dalam bahasa Arab kepada madrasah yang berminat untuk menghantar wakil mereka ke mana-mana peraduan bahas bahasa Arab.
“Insya-Allah, platform ini akan terus disediakan kepada pelajar yang berminat dalam arena bahas, khususnya dalam bahasa Arab. Semoga usaha ini berpanjangan dan mendapat keberkatan,” akhiri Ustaz Raja Lutfil Hadi.
Orang ramai yang ingin menghulurkan derma dan menyokong masa depan generasi asatizah, boleh hulurkan sumbangan menerusi Madrasah Aljunied, iaitu PayNow ke UEN: T08GB0028LALJ atau imbas kod QR yang disediakan.
Ikuti media sosial, Instagram dan Facebook@Madrasah Aljunied untuk mendapatkan berita terkini tentang pembangunan pelajar dan asatizah.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg