Mulai Ogos, semua mahasiswa Universiti Nasional Singapura (NUS), tanpa mengira bidang pengajian, diwajibkan mengikuti tidak kurang daripada dua kursus kecerdasan buatan (AI) sebelum tamat pengajian.

Ini termasuk kursus pengenalan AI baharu untuk mahasiswa baharu serta perubahan pada kurikulum teras dan jurusan. Semua mahasiswa dan kakitangan juga boleh menggunakan ChatGPT Edu secara percuma, versi yang dibangunkan OpenAI untuk universiti dan sekolah.

Langkah itu sebahagian daripada strategi AI baharu yang diumumkan NUS pada 11 Ogos.

Di bawah rancangan itu, AI akan disepadukan dalam pengajaran setiap disiplin dan tugasan harian pelajar, sambil memastikan mereka terus mengembangkan sifat manusia seperti pertimbangan dan perhubungan.

“Fungsi teras universiti adalah untuk membangunkan manusia, bukan AI,” kata Timbalan Presiden (Hal Ehwal Akademik) dan Provos NUS, Prof Aaron Thean.

Matlamatnya ialah semua mahasiswa “fasih AI” apabila tamat pengajian, manakala sebilangan kecil yang mendalami bidang itu akan menguasainya.

NUS mempunyai hampir 29,600 mahasiswa di 15 kolej, fakulti dan sekolah.

Mulai kohort Ogos 2026, semua mahasiswa wajib melengkapkan modul baharu, “Applied Generative AI: From Prompting to Evaluation” (AI Penjanaan Gunaan: Daripada Arahan kepada Penilaian).

Mahasiswa di beberapa kolej dan sekolah utama NUS juga akan mengikuti kursus wajib berkaitan AI sebagai sebahagian kurikulum teras bersama. Mereka merangkumi lebih 85 peratus mahasiswa NUS.

Setiap jurusan turut memperkenalkan sekurang-kurangnya satu kursus wajib tentang kesan AI terhadap kerjaya berkenaan, seperti AI dan Dasar Awam bagi pelajar sains politik.

Mulai 31 Ogos, semua mahasiswa, tenaga pengajar dan kakitangan boleh menggunakan ChatGPT Edu pada peringkat asas, dengan had mesej lebih tinggi dan perlindungan data lebih baik berbanding versi percuma.

Sebagai sebahagian kerjasama dengan OpenAI, alat lebih canggih akan diuji dalam kursus terpilih yang memerlukan penggunaan AI lebih mendalam, seperti pengkomputeran.

NUS juga sedang membangunkan tujuh alat AI untuk pengajaran, termasuk “penjana senario” bagi latihan simulasi berkuasa AI dan pengajar Sokratik yang mengemukakan soalan, bukan jawapan.

Alat lain akan membantu tenaga pengajar mengenal pasti jurang pembelajaran dan menjejaki penyertaan kelas, serta membantu pelajar membuat penyelidikan dan mengenal pasti kelemahan dalam jawapan janaan AI.

Prof Thean berkata: “Strategi AI kami tertumpu pada satu perkara, iaitu membangunkan bakat manusia.”

Universiti Teknologi Nanyang (NTU) pada April lalu turut melaksanakan dasar serupa, mewajibkan pembelajaran kemahiran asas AI untuk semua pelajar mulai Ogos.

Mahasiswa NTU juga boleh menggunakan rangkaian alat AI canggih Google secara percuma, termasuk untuk automasi di tempat kerja dan membangunkan ejen AI.

Di NUS, mahasiswa kejururawatan mula menggunakan AI dalam pembelajaran.

Sebelum memasuki bilik pesakit sebenar, mahasiswa kejururawatan tahun empat Encik Nicholas Lau, 29 tahun, menjalani lima peringkat latihan simulasi.

Latihan bermula dengan kemahiran klinikal seperti membalut luka, diikuti simulasi bersama pelakon yang berperanan sebagai pesakit dan ahli keluarga yang tertekan.

Mahasiswa kemudian menjalani simulasi berkuasa AI yang menurut Encik Lau seperti permainan video, dengan memeriksa pesakit, mengukur tanda vital dan bertanya tentang keadaannya.

Apabila “jalan cerita” berkembang, keadaan pesakit merosot, memerlukan pelajar menilai keadaan, membuat keputusan dan menjelaskan alasan mereka. AI mengemukakan soalan susulan dan mencabar keputusan mereka sehingga “memaksa anda menjelaskan cara anda berfikir dan bukannya menghafal jawapan”, kata Encik Lau.

Latihan diteruskan dengan simulasi realiti maya bermasa, apabila pelajar menilai pesakit bersama rakan dari institusi lain, sebelum penilaian berpasukan.