Topik diikuti
Pergi ke BHkuProgram Residensi Penulis Melayu kembali buat edisi kedua
Program Residensi Penulis Melayu kembali buat edisi kedua
Usaha lahir generasi penulis baharu hasil bimbingan mentor selama enam bulan, permohonan kini dibuka hingga 6 Jul
Program Residensi Penulis Melayu kembali buat edisi kedua
Program Residensi Penulis Melayu, anjuran Majlis Buku Singapura (SBC) dan Yayasan Warisan Melayu (MHF), kembali lagi buat edisi kedua pada 2026.
Residensi yang dijalankan selama enam bulan antara Julai dengan Disember ini bermatlamat melahirkan generasi penulis Melayu baharu dengan pementoran yang lebih terperinci.
Ia menawarkan waktu, ruang dan bimbingan khas kepada penulis terpilih untuk mengembangkan cerpen atau projek penulisan cereka dalam bahasa Melayu yang meneroka soal budaya, identiti dan warisan Melayu.
Satu-satunya program residensi penulisan di Singapura, edisi kali ini bakal memadankan para peserta dengan penulis mapan dan tokoh kesusasteraan dari Singapura dan luar negara.
Peserta residensi itu bakal menerima bimbingan secara individu bersama penulis tempatan berpengalaman, sama ada Encik Farihan Bahron atau Dr Noridah Kamari, selama empat bulan.
Pada 2025, empat peserta yang terpilih telah menjalani sesi bimbingan bersama penulis mapan dan pakar sastera dari Malaysia, Profesor Madya Dr Mawar Safei.
Bagi 2026, para peserta dijangka mendapat bimbingan daripada seorang penulis asal Indonesia.
Menurut SBC, pada akhir program residensi tersebut, peserta akan diberi peluang berkongsi tentang karya mereka di toko buku tempatan, Wardah Books.
Justeru, ini membuka lebih banyak peluang buat peserta membina rangkaian bersama jaringan persuratan dan warisan yang lebih besar.
Selain itu, selepas tiga kohort pementoran selesai, sebuah e-buku digital yang menghimpunkan karya mereka akan diterbitkan.
Karya-karya terpilih juga berpotensi diterbitkan oleh penerbit tempatan atau luar negara, sekali gus memberikan pengalaman sebenar kepada peserta tentang proses penerbitan profesional.
Usaha residensi seperti ini menyediakan persekitaran yang tersusun untuk penulis baharu mengasah kemahiran penulisan, menyiapkan manuskrip bermutu, serta mendalami pengetahuan tentang industri penerbitan.
Ia turut memupuk masyarakat penulis Melayu yang dinamik di Singapura serta mengukuhkan jaringan dengan dunia kesusasteraan Melayu yang lebih luas.
Justeru, ia menjadi satu kepentingan untuk menyuburkan dunia penulisan Melayu di Singapura.
Mengulas lanjut mengenainya, jurucakap SBC berkongsi:
“Matlamat utama kami adalah mengubah potensi penulisan menjadi karya yang diterbitkan.
“Kami juga ingin membimbing penulis baharu menjadi suara yang yakin dan berwibawa dalam dunia kesusasteraan Melayu.
“Dengan edisi kedua, Program Residensi Penulis Melayu terus membina ekosistem pembangunan bakat sastera Melayu yang mampan di Singapura.
“Melalui program ini, penulis-penulis baharu bukan sahaja diberikan sokongan, malah diperkasa untuk berkembang, menerbitkan karya, dan menyumbang secara bermakna kepada landskap sastera pelbagai bahasa di Singapura.”
Permohonan bagi program residensi itu kini dibuka hingga 6 Julai.
Penulis yang berminat boleh mendaftar dan membuat permohonan melalui pautan, https://bh.sg/residensi
