Topik diikuti
Pergi ke BHkuResidensi Tari Topeng di Malang kembali lagi, permohonan dibuka hingga 28 Jun
Residensi Tari Topeng di Malang kembali lagi, permohonan dibuka hingga 28 Jun
Residensi Tari Topeng di Malang kembali lagi, permohonan dibuka hingga 28 Jun
Residensi Tari Topeng, kendalian Yayasan Warisan Melayu (MHF), di bawah Program Pensijilan Seni (ACP) dengan kerjasama Universiti Negeri Malang, Indonesia, kembali lagi buat edisi keduanya pada 2026.
Sejak kali pertama diadakan pada 2025, program ini kekal komited dalam mengangkat seni tradisional Nusantara, khususnya tarian Tari Topeng, sebagai warisan yang dikongsi bersama.
Demi memastikan penggiat seni tempatan dapat terus disokong bagi mempertingkatkan diri, program itu menjadi pemangkin untuk menaikkan tahap kesenian mereka kepada peringkat profesional.
Justeru, program itu bertujuan memperkasa penggiat seni melalui pensijilan formal, yang boleh menjadi pintu kepada peluang kerjaya sebagai seorang seniman, khususnya, penari.
Melalui program residensi itu, penggiat seni bukan sahaja dapat melestarikan seni tradisional, malah, menjadi pembimbing atau tenaga pengajar bagi kelas seni di sekolah sekembalinya mereka di Singapura.
Apabila dihubungi Berita Harian (BH), Pengurus Besar MHF, Cik Rilla Melati Bahri, berkata:
“Ia penting untuk menyokong penggiat seni muda bagi melestarikan warisan budaya tidak ketara (ICH) untuk disambung generasi mendatang.
“Semakin berkurangan golongan muda yang menceburi bidang seni tradisional dan ramai penggiat pakar juga telah meninggal dunia.
“Jadi, pembangunan profesional ini membantu penggiat untuk mengasah kemahiran dan terus menghidupkan budaya ini.”
Beliau juga berkongsi tentang potensi peluang bagi peserta setelah meraih pensijilan formal daripada residensi tersebut.
“Para peserta boleh menjangkakan mereka dipadankan dengan sekolah di Singapura yang ingin memulakan program Tari Topeng sebagai kegiatan kokurikulum (CCA) atau sebahagian daripada sambutan kebudayaan.
“Mereka juga boleh memulakan bengkel tarian mereka sendiri dan menjadi jurulatih untuk membimbing penari lain yang berminat dengan seni tari tersebut,” tambahnya.
Program residensi selama 26 hari itu akan berlangsung di kampus Universitas Negeri Malang antara 5 dengan 30 Oktober.
Ia ditaja sepenuhnya dan merangkumi tambang penerbangan dan penginapan selama 28 hari serta elaun bagi semua peserta.
ACP kali ini mempunyai dua laluan, di mana peserta boleh memilih untuk menyertai Residensi Tari Topeng atau Residensi Pembuatan Topeng (Kraf Warisan).
Peserta yang terpilih akan berpeluang dibimbing oleh pakar industri dari Fakulti Seni di universiti tersebut.
Mereka juga akan berkesempatan menerima bimbingan daripada Pak Handoyo, Mahaguru bagi seni Tari Topeng Jawa dari Asmoro Bangun, sebuah sekolah tari topeng terbilang.
“ACP berharap untuk terus kembangkan usaha ini kepada genre dan seni yang lain serta bekerjasama dengan pertubuhan profesional lain dan universiti untuk membantu seniman mengukuhkan lagi bakat dan kelayakan mereka,” tambah Cik Rilla.
Permohonan bagi program residensi ini telah dibuka hingga 28 Jun.
Para penggiat seni boleh mendaftar dan membuat permohonan melalui pautan borang yang tertera pada Instagram MHF.
