Melaksanakan rukun-rukun haji memerlukan ketahanan fizikal yang tinggi, termasuk tawaf, sai dan berwuquf di Arafah yang sering dilakukan di bawah cuaca panas terik, apatah lagi dalam keadaan sesak dengan begitu ramai jemaah.
Oleh itu, ejen penjualan (GSA) pakej haji seperti Halijah Travel Pte Ltd menitikberatkan pelibatan jemaah haji di bawah naungannya untuk ikut serta dalam program Sihat untuk Haji atau Get Fit for Haj (GFH).
Berkongsi dengan Berita Harian (BH) menerusi wadah Zoom, Pengurus Besar Halijah Travel Pte Ltd, Encik Haffidz Abdul Hamid, berkata berdasarkan demografi jemaah haji Singapura yang kebanyakannya berusia 60 tahun ke atas, tahap kecergasan fizikal menjadi semakin penting.
Ini memandangkan ibadah haji merupakan ibadah amali yang memerlukan daya ketahanan dan kekuatan fizikal.
“Kalau kita kita lihat, umpamanya kalau kita tawaf dan sai... lebih kurang satu tawaf itu dalam tiga hingga tiga setengah kilometer. Satu kali jalan buat umrah itu dalam 7 kilometer harus berjalan. Jadi, mesti ada tahap kecergasan, itu satu.
“Yang kedua, dengan keadaan jemaah yang sesak dan ramai, kadang-kadang jemaah rasa cemas, takut, bimbang, terlepas daripada kumpulan dan dalam cuaca yang panas dan kering, ini semua akan memberi kesan kepada mereka,” jelas pengurus besar berusia 64 tahun itu.
GFH merupakan inisiatif di bawah M³, yang terdiri daripada Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Mendaki, dan Majlis Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (PA Mesra) dalam menyokong jemaah haji dalam membuat persiapan menghadapi ibadah haji yang mencabar dari segi fizikal.
Usaha ini juga melibatkan kerjasama Muis dengan badan lain seperti Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB), Persatuan Ejen-Ejen Pelancong Muslim Singapura (Amtas), dan Persatuan Karyawan Penjagaan Kesihatan Islam (MHPA).
Dalam program tersebut, ia menawarkan kelas senaman dan juga ceramah kesihatan.
Namun, pada 2025, program tersebut telah dipertingkatkan dengan tiga komponen baru bagi mengukuhkan persiapan jemaah secara holistik.
Dari segi latihan kecergasan fizikal, program ‘Kuatkan Jasmani, Kukuhkan Rohani’ adalah program kecergasan yang menerapkan rutin senaman penguatan otot secara berperingkat untuk meningkatkan kekuatan bahagian bawah badan.
Bagi pendidikan kesihatan, GSA menganjurkan sesi ceramah kesihatan dikendalikan para doktor dari Persatuan Karyawan Penjagaan Kesihatan Islam (MHPA).
Pada sesi-sesi tersebut, jemaah akan dinasihatkan tentang cara menjaga kesihatan seperti perubahan diet dan menangani isu perubatan lazim semasa melakukan ibadah haji.
Antaranya, Halijah Travel Pte Ltd telah mengundang anggota dan salah seorang ahli pengasas Persatuan Karyawan Penjagaan Kesihatan Islam (MHPA), Dr Fatimah Lateef, untuk memberikan taklimat kesihatan di Madrasah Aljunied pada 11 Mei.
Selain itu, jemaah digalakkan mendaftar dalam inisiatif SG Lebih Sihat (Healthier SG) melalui kehadiran Duta SG Lebih Sihat yang menghadiri kelas-kelas haji kendalian GSA.
Meskipun mendapat sambutan menggalakan daripada jemaah yang ikut serta dalam program GFH yang dipertingkatkan itu, Encik Haffidz berharap mereka akan terus mengekalkan gaya hidup sihat dan meneruskan amalan senaman selepas pulang dari Tanah Suci.
“Seperti yang dikongsikan Dr Fatimah Lateef dalam taklimat beliau, jemaah dinasihatkan supaya terus menjaga kesihatan dan mengekalkan tahap kecergasan yang telah dicapai selepas pulang dari haji.
“Kalau anda sudah mencapai tahap kecergasan yang optimal, kekalkan tahap itu,” ujar beliau.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg