ARAFAH: Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi telah mengumumkan kejayaan melaksanakan pelan penghantaran jemaah haji ke Arafah, yang bermula pada waktu subuh 9 Zulhijjah, lapor Agensi Media Saudi (SPA).
Operasi tahun 2025 ini dilaksanakan di bawah model yang menyepadukan agensi perkhidmatan dan kawal selia melalui pusat penghantaran dan operasi bersama.
Pergerakan jemaah haji dilakukan melalui bas dan kereta api, mematuhi jadual waktu yang ketat, dengan pemantauan lapangan yang rapi dan keselamatan yang dipertingkatkan.
Ini bagi memastikan kelancaran aliran trafik dan kerja-kerja mengangkut para jemaah yang cekap daripada hotel masing-masing ke khemah-khemah di Arafah tanpa kesesakan besar.
Pada hari Arafah, jemaah berkumpul untuk berwukuf di Padang Arafah. Ditaksirkan sekitar 1.8 juta jemaah dari seantero dunia mengerjakan haji tahun ini.
Pelan itu menggabungkan latihan pra-simulasi untuk menjangka pelbagai senario, serta kesediaan pasukan lapangan dan penyelarasan rapat di kalangan agensi berkaitan.
Kecerdasan buatan (AI) memainkan peranan penting dengan menganalisis data pada masa nyata untuk mengenal pasti kawasan yang padat dengan jemaah dan membolehkan pengalihan mereka apabila diperlukan.
Pusat pemantauan dan kawalan 24 jam, dilengkapi dengan kamera pintar yang dipautkan ke sistem pusat, menyokong tindakan membuat keputusan segera dengan kerjasama agensi keselamatan dan perkhidmatan.
Kad Nusuk digital juga menyumbang kepada kecekapan pelan itu dengan menyepadukannya dengan platform Nusuk dan Tawakkalna, menggunakan kod respons untuk memantau pergerakan jemaah dan menjejaki masa mereka masuk dan keluar.
Kementerian itu berkata penghantaran lancar para jemaah ke Arafah mencerminkan kejayaan perancangan awal dan integrasi lapangan, meletakkan asas bagi pelaksanaan lancar upacara berikut di Muzdalifah dan Mina.
Inisiatif itu merupakan sebahagian daripada Program Pengalaman Haji di bawah Wawasan Saudi 2030, bertujuan membina sistem operasi yang mampan dan bersepadu.
“Arab Saudi beriltizam untuk memastikan pengalaman haji bukan saja sah dari segi ibadah, bahkan juga selamat dan selesa bagi semua jemaah,” kata Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Tawfiq al-Rabiah, yang dipetik menyatakan demikian sebelum ini. - Agensi berita


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg