Program Latihan Amali dan Sokongan Kerjaya ITE-SG Enable (SGE) akan diperluas untuk menyokong lebih ramai pelajar Institut Pendidikan Teknikal (ITE) dengan Keperluan Pendidikan Khas (SEN) sedang mereka beralih dari ITE ke alam pekerjaan.
Sekitar 100 pelajar sedemikian sudah melalui program itu. Kementerian Pendidikan (MOE) mahu memperluaskan program tersebut untuk melibatkan sekitar 250 pelajar setiap tahun.
Dirintis pada pertengahan 2024, pelajar di bawah program itu menerima latihan dalam bidang seperti komunikasi di tempat kerja dan penyediaan resume dan temu duga untuk menyediakan mereka menyertai tenaga kerja.
Pelajar yang terlibat kemudian akan diberi peluang latihan amali dan akan disokong pelatih pekerjaan.
Demikian diumumkan Menteri di Pejabat Perdana Menteri dan Menteri Kedua (Ehwal Luar merangkap Pendidikan), Dr Mohamad Maliki Osman, semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) Kementerian Pendidikan (MOE) pada 6 Mac.
“Sokongan MOE kepada pelajar SEN tidak berhenti di sekolah. Kami juga memastikan mereka beralih dengan baik ke pendidikan tinggi dan tempat kerja.
“Lebih ramai pelajar dengan SEN maju daripada sekolah arus utama dan institusi pendidikan khas (Sped) ke Institusi Pendidikan Pascamenengah, termasuk ITE,” kata Dr Maliki.
Menurut beliau, ITE dan SGE sedang bekerjasama rapat untuk meningkatkan program itu untuk memberi manfaat kepada lebih ramai pelajar.
“ITE akan meluaskan sokongan latihan amali yang disediakan, supaya lebih ramai pelajar dengan SEN boleh mendapat manfaat daripada sokongan kerja berstruktur tersebut,” tambah Dr Maliki.
Sepanjang tiga tahun lalu, lebih 1,000 pelajar dengan SEN memasuki ITE setiap tahun.
Selain peluasan program tersebut, MOE bekerjasama dengan agensi perkhidmatan sosial (SSA) dan sekolah Sped bagi terus memanfaatkan teknologi maklumat dan pendigitalan untuk meningkatkan proses di sekolah Sped.
Ini bertujuan meningkatkan kecekapan dan memudahkan perkongsian data.
Untuk meringankan beban kerja pentadbiran guru, MOE sedang mengkaji huraian digital, termasuk kemungkinan memperluaskan sistem MOE sedia ada ke sekolah Sped.
Ini akan memberi lebih banyak masa kepada guru memberi tumpuan kepada pengajaran dan meningkatkan hasil pembelajaran.
Namun, Dr Maliki berkata perkara itu perlu diteliti untuk “mengambil kira keperluan pelbagai pelajar Sped, ibu bapa dan guru”.
“Misalnya, ibu bapa dengan anak yang mempunyai SEN akan mempunyai proses dan pengalaman kemasukan yang berbeza daripada ibu bapa dengan anak di sekolah arus utama.
“Walaupun proses memohon ke sekolah arus utama boleh sebahagian besarnya diautomasikan, sekolah Sped akan memerlukan maklumat tambahan daripada ibu bapa dan profesional, untuk lebih memahami keperluan kanak-kanak itu,” jelas beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg