Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Anugerah Kemajuan ITE dilanjut kepada kursus diploma WSQ mulai 1 Jun

Mar 6, 2025 | 8:35 PM
Menteri Kedua Pendidikan, Dr Mohamad Maliki Osman, yang juga Menteri di Pejabat Perdana Menteri.
Menteri Kedua Pendidikan, Dr Mohamad Maliki Osman, yang juga Menteri di Pejabat Perdana Menteri. - Foto MDDI

Anugerah Kemajuan Institut Pendidikan Teknikal (ITE) akan dilanjutkan kepada lulusan ITE yang mempertingkat kemahiran mereka melalui kursus diploma yang ditawarkan di bawah Kelayakan Kemahiran Tenaga Kerja (WSQ), mulai 1 Jun.

Ini bermakna anugerah itu akan dilanjutkan kepada lebih banyak kursus, di luar tawaran ITE dan politeknik, kata Menteri Kedua Pendidikan, Dr Mohamad Maliki Osman, semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) kementeriannya di Parlimen pada 6 Mac.

Dengan itu, lebih 30 program diploma akan layak bagi anugerah itu, di samping 300 program yang sudah layak hari ini.

Dr Maliki berkata ini dilakukan untuk memberi sokongan kepada lulusan ITE dengan keperluan peningkatan kemahiran yang berbeza.

“Diploma WSQ ini adalah selaras dengan Rangka Kerja Kemahiran dan membolehkan individu meraih kemahiran dan kelayakan untuk mendapatkan pekerjaan yang baik,” kata beliau, yang juga Menteri di Pejabat Perdana Menteri.

Anugerah Kemajuan ITE itu, yang diperkenalkan dalam Belanjawan 2024, menyediakan $15,000 kepada lulusan ITE muda yang ingin mempertingkat kemahiran dan meraih diploma awal dalam kerjaya mereka.

Dr Maliki berkata menjelang hujung Mac, pemerintah akan menganugerahkan sekitar $90 juta untuk menyokong perjalanan peningkatan kemahiran sekitar 12,000 lulusan ITE yang mendaftar atau telah selesai pengajian diploma mereka pada 2024.

Sementara itu, Menteri Pendidikan, Encik Chan Chun Sing, berkata permohonan bagi Elaun Latihan Pertengahan Kerjaya SkillsFuture sehingga $3,000 sebulan untuk latihan sepenuh masa akan dibuka pada 10 Mac, bagi latihan bertauliah mulai 1 April.

Elaun tersebut membantu menampung sebahagian pendapatan individu yang mungkin terjejas apabila mereka menyertai kursus latihan sepenuh masa terpilih.

Elaun itu adalah antara komponen di bawah Program Peningkatan SkillsFuture untuk rakyat Singapura berusia 40 tahun dan ke atas, yang diumumkan pada 2024.

Mulai awal 2026, elaun itu akan dilanjutkan untuk kursus latihan sambilan, dengan individu boleh menerima elaun tetap $300 setiap bulan.

Encik Chan menambah pekerja pertengahan kerjaya boleh terus bekerja dan mendapat gaji mereka apabila menyertai kursus latihan sambilan, namun mereka juga perlu menanggung perbelanjaan pembelajaran, seperti buku dan pengangkutan.

“Ini akan memberi pekerja lebih fleksibiliti untuk memilih antara latihan sambilan atau sepenuh masa bergantung pada keperluan khusus dan keadaan peribadi mereka,” kata beliau.

“Diploma WSQ (Kelayakan Kemahiran Tenaga Kerja) ini adalah selaras dengan Rangka Kerja Kemahiran dan membolehkan individu meraih kemahiran dan kelayakan untuk mendapatkan pekerjaan yang baik.”
Menteri Kedua Pendidikan yang juga Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Mohamad Maliki Osman.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg