Topik diikuti
Pergi ke BHkuProgram dalam talian baharu Mendaki bantu pelajar persiap untuk GCE ‘A’
Program dalam talian baharu Mendaki bantu pelajar persiap untuk GCE ‘A’
Program dalam talian baharu Mendaki bantu pelajar persiap untuk GCE ‘A’
Sekitar 600 pelajar Melayu/Islam yang sedang membuat persiapan bagi peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) peringkat ‘A’ kini mendapat sokongan akademik dalam talian baharu.
Dilancarkan pada 30 Mei, Program Aspirasi Mendaki adalah sesi pembelajaran dalam talian yang bertujuan menyediakan sokongan akademik secara berstruktur dan mudah diakses pada setiap Sabtu dan Ahad.
Ia akan dijalankan hingga November dan menawarkan sesi bimbingan selama satu setengah jam bagi setiap kelas, meliputi beberapa mata pelajaran utama seperti Kertas Am, Ekonomi, Matematik, Fizik, Kimia, Sejarah dan Kesusasteraan dalam Bahasa Inggeris.
Program itu dilancarkan Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Encik Zaqy Mohamad, sebelum sesi pertamanya dijalankan.
Dalam ucapan pembukaannya menerusi satu rakaman video, Encik Zaqy, yang juga Pengerusi Yayasan Mendaki, menekankan kemajuan penting masyarakat Melayu/Islam dalam bidang pendidikan.
Menurutnya, hanya tiga daripada 10 belia Melayu melanjutkan pelajaran melepasi peringkat sekolah menengah pada dua dekad lalu, tetapi kini lapan daripada 10 berjaya melakukan demikian.
“Program Aspirasi memberi sokongan akademik yang berfokus, persediaan awal, serta bimbingan berterusan sepanjang tempoh pengajian peperiksaan GCE peringkat ‘A’.
“Ia bukan hanya untuk pelajar yang memerlukan bantuan tambahan, tetapi juga untuk pelajar berpotensi tinggi yang ingin mengasah kebolehan mereka,” terang Encik Zaqy menerusi rakaman itu.
Menurut Mendaki, mereka memberikan subsidi penuh untuk Program Aspirasi.
Bagi menyokong pembelajaran di luar sesi dalam talian, pelajar yang telah menghadiri sesi itu menerima nota pelajaran dan rakaman selepas setiap kelas.
Pelajar juga boleh mengemukakan soalan melalui borang dalam talian sebelum atau semasa sesi, bagi membolehkan tutor memberi penjelasan lanjut dan sokongan pada bahagian yang memerlukan.
Dalam satu kenyataan pada 30 Mei, Mendaki berkata program itu disampaikan menerusi wadah pembelajaran khusus yang direka khas untuk persediaan peperiksaan GCE peringkat ‘A’.
Tambahnya, wadah tersebut membolehkan pelajar menjejak kemajuan mereka merentasi sesi dan mata pelajaran.
“Kerja yang dihantarkan pelajar akan dianalisis secara automatik bagi mengenal pasti jurang pembelajaran individu, manakala tutor menerima maklumat bagi membantu mereka memberi tumpuan kepada bidang yang paling memerlukan perhatian.
“Pelajar juga mempunyai akses kepada wadah latihan berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang mampu memberikan maklum balas terhadap jawapan bertulis berpandukan sukatan pelajaran, serta menyokong ulang kaji antara sesi,” tulis kenyataan itu.
Kesemua bahan pelajaran, rakaman sesi, dan nota mata pelajaran juga boleh diakses melalui wadah tersebut, membolehkan pelajar mengulang kaji kandungan mengikut kadar pembelajaran masing-masing.
