Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Program urus haiwan diperluas bagi urus kucing jalanan

May 11, 2024 | 5:36 PM
AVS juga akan mempertingkat sokongan pembiayaan bagi kembiri serta memasang mikrocip kepada kucing dalam masyarakat.
AVS juga akan mempertingkat sokongan pembiayaan bagi kembiri serta memasang mikrocip kepada kucing dalam masyarakat. - Foto BH oleh HARITH MUSTAFFA

Bilangan kucing masyarakat setempat kini akan diurus menerusi program Langkah Perangkap-Kembiri-Cari Rumah Baru atau Lepaskan Secara Terurus (TNRM), mulai 1 September 2024.

Program itu akan menggantikan Program Kembiri Kucing Terbiar yang disokong Perkhidmatan Haiwan dan Veterinar (AVS) sejak 2011.

Ini berikutan pelancaran Rangka Kerja Pengurusan Kucing yang baru pada 11 Mei, kata perkhidmatan di bawah kendalian Lembaga Taman Negara (NParks) itu.

Langkah pengurusan terkini bagi kucing jalanan diambil selepas program TNRM, yang sebelum ini digunakan bagi menguruskan anjing liar, diperluaskan bagi meliputi kucing jalanan.

AVS menyatakan ia akan bekerjasama dengan kumpulan kebajikan haiwan, doktor haiwan serta pengasuh masyarakat untuk menguruskan bilangan kucing jalanan menerusi TNRM.

Menurut AVS, sokongan pembiayaan bagi kembiri serta memasang mikrocip kepada kucing jalanan serta usaha penangkapan dan menawarkan tempat berteduh bagi kucing tersebut sebelum dan selepas kembiri turut bakal dipertingkat.

“Kucing kembiri akan ditempatkan semula ke rumah baru jika boleh, manakala baki kucing akan dilepaskan kembali ke pangkuan masyarakat, yang mana ia boleh terus dijaga oleh pengasuh komuniti,” tambah AVS.

Semasa mengumumkan rangka kerja baru itu, Menteri Negara Kanan (Perhubungan dan Penerangan merangkap Pembangunan Negara), Encik Tan Kiat How, berkata terdapat sekitar 13,000 kucing jalanan di tempat awam.

Rangka kerja itu turut menetapkan bahawa penghuni rumah Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) dibenarkan memelihara sehingga dua kucing dan perlu mendapatkan lesen serta memasang mikrocip pada setiap kucing mulai 1 September.

“Sama seperti kucing peliharaan, kucing jalanan juga mempunyai ruang istimewa dalam hati kita dan sangat disayangi dalam kejiranan kita,” kata Encik Tan semasa acara Pets’ Day Out di Taman East Coast pada 11 Mei.

Kumpulan kebajikan haiwan yang ditemui Berita Harian (BH) semasa acara tersebut telah mengalu-alukan langkah di bawah rangka kerja baru itu.

“Dengan keperluan mendapatkan lesen serta memasang mikrocip bermakna pemilik atau pengasuh akan lebih dipertanggungjawabkan terhadap kesihatan, kebajikan dan kemaslahatan kucing atau haiwan peliharaan itu,” kata Cik Thenuga Vijayakumar, Presiden Persatuan Kebajikan Kucing (CWS).

“Saya kira dengan rangka kerja itu, ia juga melakarkan secara jelas sekiranya seseorang itu pemilik haiwan peliharaan yang bertanggungjawab atau tidak, sebab sekarang masyarakat mempunyai jangkaan yang jelas terhadap apa perbuatan yang diterima dan yang bukan,” tegasnya.

Cik Aarthi Sankar, Pengarah Ekesekutif Persatuan Cegah Kekejaman ke atas Binatang, pula berharap dengan adanya tuntutan lesen, ia akan mendorong pemilik kucing supaya mengembirikan kucing mereka.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg