Sebelum fajar pada 29 Mei, seramai tujuh orang sedang bekerja di satu kawasan pantai yang sunyi di Taman East Coast.
Pasukan itu bertugas di sepanjang pantai, menanam rumput laut ke dalam pasu kecil dari masa ke masa, yang akan dipindahkan ke Pulau Subar atau Sisters’ Island keesokan harinya.
Usaha ini menandakan fasa pertama projek pemulihan rumput laut di Singapura.
Ia diketuai bersama oleh Timbalan Pengarah Pusat Biodiversiti Kebangsaan Lembaga Taman Negara (NParks) (cawangan Pantai dan Marin), Dr Samantha Lai; dan Penyelidik Kanan Institut Sains Marin Tropika NUS (TMSI), Dr Ow Yan Xiang.
Projek itu, yang bertujuan memperkukuh pengetahuan mengenai pembiakan dan pemindahan rumput laut tropika, telah dilancarkan pada September 2024 dengan geran hampir $1 juta daripada OCBC Bank, lapor The Straits Times (ST).
Padang rumput laut menjadi sumber makanan dan perlindungan kepada pelbagai haiwan laut, serta bertindak sebagai tempat pembiakan anak ikan dan serangga.
Tidak seperti projek terdahulu, daya usaha itu turut memberi tumpuan kepada aspek pemulihan.
Dalam konteks alam sekitar, ini bermakna usaha untuk memulihkan ekosistem atau kawasan landskap yang terjejas.
Bagi penyelidik seperti Dr Ow, pelancaran projek itu amat tepat pada masanya.
“Sebagai saintis, kami sentiasa memperjuangkan pemuliharaan rumput laut, yang saya fikir amat penting.
“Namun realitinya, padang rumput laut sedang pupus dengan cepat, sebagai contoh, di Asia Tenggara, kadar kehilangan adalah sebanyak 5 peratus setiap tahun.
“Dan jika kita sedang kehilangan kawasan rumput laut dan usaha pemuliharaan tidak selari, kita perlu melihat pendekatan yang lebih progresif dan kurang pasif, iaitu pemulihan,” katanya.
Pasukan beliau, yang menjalankan penyelidikan utama di Makmal Marin Kebangsaan Pulau Sekijang Bendera atau Pulau St John (SJINML), menumpukan pada pembiakan rumput laut tropika.
Berbeza dengan rumput laut di perairan sederhana yang berbunga secara bermusim, tidak banyak yang diketahui tentang rumput laut tropika yang berbunga secara tidak tetap.
Daripada 12 spesies yang terdapat di Singapura, hanya dua – rumput laut sabit (Thalassia hemprichii) dan rumput laut reben (Enhalus acoroides) – yang kitaran pembiakannya telah dikaji dengan mendalam.
Dr Ow berkata: “Kedua-dua spesies ini cenderung untuk hidup lebih lama dan mempunyai biojisim yang lebih besar, jadi buah dan bunganya lebih mudah dilihat.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg