Projek BTO Pearl’s Hill suntik kesegaran bandar lama, guna tanah secara optimum

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Projek BTO Pearl’s Hill suntik kesegaran bandar lama, guna tanah secara optimum

Turut diperkenal 10,000 unit kediaman tambahan di Toa Payoh West, Mount Pleasant
Mar 4, 2026 | 6:24 PM

Projek BTO Pearl’s Hill suntik kesegaran bandar lama, guna tanah secara optimum

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Lakaran artis bagi pembangunan perumahan awam baharu setinggi 60 tingkat di Pearl’s Hill, berhampiran Stesen MRT Outram Park dan di kaki bukit Pearl’s Hill City Park.
Lakaran artis bagi pembangunan perumahan awam baharu setinggi 60 tingkat di Pearl’s Hill, berhampiran Stesen MRT Outram Park dan di kaki bukit Pearl’s Hill City Park. - Foto MND

Flat Bina Ikut Tempahan (BTO) baharu yang akan dibangunkan di Pearl’s Hill adalah sebahagian daripada 6,000 kediaman awam dan swasta yang akan dibina secara berperingkat di kawasan tersebut dalam tempoh sedekad mendatang.

Ia merupakan sebahagian usaha pemerintah menyuntik kesegaran pada kejiranan lama seperti Pearl’s Hill.

Projek BTO itu juga bakal menggabungkan unsur kehijauan, termasuk ciri air dan kanopi pokok yang diilhamkan daripada bentuk seni tradisional Cina yang menggambarkan kawasan pergunungan dan aliran air, kata Menteri Pembangunan Negara, Encik Chee Hong Tat.

Dengan pembangunan flat setinggi 60 tingkat, projek di Pearl’s Hill itu merangkumi sekitar 1,700 unit flat fleksi dua bilik, flat tiga dan empat bilik, serta 140 unit flat sewa awam di bekas tapak Kompleks Outram Park.

Projek BTO Pearl’s Hill merupakan salah satu daripada dua projek BTO yang diumumkan pada 4 Mac semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) Kementerian Pembangunan Negara (MND).

Menjelaskan projek tersebut, Encik Chee berkata:

“Ini merupakan sebahagian daripada usaha kami untuk mencari cara membina lebih banyak perumahan awam, dengan memanfaatkan penggunaan tanah secara intensif dan membina (flat) lebih tinggi apabila boleh.”

Projek BTO kedua yang bakal dilancarkan terletak di Toa Payoh West berhampiran Stesen MRT Caldecott.

Pembangunan itu membabitkan sekitar 1,600 unit, termasuk flat sewa awam, flat fleksi dua bilik, flat empat bilik, dan Apartmen Penjagaan Masyarakat (CCA) pertama di Toa Payoh.

Beliau turut berkata bekalan rumah fleksi dua bilik akan dinaikkan hampir 50 peratus dari 2026 hingga 2028 bagi memenuhi permintaan yang kian meningkat daripada warga emas dan golongan bujang.

“Kita perlu bersikap kreatif dan berfikir dengan mendalam tentang cara mengoptimumkan penggunaan setiap bidang tanah.

“Salah satu cara ialah dengan menyuntik kesegaran pada kawasan perumahan lama bagi memastikan ia kekal sesuai didiami dan meriah, dan pada masa yang sama, kita dapat meningkatkan intensiti penggunaan tanah,” kongsi Encik Chee.

Satu pembangunan rencam baru dengan unit kediaman privet, kedai runcit dan ruang kegunaan masyarakat juga akan dibina di tapak Caldecott.

Pembangunan itu termasuk pembinaan pusat beli-belah yang akan menyediakan lebih banyak pilihan kedai runcit dan makanan untuk penduduk.

Selain itu, MND juga bakal melancarkan lebih 10,000 unit kediaman tambahan di seluruh Toa Payoh West dan Mount Pleasant.

Kebanyakannya merupakan perumahan awam, dan sebahagiannya adalah kondominium privet, termasuk pembangunan rencam yang disebutkan itu, ujar Encik Chee.

Bagi menyokong penduduk yang berpindah ke perumahan BTO baharu berskala besar, Menteri Negara Kanan (Pembangunan Negara merangkap Pengangkutan), Cik Sun Xueling, berkata Jawatankuasa Penyelarasan BTO akan meneliti lima bidang utama – operasi bas, operasi kedai, kesediaan pusat jagaan kanak-kanak, laluan berbumbung dan pengurusan pembuangan barangan besar.

Cik Sun berkongsi maklum balas bahawa kumpulan pertama penduduk memerlukan ketersambungan pengangkutan yang lebih awal untuk membantu proses pemindahan mereka ke perumahan BTO.

Justeru, HDB dan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) akan merancang agar sekurang-kurangnya satu perkhidmatan bas beroperasi seiring dengan tempoh pengambilan kunci kumpulan pertama di estet BTO baharu berskala besar itu.

Bagi memastikan penduduk memperoleh akses awal kepada makanan yang telah dimasak dan barangan runcit, HDB akan melaksanakan tiga langkah.

Ia termasuk menyelaraskan garis masa pembinaan supaya kedai siap dibina serentak dengan waktu pengambilan kunci.

HDB juga akan siap bina Kawasan Jamuan Di Luar Bangunan (ORA) supaya pekedai kopi tidak perlu membinanya sendiri, sekali gus menjimatkan masa sehingga lapan bulan.

Di samping itu, HDB akan meningkatkan tempoh bebas sewa bagi kedai HDB dalam projek BTO baharu dari dua bulan kepada tempoh maksimum enam bulan.

Bagi kedai kopi pula, tempoh bebas sewa mereka akan meningkat dari tiga bulan kepada tempoh maksimum enam bulan.

“Peraturan ini akan diguna pakai bagi tender kedai mulai Mac 2026, dan kedai perlu memulakan operasi lebih awal untuk menikmati tempoh bebas sewa maksimum selama enam bulan.

“Bagi dua tahun pertama operasi, HDB juga akan menyusun kadar sewa secara berperingkat, dengan sewa ditetapkan pada 80 peratus untuk tahun pertama dan 90 peratus untuk tahun kedua.

“Bagi meningkatkan sokongan kepada pekedai, HDB akan mengurangkan lagi kadar sewa tahun pertama kepada 70 peratus,” kata Cik Sun.

Dalam pada itu, HDB akan bekerjasama dengan Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (Ecda) bagi perancangan agar pusat penjagaan kanak-kanak mula beroperasi dalam tempoh enam bulan selepas kumpulan pertama penduduk mengambil kunci rumah mereka.

Sementara itu, HDB akan meningkatkan piawaian bagi penyediaan laluan berbumbung di projek BTO yang akan dibina sebelum penduduk berpindah masuk.

HDB juga sedang bekerjasama dengan Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) dan Majlis Bandaran untuk mempertingkatkan penyediaan tong besar untuk membuang barangan pukal seperti sangkar besi atau tong kitar semula bagi memudahkan penduduk semasa tempoh awal berpindah ke estet baharu.

Di samping itu, HDB akan mengetatkan penguatkuasaan terhadap pembuangan sampah sebarangan oleh kontraktor pengubahsuaian.

Ini termasuk langkah menyemak semula kerangka penalti bagi melaksanakan hukuman lebih berat terhadap kontraktor yang melanggar peraturan, tambah Cik Sun.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg