Sekitar 1,500 unit flat di bawah projek pertama Bina Ikut Tempahan (BTO) Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) di estet perumahan baru Mount Pleasant akan dilancarkan pada Oktober.
Projek itu termasuk flat dua bilik flexi, tiga bilik, dan empat bilik, serta unit sewa awam dalam blok kediaman yang mempunyai ketinggian lebih 40 tingkat, kata Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee, di Parlimen pada 5 Mac.
Kawasan perumahan seluas 33 hektar di tapak Akademi Polis Lama itu akan menempatkan sekitar 5,000 unit flat dalam enam projek BTO.
Menjelaskan demikian semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) Kementerian Pembangunan Negara (MND) di Parlimen pada 5 Mac, Encik Lee berkata pelan untuk Mount Pleasant adalah sebahagian daripada strategi lebih luas untuk membina perumahan awam yang dimampui di lokasi yang menarik.
“Kami telah mengambil langkah besar untuk memastikan perumahan awam di lokasi menarik, seperti Mount Pleasant, kekal dimampui.
“Ini juga bagi memastikan bahawa ia kekal inklusif – satu elemen penting dalam kompak sosial Singapura. Supaya rakyat Singapura daripada pelbagai peringkat pendapatan boleh tinggal di kejiranan yang sama,” ujarnya.
Sebuah tempat makan, pasar raya, dan kedai-kedai akan terletak di kawasan tersebut, yang juga berdekatan dengan Kolam Air MacRitchie.
Selain itu, penduduk mudah mendapatkan akses ke stesen MRT Mount Pleasant di Laluan Thomson-East Coast, yang akan dibuka apabila projek BTO tersebut selesai, di samping berdekatan dengan Thomson Road dan Ekspreswe Rentas Pulau (PIE).
Kawasan itu juga berhampiran dengan Pembangunan Bersepadu Toa Payoh, yang dijangka siap pada 2030 dan akan menawarkan kemudahan seperti poliklinik, perpustakaan, taman dan kemudahan sukan.
Dalam ucapannya, Encik Lee turut berkata pasaran jualan semula bagi flat HDB akan mula stabil apabila lebih banyak bekalan flat tersebut memasuki pasaran dalam beberapa tahun akan datang dan langkah-langkah meredakan pasaran hartanah sedia ada terus memberikan kesan.
Merujuk kepada ketidakseimbangan bekalan dan permintaan sebagai punca harga jualan semula yang tinggi, Encik Lee menegaskan bahawa pandemik Covid-19 telah memberi kesan teruk terhadap pembinaan flat baru dan juga menyebabkan permintaan meningkat kerana orang ramai bimbang tentang kelewatan perumahan.
Harga jualan semula yang tinggi telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan rakyat Singapura mengenai kemampuan membeli rumah awam.
“Ketegangan bekalan dijangka mula pulih tahun depan (2026). Kami menjangkakan terdapat peningkatan bekalan flat yang memasuki pasaran jualan semula.
“Ada potensi terdapat lonjakan yang besar dalam jumlah flat baru yang mencapai MOP, daripada 8,000 tahun ini (2025), kepada 13,500 tahun depan (2026). Ini akan meningkat secara berterusan sehingga ia mencapai 19,500 pada 2028,” tambahnya.
Encik Lee turut berkongsi bahawa pemerintah akan melancarkan lebih 25,000 unit flat, termasuk 19,600 unit flat BTO dan lebih 5,500 unit Jualan Baki Flat (SBF) pada 2025.
Sebanyak 20 peratus daripada BTO yang dilancarkan pada 2025 terdiri daripada flat Masa Tunggu Lebih Singkat (SWT) – iaitu 3,800 flat – lantas mengurangkan waktu menunggu.
“Kami telah memendekkan masa menunggu median untuk flat BTO. Pada 2024, masa menunggu median adalah kurang dari empat tahun, setanding dengan norma pra-Covid iaitu tiga hingga empat tahun.
“Kami juga sebelum ini telah bertekad menjelang 2025, kami akan membina 2,000 hingga 3,000 flat SWT, iaitu flat dengan masa menunggu dua tahun atau lebih. Kami telah mencapai sasaran ini setahun lebih awal apabila kami melancarkan lebih 2,800 flat SWT pada 2024,” ujar Encik Lee.
Dari 2025 hingga 2027, lebih 50,000 unit flat BTO akan dilancar, dan bekalan perumahan swasta akan ditingkatkan kepada 8,500 unit di bawah program Penjualan Tanah Pemerintah (GLS), tambahnya.
“
Ketegangan bekalan dijangka mula pulih tahun depan (2026). Kami menjangkakan terdapat peningkatan bekalan flat yang memasuki pasaran jualan semula. Berpotensi terdapat lonjakan yang besar dalam jumlah flat baru yang mencapai MOP, daripada 8,000 tahun ini (2025), kepada 13,500 tahun depan (2026). Ini akan meningkat secara berterusan sehingga kita mencapai 19,500 pada 2028.Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg