Warga emas yang menyesuaikan saiz kediaman mereka ke flat lebih kecil akan menikmati lebih banyak bonus tunai.
Tiga perubahan akan dilaksanakan pada Bonus Perumahan Warga Emas (SHB) mulai 1 Disember 2025, umum Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee.
Setakat ini, SHB menyaksikan pemerintah menyediakan sehingga $30,000 dalam bentuk tunai apabila warga emas menyesuaikan saiz kediaman mereka ke flat tiga bilik atau lebih kecil.
Mengulas mengenai perubahan baru itu semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) Kementerian Pembangunan Negara (MND) di Parlimen pada 5 Mac, Encik Lee berkata:
“Pertama, kami akan memberikan bonus tunai tambahan sebanyak $10,000 kepada warga emas yang menyesuaikan saiz kediaman mereka ke flat dua bilik atau Flat Penjagaan Masyarakat.
“Ini akan meningkatkan jumlah maksimum bonus daripada $30,000 kepada $40,000.
“Kedua, kami akan memperluaskan skim ini kepada lebih ramai warga emas yang tinggal di kediaman swasta, dengan nilai tahunan antara $21,000 dengan $31,000,” ujarnya.
Encik Lee menambah, warga emas kelompok itu akan menerima bonus sehingga $10,000 jika mereka menyesuaikan saiz kediaman mereka ke flat HDB tiga bilik dan sehingga $20,000, jika mereka membeli flat HDB dua bilik atau Flat Penjagaan Masyarakat.
Dengan penambahbaikan itu, lebih daripada 15,000 warga emas dan sebahagian besar – lebih daripada tiga perempat – hartanah kediaman akan layak menerima SHB.
“Ketiga, kami akan menyesuaikan syarat tambah nilai tunai supaya warga emas layak untuk SHB selagi mereka melahirkan komitmen meningkatkan sebanyak $60,000 dalam Akaun Persaraan Tabung Simpanan Pekerja (CPF) mereka selepas menyesuaikan saiz kediaman, untuk pembayaran persaraan mereka.
“Jumlah ini boleh didapatkan daripada bayaran balik CPF perumahan mereka, yang bermakna warga emas tidak lagi perlu membuat tambah nilai tunai untuk layak menerima SHB,” ujarnya.
Encik Lee juga mengumumkan peluasan Program Peningkatan Bagi Warga Emas Aktif (Ease), meliputi isi rumah dengan warga emas yang tinggal di kediaman swasta.
Digelar Ease (Private), ia akan tersedia bagi isi rumah swasta yang mempunyai sekurang-kurangnya seorang warga emas berusia 65 tahun ke atas.
Ease (Private) dijangka bermula pada awal 2026 sebagai program perintis selama tiga tahun, tambahnya.
Ia juga tersedia bagi warga emas berusia antara 60 hingga 64 tahun dan memerlukan bantuan bagi sekurang-kurangnya satu Aktiviti Kehidupan Harian (ADL), ujar Encik Lee.
Program Ease menawarkan pemasangan peralatan mesra warga emas dan penyelesaian kemudahan seperti tanjakan kepada keluarga HDB yang layak.
Seiring dengan penuaan penduduk Singapura, program Ease (Private) penting untuk mewujudkan persekitaran yang lebih selamat dan kondusif bagi warga emas.
“Kami akan berusaha lebih lagi untuk meningkatkan keselamatan dan mobiliti warga emas yang tinggal di hartanah persendirian, di kediaman mereka sendiri,” tegas Encik Lee.
Mengulas mengenai Program Ease (Private), beliau menambah:
“Pemerintah akan menanggung 75 peratus daripada kos pemasangan kelengkapan ini, dengan subsidi dihadkan pada $1,200.”
“Lebih daripada 70,000 isi rumah akan layak menerima subsidi untuk mendapatkan khidmat kontraktor bagi memasang kelengkapan asas mesra warga emas di kediaman mereka, seperti palang sokongan.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg