Persatuan Ain berharap dapat mengumpulkan $700,000 bagi program amal tahunannya, Projek Kasih 2025.
Jumlah itu lebih rendah daripada sasaran yang ditetapkan untuk 2024, mencerminkan kesan keadaan ekonomi yang tidak menentu dan peningkatan kos sara hidup akibat inflasi.
Menurut satu kenyataan Persatuan Ain pada 17 Disember, dana yang dikumpulkan daripada rancangan yang akan disiarkan pada 10 Januari 2025 di saluran televisyen tempatan, Suria, akan digunakan untuk menyediakan bantuan dan sokongan kepada pesakit barah dan anggota keluarga mereka melalui bantuan kewangan serta perkhidmatan dan program yang komprehensif.
Rancangan bertema, ‘Rapuh, Setitis Ihsan Segunung Harapan’ itu akan dihadiri mantan Presiden Singapura yang juga penaung Persatuan Ain, Puan Halimah Yacob.
Ia akan turut menampilkan penyanyi terkenal Malaysia, Ziana Zain; Papa Rok, Datuk Ramli Sarip; juara Gegar Vaganza 6, Hady Mirza; dan lain-lain lagi.
Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Ain, Encik Md Yusof Ismail, mengetengahkan inisiatif persatuan yang diperluaskan untuk 2025, termasuk pelancaran Pusat Penjagaan Barah, Young Heroes, yang telah diperbaharui, direka untuk memenuhi keperluan remaja dan dewasa yang berjuang menentang barah.
“Dengan slogan ‘Pengesanan Awal Menyelamatkan Nyawa’, kami komited untuk memperluaskan kempen tentang kesedaran barah dalam kalangan masyarakat Melayu.
“Di samping itu, pembukaan pejabat baru kami di Bedok akan meningkatkan keupayaan kami memenuhi keperluan masyarakat yang semakin berkembang,” katanya.
Beliau menambah, Persatuan Ain juga amat teruja dengan pelancaran pusat penyelidikan yang akan menyokong usahanya dengan wawasan berasaskan bukti.
“Semua inisiatif ini hanya dapat direalisasikan dengan sokongan daripada masyarakat, dan kami sangat bersyukur atas sumbangan yang membolehkan kami membawa perubahan bermakna dalam kehidupan mereka,” katanya.
Ketua Eaglevision di Mediacorp, Cik Fadila Abdul Wahid, turut melahirkan rasa gembira terhadap program itu.
“Rancangan ini akan menampilkan persembahan menyentuh hati dan memaparkan kisah ketabahan yang mendalam.
“Kami berharap penonton akan menyokong usaha murni ini,” ujar beliau.
Projek Kasih 2024 berjaya mengumpulkan $1.5 juta, melebihi sasaran asalnya sebanyak $1.485 juta.
Sumbangan daripada Projek Kasih 2025 akan secara langsung menyumbang kepada bantuan kewangan dan program yang direka khusus untuk meringankan beban pesakit barah dan keluarga mereka.
Acara itu, merupakan edisi ke-10 bagi program khas tersebut, menekankan bagaimana belas kasihan boleh mengubah detik kekecewaan menjadi ketabahan dan harapan.
Program itu juga akan mengetengahkan kisah penuh inspirasi pesakit barah dan penjaga mereka.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg