Topik diikuti
Pergi ke BHkuProjek kerjasama SPS, MOE bantu banduan didik anak dari penjara
Dapat berhubung dengan anak melalui panggilan video selama sejam dengan Project HOPE
Projek kerjasama SPS, MOE bantu banduan didik anak dari penjara
Pada tahun pertama Fai (bukan nama sebenar) berada dalam penjara, dia mendapati anak perempuannya telah ‘hilang arah’ kerana tiada sosok ayah di sisi anaknya.
Malah, dek darah muda, anaknya itu mula terjebak dalam tabiat buruk di samping pelajarannya yang kian merosot.
Fai, 46 tahun, melihat hal itu bertitik daripada rasa kesunyian dan kesedihan anaknya setelah dirinya dipenjarakan sejak Jun 2025.
Menyedari keadaan itu, Fai yang dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan empat minggu atas kesalahan penipuan kewangan, mula berasa lebih bertanggungjawab untuk kekal berperanan sebagai seorang ayah dalam mendidik anaknya walaupun berada di sebalik jeriji.
Mujur, Fai kini dapat berhubung dengan anaknya melalui panggilan video selama sejam menerusi Project HOPE, satu kerjasama oleh Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS) dan Kementerian Pendidikan (MOE).
Pada 22 Oktober, pihak media diundang untuk ke Penjara Changi bagi menyaksikan sendiri proses panggilan video antara seorang banduan dengan anaknya.
Project HOPE yang telah dilancarkan pada 2022, bertujuan untuk membantu golongan ibu bapa yang merupakan banduan agar dapat kekal terlibat dalam kehidupan anak mereka yang masih bersekolah.
Inisiatif itu dikelolakan melalui usaha panggilan video secara setiap suku tahun.
Menurut Pakar Pemulihan (CRS), Cawangan Intervensi Keluarga dan Rakan Setara/Bahagian Psikologi dan Pemulihan, Cik Yi Shuqin, Project HOPE itu bukan sahaja bermatlamat untuk memastikan kesejahteraan kanak-kanak dalam berdepan dengan keadaan ibu bapa yang dipenjarakan.
Malah, usaha itu sangat memberatkan tentang pemulihan dan bagi banduan untuk bersepadu semula dalam keluarga khususnya bagi mereka yang bergelar ibu bapa.
“Nadi kepada Project HOPE ini adalah untuk membantu ibu bapa yang telah dipenjarakan agar dapat memainkan peranan aktif dalam kehidupan anak mereka walaupun sudah terpisah jauh secara fizikal.
“Melalui usaha ini, ia mengizinkan mereka untuk terus berperanan sebagai ibu atau ayah bagi menyokong dan mendorong anak mereka di sekolah.
“Di satu sisi, anak-anak mereka dapat rasa keberadaan ibu bapa mereka serta rasa disokong dan disayangi walaupun berjauhan.
“Di satu sisi yang lain, banduan ini juga akan lebih rasa terdorong untuk berperilaku baik di dalam penjara bagi memastikan mereka dapat keluar penjara awal dan kembali bersama anak-anak mereka,” ujar Cik Yi.
Kini, terdapat seramai 134 banduan dan 186 kanak-kanak yang berada di bawah naungan Project HOPE tersebut dan sebanyak 79 sekolah yang menjadi rakan kerjasama.
“Jauh di mata, dekat di hati”, begitulah yang diungkapkan Fai berkenaan hubungannya dengan anak perempuannya itu.
Justeru, dengan usaha panggilan video tersebut, ia telah mengeratkan lagi hubungan mereka dan memberi Fai peluang untuk ‘membentuk perilaku’ anaknya itu walau hanya secara dalam talian.
Berdasarkan satu kajian oleh SPS pada 2017, dapatan menunjukkan kira-kira satu daripada lima ibu bapa yang dipenjarakan mempunyai sekurang-kurangnya seorang anak yang kemudian turut melakukan kesalahan undang-undang.
Merenung akan hal itu, Fai, yang telah dapat membuat panggilan video bersama anaknya sebanyak tiga kali sejak Mei, berkata, panggilan video itu telah membolehkannya untuk memantau serta memberi nasihat kepada anaknya agar menjauhi sebarang kesalahan undang-undang.
“Demi memastikan anak saya tidak terjerumus dalam membuat kesalahan undang-undang, saya harus tampil sebagai seorang ayah yang menyokong keperluan anak saya.
“Dengan projek ini, saya bersyukur saya dapat terus wujud dalam kehidupan anak saya dan dapat memberinya nasihat berkenaan perihal tindakannya mahupun pelajarannya.
“Malah, dengan hanya tiga panggilan setakat ini, saya dapat lihat dirinya telah berubah ke arah kebaikan dan prestasi pelajarannya juga makin baik.
“Justeru, sebagai seorang ayah yang telah membuat kesalahan undang-undang, saya akan memberitahu anak saya bahawa apa yang saya buat itu salah, saya akan berubah, dan ia tidak patut dicontohi,” kata Fai sambil menahan sebak.