Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Projek korban di Probolinggo sebar ihsan sambil beribadah

May 31, 2024 | 5:30 AM
Masjid Alkaff Kampung Melayu
Wakil Masjid Alkaff Kampung Melayu mengagihkan daging korban di Probolinggo, Jawa Timur, Indonesia, pada 2023. - Foto MASJID ALKAFF KAMPUNG MELAYU

Masjid Alkaff Kampung Melayu akan melaksanakan khidmat korban di Probolinggo, Jawa Timur, Indonesia, bagi membantu golongan fakir miskin sambil bekerjasama dengan Pondok Pesantren Al-Mashduqiah di sana bagi kerja-kerja amal.

“Matlamat kami, selain sohibul korban dapat mendekatkan diri kepada Allah swt dan menghidupkan syiar Islam, kami juga ingin berkongsi amalan terbaik atau ihsan, dalam mengendalikan korban secara rohani dan logistik dengan penduduk tempatan,” jelas Ketua Jabatan Penglibatan dan Jangkauan Masjid Alkaff Kampung Melayu, Ustaz Mohamad Noor Samat.

Masjid ini juga ingin berkongsi dan menceriakan penduduk setempat dengan mengagihkan daging korban kepada yang memerlukan dan juga penduduk sekitar.

“Kami juga melakukan kerja-kerja amal dengan memberi hadiah atau ‘sembako’ kepada masyarakat di Indonesia agar bersama-sama mereka juga dapat menyambut Aidiladha dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan.

“Selain itu, sohibul korban turut menyumbang bagi menyokong Projek Peningkatan Masjid Alkaff Kampung Melayu,” kata Ustaz Mohamad Noor, yang sudah 10 tahun bekerja di masjid ini.

*’Sembako’ ialah singkatan kata bagi ‘sembilan bahan pokok’. Ia bahan makanan dan minuman yang sangat diperlukan masyarakat seperti beras, gula pasir, minyak masak/mentega, daging lembu/ayam, telur ayam, susu, bawang merah/putih, gas petroleum cecair (LPG)/minyak tanah dan garam.

Antara yang akan melaksanakan dan menyembelih lembu dan kambing biri-biri bagi pihak sohibul korban di Probolinggo ialah kakitangan masjid dan sukarelawan di sana.

Malah pengerusi Masjid Alkaff Kampung Melayu, Encik Mohamed Faizul Othman, akan turun padang dan mereka akan dibantu oleh asatizah dan pelajar pesantren.

“Kami mendoakan semoga Allah swt membalas semua sohibul korban dengan diterima ibadah korban mereka, diberikan ganjaran melaksanakan korban, ganjaran sumbangan daging korban kepada fakir, miskin dan masyarakat Probolinggo, ganjaran infak atau sedekah dalam memberi ‘sembako’ serta sedekah jariah sebagai sokongan kepada Dana Peningkatan Masjid Alkaff Kampung Melayu,” kata Ustaz Mohamad Noor yang mengalu-alukan lebih ramai mendaftar dan beramal.

Pakej korban, akikah dan nazar Masjid Alkaff Kampung Melayu berharga $275 untuk kambing biri-biri, $300 untuk satu per tujuh bahagian lembu.

Bagi yang berminat menyokong Projek Korban Masjid Alkaff Kampung Melayu di Probolinggo, sila imbas kod QR yang diberi. Cara pembayaran adalah melalui PayNow UEN: S94MQ0017D.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg