Projek Pelita Hati beri sokongan emosi kepada keluarga banduan

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Projek Pelita Hati beri sokongan emosi kepada keluarga banduan

Mar 14, 2026 | 10:11 PM

Projek Pelita Hati beri sokongan emosi kepada keluarga banduan

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim (dua dari kiri), bersama Setiausaha Kehormat HGEF, Cik Haslinda Putri Harun (kiri) dan pencipta kandungan gaya hidup Bob Mubarak (kanan), menyaksikan Cik Siti (bawah kiri) menggubah bunga bersama anak-anak semasa acara Projek Pelita Hati 2026 di Kamal Arts Studio di Wisma Geylang Serai pada 14 Mac.
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim (dua dari kiri), bersama Setiausaha Kehormat HGEF, Cik Haslinda Putri Harun (kiri) dan pencipta kandungan gaya hidup Bob Mubarak (kanan), menyaksikan Cik Siti (bawah kiri) menggubah bunga bersama anak-anak semasa acara Projek Pelita Hati 2026 di Kamal Arts Studio di Wisma Geylang Serai pada 14 Mac. - Foto BM oleh NUR DIYANA TAHA

Ramadan dan Syawal tahun ini disambut dalam suasana yang lebih suram buat Cik Siti (bukan nama sebenar) selepas suaminya kembali menjalani hukuman penjara akibat kesalahan dadah pada Oktober 2025.

Ini meninggalkan kesan mendalam terhadap suri rumah berusia 41 tahun yang kini terpaksa menggalas tanggungjawab ‘ketua keluarga’.

Ini termasuk tanggungjawab menjaga anak bongsunya yang menghidap autisme dan masalah jantung.

Meskipun kecewa dengan sikap suaminya itu, beliau tetap menaruh harapan untuk menyambut hari raya bersama suaminya dan empat anaknya satu hari nanti.

“Saya sangat sedih dan kecewa kerana saya tak nampak sebarang tanda dia akan kembali ke jalan gelap itu,” luah suri rumah berusia 41 tahun itu kepada Berita Minggu (BM).

Beliau merupakan antara sembilan keluarga yang menyertai inisiatif Projek Pelita Hati anjuran Dana Pendidikan Harun Ghani (HGEF) pada 14 Mac di Kamal Arts Studio, Wisma Geylang Serai.

Inisiatif itu - yang diadakan setiap tahun - bermatlamat menyuntik keceriaan dan menghulurkan sokongan emosi kepada anak-anak banduan.

Program tahun ini bertemakan ‘Mekar Harapan’ di mana HGEF telah mengadakan bengkel gubahan bunga yang dikendalikan oleh pencipta kandungan gaya hidup rumah, Bob Mubarak Mohd Nasir.

Anak-anak turut menerima kad Hari Raya yang ditulis khas oleh bapa mereka yang sedang menjalani hukuman penjara.

Program itu diusahakan dengan kerjasama Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA), Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS) dan kempen Dadah Itu Haram di bawah naungan Biro Narkotik Pusat (CNB).

Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, yang hadir sebagai tetamu terhormat, menyifatkan inisiatif kreatif itu penting dalam membangkitkan semangat keluarga.

“Aktiviti seperti hari ini memberikan satu idea kepada mereka bahawa ada aktiviti lain yang boleh dilaksanakan untuk menceriakan kehidupan,” ujar Dr Faishal kepada BM.

Beliau menambah kiriman kad Hari Raya oleh banduan kepada anak-anak mereka juga dapat menyatukan kembali hubungan yang terjejas akibat perpisahan fizikal.

Dr Faishal memuji usaha berterusan HGEF dalam memastikan keluarga banduan merasakan ada pihak yang prihatin terhadap nasib mereka.

Cik Siti dan anak-anak turut mengalu-alukan peluang membaca kad Hari Raya dari suaminya itu.

“Kami telah membaca kad tersebut dan kami terharu. Saya harap suami saya akan menepati kata-katanya dan tekad berubah menjadi lebih baik demi anak-anaknya dan kita dapat beraya bersama nanti,” tambah Cik Siti.

Setiausaha Kehormat HGEF, Cik Haslinda Putri Harun berharap acara itu dapat memberikan harapan bagi keluarga, terutama kanak-kanak yang terlibat.

“Aktiviti seperti gubahan bunga ini melengkapkan suasana itu, memberi ruang yang tenang supaya mereka dapat menghargai detik bersama keluarga dan merasakan bahawa mereka tidak bersendirian,” ujar Cik Haslinda.

“Bagi HGEF, membantu keluarga pesalah bukan hanya tentang bantuan kewangan, tetapi juga tentang menjaga kesejahteraan emosi anak-anak supaya mereka tidak hilang keyakinan terhadap masa depan.

“Kami berharap melalui program seperti Mekar Harapan, anak-anak dapat merasakan sokongan daripada keluarga dan juga daripada masyarakat, supaya mereka terus menaruh harapan untuk masa depan yang lebih baik,” tambah Cik Haslinda lagi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg