Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Projek perintis jagaan hidup berbantu swasta siap 2026

Pengendali perumahan mesra warga emas manfaatkan pengalaman laksana program serupa di China
Jun 16, 2025 | 1:15 PM
Singapura, penjagaan hidup dibantu, assisted living
Ketua eksekutif Perennial Holdings, Encik Pua Seck Guan, merancang membawa masuk alat teknologi yang digunakan di China untuk projek perintis di Singapura. - Foto ST

Penduduk berusia yang mencari perumahan mesra warga emas dengan perkhidmatan penjagaan boleh mendaftar untuk projek perintis hidup berbantu swasta di Parry Avenue di kawasan Kovan, menjelang suku ketiga 2025, dan dijangka berpindah pada suku pertama 2026, kata pengendali yang dilantik.

Anak syarikat hartanah bersepadu dan syarikat penjagaan kesihatan, Perennial Holdings, memenangi bidaan untuk menguruskan projek itu pada Jun 2023. 

Projek pembangunan tersebut akan memperluaskan pilihan penjagaan warga emas di Singapura bagi mereka yang mungkin tidak memerlukan penjagaan menyeluruh daripada rumah jagaan, tetapi masih memerlukan sedikit bantuan. 

Kemudahan yang dikendalikan secara swasta – model perumahan dan penjagaan baru yang dicipta bersama dengan pemain industri oleh Kementerian Kesihatan (MOH) dan Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) – menyerupai pembangunan hidup berbantu yang dijalankan secara awam seperti apartmen penjagaan masyarakat di Bukit Batok dan Queensway.

Walaupun projek Parry Avenue ditetapkan sebagai usaha pertama Perennial dalam sektor penjagaan warga emas di Singapura, syarikat itu mempunyai pengalaman sedekad dalam bidang kesihatan dan penjagaan warga emas di China, selepas ia berkembang di pasaran itu pada 2015. 

Di China, ia mempunyai portfolio kemudahan penjagaan perubatan yang merangkumi hospital am, pemulihan, pakar serta kemudahan penjagaan warga emas yang merangkumi kehidupan berdikari, berbantu, rumah penjagaan dan penjagaan demensia.

Portfolionya terdiri lebih daripada 25,000 katil, yang mana kira-kira 16,000 boleh digunakan dan lebih 9,000 sedang dalam perancangan.

Syarikat itu membawa sekumpulan wartawan dalam lawatan akhbar untuk melawat kemudahan kesihatan dan penjagaan warga emas di Beijing, Tianjin, Xi’an, Chengdu dan Shanghai pada Jun. 

Bercakap kepada The Straits Times (ST) pada 12 Jun, ketua eksekutif Perennial, Encik Pua Seck Guan, berkata syarikat itu berhasrat membawa masuk alat teknologi perintis Singapura yang telah digunakan di China, serta memberikan pandangan tentang cara menawarkan penjagaan kesihatan bersepadu kepada warga emas. 

Projek ini berkeluasan 195,000 kaki persegi dan akan terdiri daripada 200 apartmen dengan kemudahan hidup berbantu, rumah jagaan dengan 100 katil, kelab kesihatan, pusat jagaan geriatrik dan taman masyarakat baru seluas 1.5 hektar.

Projek pembangunan ini akan memenuhi keperluan pelbagai warga emas – daripada mereka yang sihat kepada mereka yang memerlukan bantuan bagi keperluan kehidupan harian dan penjagaan jururawat serta mereka yang mengalami demensia ringan. 

Persediaan ini serupa dengan Masyarakat Penjagaan Warga Emas Perennial di Tianjin, yang memulakan operasi dari Jun 2024 secara beransur-ansur. 

Projek penjagaan warga emas Tianjin terdiri daripada rumah untuk warga emas yang tidak memerlukan bantuan; sebuah apartmen dengan kemudahan bagi mereka yang memerlukan bantuan dengan kegiatan kehidupan seharian; serta hospital penjagaan bagi mereka yang mempunyai keperluan lebih tinggi dan mungkin memerlukan campur tangan perubatan. 

Sehingga kini, kira-kira 250 unit telah didiami di rumah penjagaan warga emas dan apartmen kehidupan berbantu, dan kira-kira 50 katil di hospital penjagaan telah dipenuhi.

“China, sebagai pasaran yang sangat besar, juga merupakan pasaran yang sangat kompetitif. Kami belajar banyak dari segi teknologi dan peralatan,” kata Encik Pua. 

Alat pintar telah digunakan secara meluas di seluruh kemudahan Perennial di China, termasuk Tianjin – dari aplikasi yang menjejak dan memantau tanda-tanda penting, kepada log kesihatan yang memberitahu lebih awal isu berpotensi seperti kencing manis dan tekanan darah tinggi yang tidak dikawal dengan baik, kepada sensor dalam bilik yang boleh mengesan jika ada warga emas yang jatuh.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg