Para pelanggan boleh mendapatkan barangan keperluan harian dan elektronik terpilih pada harga diskaun di semua cawangan FairPrice mulai 12 Jun hingga 10 September, dengan kembalinya kempen, ‘Save Every Day’.
Sepanjang tempoh tiga bulan itu, pelanggan berpeluang meraih penjimatan lebih $1,000 menerusi lebih 400 baucar yang boleh ditebus melalui aplikasi FairPrice Group (FPG).
Demikian menurut kenyataan pasar raya itu pada 12 Jun.
Baucar fizikal juga boleh didapati di semua cawangan FairPrice, FairPrice Finest, FairPrice Xtra dan farmasi Unity.
Pelaksanaan semula kempen tersebut merupakan sebahagian daripada usaha FPG bagi memperingati ulang tahun ke-60 Singapura atau SG60, lapor The Straits Times (ST).
Lebih 100 baucar SG60 ditawarkan bagi pelbagai barangan keperluan seperti beras, minyak masak, susu dan coklat.
FairPrice turut menyediakan baucar eksklusif dalam talian bagi barangan elektronik daripada jenama popular seperti Samsung, Xiaomi dan Jisulife.
Untuk menikmati potongan harga, pelanggan perlu mengaktifkan baucar digital semasa membuat bayaran melalui aplikasi FPG, atau mengimbas kod bar pada baucar fizikal semasa di kaunter pembayaran.
Tiada had dikenakan bagi jumlah baucar yang boleh ditebus oleh setiap pelanggan, dan lebih daripada satu baucar boleh digunakan dalam setiap transaksi sepanjang tempoh kempen 13 minggu itu.
Semua baucar juga boleh digabungkan dengan skim diskaun mingguan sedia ada, termasuk bagi golongan warga emas, Generasi Perintis, Generasi Merdeka, serta pemegang kad Skim Bantuan Kesihatan Masyarakat (Chas) biru dan jingga.
Pada 2024, kempen ‘Save Every Day’ telah memberikan penjimatan hampir $1.4 juta kepada pelanggan, jumlah tertinggi sejak ia dilancarkan pada 2021.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg