Apabila penggiat budaya, Encik Muhammad Ilyia Kamsani, berpeluang bertemu dengan penulis prolifik dan penggiat seni sastera, Jamal Ismail, baru-baru ini, beliau merasakan satu tanggungjawab yang mendalam dan misi jelas dalam dirinya untuk memastikan legasi penulis Melayu terkenal terus dikenang.
Sebagai salah seorang penulis sukarela untuk Lembaga Perpustakaan Negara (NLB), Encik Ilyia ditugaskan menulis tentang empat tokoh Melayu Singapura bagi projek terbaru NLB iaitu Portal Tokoh-Tokoh Melayu Singapura atau Prominent Malays of Singapore (PMoS).
Projek itu memerlukan para penulis sukarela melakukan kajian intensif tentang latar belakang figura yang diberikan serta merakamkan sumbangan mereka kepada landskap Singapura.
Encik Ilyia, 32 tahun, akui adalah sukar untuk mendapatkan maklumat penuh tentang tokoh-tokoh tersebut.
“Cabaran terbesar adalah kekurangan bahan yang diterbitkan mengenai beberapa tokoh.
“Dalam keadaan sebegini, saya mengambil inisiatif untuk menjalankan temu ramah secara langsung dengan individu atau ahli keluarga mereka bagi mendapatkan maklumat lanjut,” kongsinya.
Beliau telah mengadakan temu bual secara peribadi dengan penggiat seni sastera terkenal, Jamal Ismail, sebagai pendekatan kedua dalam penulisannya selepas melakukan kajian mendalam menggunakan sumber sedia ada.
Berkongsi tentang pertemuannya bersama Jamal, beliau berkata wawasan mendalam tokoh tersebut dalam seni, kesusasteraan, dan budaya adalah luar biasa.
Encik Ilyia turut mendapat nasihat daripada Jamal agar tidak berhenti belajar, kekal merendah diri, dan terus berusaha menjadi individu lebih baik – bukan hanya untuk masyarakat Melayu, bahkan masyarakat secara keseluruhan.
Antara 28 penulis sukarela yang turut menyumbang kepada PMoS ialah pelajar tahun terakhir Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS), Encik Habeebullah Basha.
Beliau telah menyumbangkan penulisan mengenai Allahyarham Muhammad Taha Fadhlullah Suhaimi, Allahyarham Syed Abdullah Syed Hamid Al-Edrus dan Allahyarham Mahmud Ahmad.
Bagi Encik Habeebullah, beliau harus bergantung pada Arkib Negara, arkib Berita Harian, dan arkib The Straits Times serta buku-buku di Perpustakaan Nasional untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang tokoh tersebut bagi menyokong penulisannya.
Beliau berasa berbesar hati dapat memainkan peranan penting dalam mendokumentasikan sejarah individu Melayu terkemuka tersebut yang memberi sumbangan besar kepada pembangunan dan sejarah Singapura.
Menurutnya lagi, menjadi sebahagian daripada projek PMoS telah memperdalam pemahamannya tentang warisan dan sumbangan Melayu di Singapura.
“Melalui projek ini, saya mengetahui bahawa ramai individu dalam sejarah negara kita memainkan peranan penting dalam pembangunannya.
“Bagaimanapun, ramai tokoh Melayu ini, tidak biasa diketengahkan di sekolah atau perbualan harian.
“Oleh itu, projek ini telah memainkan peranan penting dalam mendedahkan kisah mereka, memastikan sumbangan mereka diiktiraf dan diraikan,” tambah pelajar berusia 24 tahun itu.
Turut memainkan peranan penting dalam kejayaan PMoS adalah para penasihat yang telah dijemput untuk menyumbang dalam penyemakan tokoh Melayu serta mencalonkan individu bagi kategori tertentu yang telah membuat sumbangan kepada masyarakat Melayu Singapura.
Antaranya ialah Pemangku Penolong Pengarah Pejabat Pembangunan Keusahawanan Politeknik Republik (RP), Cik Azizah Zakaria, yang melihat ‘ketokohan’ sebagai pewujudan kepimpinan, integriti, dan perkhidmatan yang melangkaui pencapaian individu.
Menurut beliau, ‘ketokohan’ bukan sekadar tentang dikenali oleh orang ramai, tetapi kebolehan mengangkat masyarakat Melayu Singapura dengan memberi inspirasi dan nilai positif sekali gus menyumbang kepada negara.
“PMoS berfungsi sebagai satu tinjauan berharga terhadap sumbangan, nilai, dan pengalaman hidup individu yang telah membentuk komuniti dan negara kita.
“Ia mengingatkan kita tentang kepentingan mengetahui asal usul kita, menghargai mereka yang telah membukakan jalan, serta memahami bagaimana kisah individu membentuk perjalanan kolektif kita,” tambahnya lagi.
Bagi Ketua Program Melayu dan Sastera SUSS, Profesor Madya Dr Lim Beng Soon, dan Ustaz Dr Alfian Yasrif Kuchit, selaku penasihat projek PMoS, projek tersebut dilihat sebagai perspektif yang jelas tentang sumbangan tokoh yang dipamerkan serta menjadi ‘penawar’ bagi isu kelupaan sejarah (historical amnesia).
“Apabila orang tidak tahu tentang sejarah, mereka tidak dapat memahami masa kini atau membentuk masa depan mereka.
“Bagi pembaca Melayu, kisah-kisah ini mengembalikan ingatan tentang semangat, dan ketabahan masyarakat.
“Bagi yang bukan berbangsa Melayu pula, mereka dapat melihat bagaimana projek ini mencabar anggapan lazim tentang bagaimana masyarakat Melayu berkembang dan maju.
“Ia bukan berasal daripada naungan golongan diraja atau elit, tetapi daripada inisiatif akar umbi yang dipimpin oleh individu yang memahami keperluan,” kongsi Ustaz Dr Alfian.
Beliau telah bekerjasama dengan Ustaz Dr Mohamed Qusairy Thaha dalam memastikan agar individu yang mencerminkan kecintaan terhadap ilmu dan usaha mengejar pengetahuan turut disertakan di dalam projek tersebut.
Portal dalam talian PMoS yang boleh dibaca dalam bahasa Melayu dan Inggeris, mengisahkan kehidupan lebih 100 individu Melayu terkemuka yang telah membentuk sejarah dan warisan Singapura sepanjang enam dekad dan dipaparkan dalam 10 kategori berbeza.
Dibangunkan secara bersama NLB dan Jabatan Pengajian Melayu Universiti Nasional Singapura (NUS), pelancaran portal dwibahasa itu telah berlangsung pada 11 Oktober lalu di Galeri Nasional Singapura.
Ia dihadiri oleh Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, serta rakan kongsi dan para sukarelawan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg