MOHD AMIN IBRAHIM
Ampro Holdings(S) Pte Ltd, sebuah badan Perusahaan Sosial di Singapura, sejajar dengan komitmennya terhadap tanggungjawab sosial, akan meneruskan projek kemanusiaannya dan menawarkan pakej ‘Qurban Untuk Gaza’ bermula pada tahun 2024 ini.
Pakej yang direka khas untuk penduduk Gaza ini dijangka mampu memberikan impak positif kepada mereka yang kini bergelut dengan pelbagai bencana seperti peperangan, kelaparan dan kematian.
Sebelum ini, bantuan kemanusiaan Ampro amat luas, dan telah membantu mangsa peperangan hinggalah kepada mangsa bencana alam. Ini bertujuan mengurangkan penderitaan serta mempromosikan kesejahteraan ummah. Sejauh ini, dan bermula dari 1999, Ampro telah mengedarkan daging korban dalam tin ke pelbagai negara seperti Yaman, Syria, Palestin, Lebanon, Pakistan, Turkey, Sri Lanka, Kemboja, Tanzania, dan negeri Aceh di Indonesia serta orang Rohingya dan lain-lain lagi.
Pada tahun ini pula, Ampro berikrar akan menyalurkan daging korban dalam tin kepada penduduk Gaza yang kini sedang dilanda krisis kemanusiaan yang kian meruncing dan amat membimbangkan masyarakat dunia. Keadaan inilah yang mendorong Ampro melancarkan pakej ‘Qurban Untuk Gaza’.
Dengan kerjasama badan sukarelawan antarabangsa, Ampro akan menjalankan penyembelihan di Melbourne, Australia. Daging kambing korban ini akan dipisahkan daripada tulang, atau deboning, dan dibekukan serta dihantar ke kilang pengetinan di New Zealand. Seterusnya, daging dalam tin itu dihantar ke Gaza melalui Pelabuhan Said di Mesir atau Pelabuhan Aqaba di Jordan. Proses daripada penyembelihan hingga penghantaran ke Gaza mengambil masa selama lebih kurang tiga bulan.
Seluruh proses ini akan dikendalikan dan dipantau oleh pasukan berpengalaman dan pakar pertanian dan teknologi makanan dengan pengalaman teknikal, dan pengurusan projek yang secara kolektif melebihi 25 tahun.
Secara lazim, setiap ekor kambing biri-biri ini boleh menghasilkan antara 18 tin hingga 20 tin daging korban. Dan jumlah ini dianggarkan cukup untuk memberi makan kepada 20 keluarga tiga kali sehari. Daging korban dalam tin ini juga boleh disimpan lama, kira-kira selama empat tahun, dan diharap dapat mengurangkan penderitaan penduduk di Gaza.
Tujuan projek ‘Qurban Untuk Gaza’ bukan hanya untuk memberi daging korban dalam tin bahkan menghantar mesej murni dan empati yang teguh kepada saudara Islam di Gaza.
Bersama ini, kita boleh membuat perubahan positif dalam kehidupan mereka serta menawarkan mereka sinar harapan di tengah kegelapan. Melalui projek ‘Qurban Untuk Gaza’ ini, kami ingin memaklumkan kepada penduduk di Gaza bahawa mereka tidak bersendirian dalam menghadapi cabaran yang genting ini. Masyarakat Muslim di Singapura berdiri teguh bersama mereka dan sentiasa mendoakan keselamatan penduduk di Gaza.
Sertailah kami dalam usaha mulia ini agar kita dapat meringankan beban hidup penduduk di Gaza. Mari kita membantu mereka.
Untuk maklumat lanjut dan tempahan, sila:
– Lungsuri laman www.amprofoundation.com atau e-mel kepada ampro.foundation@gmail.com
– Hubungi talian 6348-8983 atau 9711-2824 untuk perincian selanjutnya.
Penulis merupakan Pengarah Eksekutif di Ampro Holdings (S) Pte Ltd.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg