Topik diikuti
Pergi ke BHkuProjek rintis 6 bulan kitar semula e-sisa di lokar dan pusat hantaran Shopee
Projek rintis 6 bulan kitar semula e-sisa di lokar dan pusat hantaran Shopee
Penduduk boleh menghantar telefon bimbit, tablet dan komputer riba terpakai ke pusat kutipan Shopee dan lokar di estet perumahan menerusi projek perintis kitar semula sisa elektronik (e-sisa) selama enam bulan.
Usaha syarikat ALBA E-waste Smart Recycling itu turut memastikan data peribadi dimusnahkan dengan selamat, dan pengguna menerima sijil pengesahan pemusnahan data.
Ketika mengumumkan inisiatif itu pada 10 Oktober, di acara Hari E-Sisa Antarabangsa, di Kampung Admiralty, Menteri Negara Kanan (Kemampanan dan Sekitaran merangkap Pendidikan), Dr Janil Puthucheary, berkata ramai penduduk masih bimbang tentang kemudahan mengitar semula e-sisa dan isu keselamatan data.
Peranti elektronik sering mengandungi gambar, butiran akaun, dokumen kerja dan perhubungan peribadi.
Menurutnya, kebimbangan timbul apabila peranti diserahkan untuk dikitar semula.
Projek itu melengkapi hampir 1,200 tong e-sisa dan perkhidmatan pengambilan percuma bagi peralatan besar.
Orang ramai boleh menghantar peranti secara percuma ke sekitar 2,000 pusat kutipan Shopee SPX dan lokar Pick! di seluruh Singapura.
Tempat tersebut biasa digunakan penduduk untuk mengambil bungkusan pembelian dalam talian.
Pengguna boleh membuat permohonan melalui laman web ALBA E-Waste atau aplikasi ALBA STEP UP dan memilih tempat penghantaran. Maklumat lanjut tersedia di https://alba-ewaste.sg/alba-secure-recycle.
Mereka kemudian menerima butiran lanjut seperti nombor pengenalan peribadi (PIN) atau nombor penjejakan.
Syarikat kitar semula Virogreen akan memusnahkan data sebelum mengeluarkan sijil pengesahan kepada pengguna.
Peranti kemudian dikitar semula untuk mendapatkan bahan berharga seperti emas, tembaga dan kobalt bagi menghasilkan produk baharu.
Percubaan enam bulan itu membolehkan ALBA E-Waste menilai sambutan dan operasi sebelum mempertimbangkan peluasan program.
Pengguna disarankan membuat salinan sandaran data, log keluar daripada akaun peribadi, mengeluarkan kad SIM dan media simpanan luaran serta mengembalikan peranti kepada tetapan kilang untuk memadamkan data sebelum menghantarnya.
Sejak 2021, lebih 45,000 tan e-sisa dikumpulkan sehingga akhir Ogos, termasuk sekitar 11,000 tan sepanjang tahun lalu.
Hampir 1,200 tong e-sisa tersedia di pusat beli-belah, kedai elektronik, pasar raya dan kelab masyarakat.
Terdapat empat jenis tong, termasuk tong khusus bateri isi rumah, selain perkhidmatan pengumpulan di pasar raya.
Sejak 2024, syarikat KGS turut menawarkan program TakeBag, membolehkan penduduk menghantar elektronik lama menggunakan beg hijau ke lebih 1,100 loker Pick!.
Program itu menerima pelbagai peranti, termasuk bank kuasa, papan kekunci dan cerek elektrik.
Sekitar 10 tan e-sisa dikumpulkan setakat ini, dengan data turut dihapuskan.
Pada acara 10 Oktober itu, Dr Janil turut menekankan pentingnya melupuskan e-sisa dengan selamat, khususnya bateri yang mudah terbakar.
Bateri tidak boleh dibuang ke tong sampah biasa kerana berisiko rosak ketika pengendalian.
Terminal bateri sebaiknya ditampal pita pelekat sebelum dimasukkan ke tong tahan api ALBA.
Bateri rosak, kembung atau daripada alat mobiliti elektrik perlu diserahkan kepada petugas terlatih.