Inisiatif untuk mengawal pembiakan nyamuk Aedes dengan melepaskan nyamuk jantan Wolbachia yang dibiakkan di makmal akan diperluas ke empat lagi kawasan pada Disember.
Project Wolbachia akan diperluas ke kawasan Marsiling, Woodlands dan Kaki Bukit-Kembangan mulai 16 Disember, serta kawasan di Bedok mulai 17 Disember.
Ini sekali gus meningkatkan liputannya daripada 580,000 isi rumah kepada 660,000 isi rumah di Singapura, lapor The Straits Times (ST).
Langkah ini menempatkan inisiatif tersebut pada landasan untuk melindungi “50 peratus daripada seluruh isi rumah” di sini menjelang akhir 2026, kata Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) pada 24 November.
Di bawah projek ini, nyamuk jantan yang membawa bakteria Wolbachia dilepaskan di kawasan berisiko tinggi denggi.
Apabila nyamuk jantan ini – yang tidak gigit – mengawan dengan nyamuk betina, telur yang dihasilkan tidak akan menetas, sekali gus mengurangkan populasi nyamuk dari semasa ke semasa.
Project Wolbachia telah mengurangkan risiko denggi lebih 70 peratus dan menurunkan populasi nyamuk sebanyak 80 hingga 90 peratus di pelbagai kawasan sejak pelaksanaannya pada 2022.
NEA menambah bahawa penduduk di kawasan sekitarnya juga didapati 45 peratus kurang berkemungkinan dijangkiti denggi berbanding mereka yang tinggal di kawasan tanpa pelepasan nyamuk Wolbachia.
Pengeluaran nyamuk Wolbachia-Aedes kini ditampung oleh dua fasiliti berasingan yang diuruskan oleh NEA dan Debug.
Debug telah menyokong usaha pengeluaran dan pelepasan NEA melalui teknologi automasinya bagi proses pengeluaran, pengasingan jantina dan pelepasan nyamuk jantan Wolbachia-Aedes di kawasan Tampines dan Marine Parade sejak 2023.
Sejak suku pertama 2024, Debug telah memulakan pelepasan di enam kawasan tambahan.
Ini termasuk Bukit Merah–Telok Blangah, Clementi–West Coast, Commonwealth, Holland, Marine Parade–Mountbatten dan Jurong East.
Lokasi-lokasi ini dipilih berdasarkan risiko denggi terdahulu dan populasi nyamuk Aedes.
Gabungan kaedah pelepasan menggunakan van dan pelepasan manual kini digunakan di tapak pelepasan yang diuruskan oleh Debug, tambah NEA.
Sebuah lagi fasiliti pengeluaran nyamuk yang ketiga, yang akan dikendalikan oleh kontraktor baru, juga akan diadakan tidak lama lagi.
Data di laman web NEA menunjukkan terdapat 2,219 kes denggi antara Januari hingga 5 Jun, berbanding sekitar 10,000 kes dalam tempoh enam bulan pertama 2024.
Terdapat empat serotaip atau strain denggi, dengan DenV-2 menjadi strain utama di sini sejak September 2023.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg