Sebanyak 874 kes denggi dilaporkan di Singapura pada suku ketiga 2025, antara Julai dengan September, iaitu penurunan sebanyak 35.8 peratus berbanding 1,361 kes yang dilaporkan pada suku kedua (dari April hingga Jun).
Dalam pada itu, pada suku ketiga, satu kematian dilaporkan, berbanding dua kematian dicatat antara April dengan Jun.
Demikian menurut data pemantauan denggi suku tahunan Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) yang dikeluarkan pada 21 Oktober, lapor The Straits Times.
Selain itu, agensi tersebut mengenal pasti 80 kelompok denggi dari Julai hingga September, iaitu penurunan 37 peratus berbanding jumlah kelompok yang dikenal pasti pada suku kedua 2025.
Daripada 80 kelompok yang dikenal pasti, 72 kelompok telah ditutup dalam tempoh sama.
Antara Julai dengan September, NEA mengesan lebih 3,700 tempat pembiakan nyamuk, iaitu penurunan sekitar 34 peratus berbanding tempoh antara April dengan Jun.
Secara keseluruhan, jumlah kes denggi yang dilaporkan pada 2025 sehingga 11 Oktober, lebih rendah berbanding tempoh sama pada 2024, iaitu 3,527 kes pada 2025 berbanding 12,476 kes pada 2024, berdasar buletin mingguan penyakit berjangkit terkini Kementerian Kesihatan (MOH).
Sebelum ini, NEA berkata bulan lebih panas dari Mei hingga Oktober biasanya menyaksikan kadar penularan denggi lebih tinggi di Singapura.
Ini kerana nyamuk Aedes berkembang lebih pantas dan virus denggi membiak lebih cepat ketika musim panas.
Pakar penyakit berjangkit, Profesor Ooi Eng Eong, menyambut baik trend penurunan kes denggi dan berkata ia disebabkan beberapa faktor, termasuk usaha NEA membendung penularan denggi.
Antara usaha agensi itu ialah Projek Wolbachia, yang berjaya mengurangkan risiko penduduk dijangkiti denggi sebanyak 75 peratus di kawasan nyamuk Wolbachia dilepaskan.
Projek Wolbachia dimulakan pada 2016 dan dinamakan sempena bakteria Wolbachia yang diperkenalkan kepada nyamuk jantan di makmal.
Nyamuk jantan itu kemudian dilepaskan ke pelbagai kawasan dan apabila nyamuk betina di persekitaran mengawan dengan nyamuk tersebut, telur yang dihasilkan tidak akan menetas.
Dengan cara ini, jumlah nyamuk dapat dikurangkan.
Menurut Profesor Ooi, tahap kekebalan dalam kalangan penduduk Singapura terhadap jenis virus denggi yang tersebar di sini juga boleh memberi penjelasan pada penurunan kes denggi dari satu suku tahun ke suku tahun selanjutnya.
Komposisi genetik virus denggi juga penting dalam menentukan kadar kes yang dilaporkan, kerana ia mempengaruhi sejauh manakah virus itu boleh disebarkan nyamuk Aedes di sini dan sama ada virus tersebut “cukup sesuai” untuk menjangkiti manusia, tambah profesor di Sekolah Perubatan Duke-NUS itu.
“Perubahan genetik pada virus denggi, yang berlaku secara berterusan di seluruh dunia, berada di luar kawalan kita dan boleh memberi kesan besar kepada waktu dan tempat wabak denggi berlaku,” jelasnya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg