Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Projek Wolbachia diperluas ke lima lagi kawasan di S’pura, kurangkan risiko denggi

Oct 3, 2024 | 4:53 PM
Demonstrasi yang menunjukkan bahawa nyamuk jantan dewasa pembawa bakteria Wolbachia, yang dibiak di makmal, tidak menggigit, pada acara Projek Wolbachia di Hougang, pada 3 Oktober.
Demonstrasi yang menunjukkan bahawa nyamuk jantan dewasa pembawa bakteria Wolbachia, yang dibiak di makmal, tidak menggigit, pada acara Projek Wolbachia di Hougang, pada 3 Oktober. - Foto ST

Inisiatif mengawal populasi nyamuk Aedes melalui pembebasan nyamuk jantan dewasa yang dibiak di makmal, sedang diperluaskan ke lima lagi kawasan perumahan.

Projek Wolbachia, yang mula diperkenalkan pada 2016 di kawasan yang mencatatkan banyak kes denggi, seperti Bukit Batok dan Tampines, akan meliputi 580,000 isi rumah, meningkat daripada jumlah sebelumnya, iaitu 480,000 isi rumah, lapor The Straits Times.

Mulai 21 Oktober, inisiatif itu akan diperluaskan ke lebih banyak kawasan di Hougang, yang mempunyai tapak projek sedia ada. Dalam beberapa bulan akan datang, projek itu juga akan diperluaskan ke Serangoon Central, Serangoon North, Jurong East dan Jurong West.

Perkara itu diumumkan pada 3 Oktober, oleh Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu, semasa acara pelepasan nyamuk di Hougang.

Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) sebelum ini berkata bahawa lokasi-lokasi itu dipilih berdasarkan sejarah risiko denggi dan populasi nyamuk Aedes.

Di bawah projek itu, nyamuk jantan dewasa pembawa bakteria Wolbachia, yang dibiak di makmal, akan dilepaskan di kawasan berisiko tinggi denggi untuk mengurangkan populasi nyamuk dari semasa ke semasa. Apabila nyamuk jantan mengawan dengan betina, telur yang dihasilkan tidak akan menetas.

NEA berkata, kajian mereka yang bermula pada Julai 2022 mendapati penduduk di kawasan di mana nyamuk pembawa bakteria Wolbachia telah dilepaskan, sekitar 75 peratus kurang berkemungkinan dijangkiti denggi.

“Ini adalah hasil daripada pengurangan 80 hingga 90 peratus dalam populasi nyamuk Aedes aegypti di tapak kajian,” kata NEA, sambil menambah bahawa teknologi Wolbachia telah membantu mengurangkan risiko jangkitan denggi berskala besar.

Bercakap di majlis itu, Cik Fu menyatakan bahawa Projek Wolbachia juga akan membantu mencegah penyebaran penyakit bawaan nyamuk lain, seperti zika dan chikungunya.

Anggota Parlimen GRC Ang Mo Kio, Encik Darryl David, berkata, walaupun penduduk pada mulanya menyuarakan kebimbangan mengenai peningkatan bilangan nyamuk disebabkan Projek Wolbachia, mereka perasan bahawa mereka tidak digigiti nyamuk-nyamuk itu.

Encik David memuji NEA atas usaha mereka mendidik penduduk tentang projek itu.

Peluasan itu akan menjadikan jumlah keseluruhan kawasan di bawah Projek Wolbachia kepada 23 kawasan.

Semua tapak pelepasan sedia ada, termasuk kawasan seperti Commonwealth, Yishun dan Marine Parade, akan terus disertakan dalam Projek Wolbachia untuk memastikan populasi nyamuk Aedes aegypti kekal rendah.

“Kami mahu meneruskan dan memperluaskan Projek Wolbachia, tetapi jelas ini bukan satu-satunya huraiannya. Kami masih memerlukan penduduk mengamalkan amalan kebersihan yang baik untuk memastikan pembiakan nyamuk yang rendah,” kata Cik Fu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg