Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Proses buat muzik antara kegiatan menarik hujung minggu

May 14, 2024 | 1:15 PM
Antara kegiatan di rumah terbuka Dewan Konsert Victoria pada 26 Mei termasuk program, ‘Bagaimana Menghasilkan Muzik?’ yang mengajar kanak-kanak mencipta alat muzik menggunakan barangan harian.
Antara kegiatan di rumah terbuka Dewan Konsert Victoria pada 26 Mei termasuk program, ‘Bagaimana Menghasilkan Muzik?’ yang mengajar kanak-kanak mencipta alat muzik menggunakan barangan harian. - Foto PLAYEUM

Rumah terbuka Dewan Konsert Victoria

Sertakan anak-anak dalam bengkel interaktif agar mereka dapat belajar mencipta alat muzik menggunakan barangan harian.

Disyorkan untuk kanak-kanak berusia lima hingga 12 tahun, program, ‘Bagaimana Menghasilkan Muzik?’ selama 60 minit itu bertujuan memupuk kreativiti dan rasa ingin tahu mereka.

Pembimbing daripada badan amal seni, Playeum, akan mengajar kanak-kanak bagaimana tekanan, ketepatan dan bahan berbeza menyumbang kepada penghasilan bunyi, yang kemudian dijadikan muzik rancak.

Kanak-kanak boleh membawa pulang alat muzik yang mereka hasilkan dalam bengkel tersebut.

Tiket berharga $30 bagi seorang kanak-kanak dan boleh didapati di https://bh.sg/bengkel

Bengkel itu adalah sebahagian daripada pelbagai program yang diadakan di rumah terbuka Dewan Konsert Victoria anjuran Orkestra Simfoni Singapura pada 26 Mei dari 9 pagi hingga 6 petang.

Program mesra kanak-kanak lain termasuk pameran alat muzik seperti biola, serunai, trompet, kecapi dan pelbagai alat genderang.

Kanak-kanak turut berpeluang bermain alat muzik tersebut.

Maklumat lanjut boleh didapati di laman web, https://bh.sg/vch

Pentas muzikal, ‘The Gruffalo’

Terlepas teater muzikal, ‘The Gruffalo’, pada 2022? Jangan khuatir!

Disesuaikan daripada buku bergambar yang diterbitkan pada 1999 oleh pengarang British, Julia Donaldson, dan pengilustrasi Jerman, Axel Scheffler, muzikal selama 60 minit itu akan kembali ke Dewan Konsert Victoria pada 14 Jun hingga 23 Jun.

Muzikal itu mengisahkan tentang perjalanan seekor tikus di dalam hutan.

Sepanjang perjalanannya, tikus itu bertemu dengan musang, burung hantu dan ular yang kelaparan dan mahu memakannya.

Apakah nasib tikus tersebut?

Untuk mengetahui kesudahannya, saksikan muzikal ini yang sesuai ditonton keluarga dengan kanak-kanak berusia tiga tahun ke atas.

Tiket berharga dari $42 hingga $72.

Maklumat lanjut boleh didapati di laman web, https://bh.sg/muzikal

Pasar Kemampanan untuk Kanak-Kanak

Tingkatkan kesedaran anak untuk melestarikan bumi menerusi pasar kemampanan yang bakal diadakan di Marina Square pada 25 dan 26 Mei.

Pasar Kemampanan untuk Kanak-Kanak, yang julung-julung kali diadakan, dianjurkan pertubuhan tidak mencari untung, Peace of Art, dan pusat beli-belah Marina Square.

Dari 10 pagi hingga 8 malam, kanak-kanak boleh mengambil bahagian dalam pelbagai kegiatan, termasuk melihat pameran seni dan bengkel yang memberi tumpuan kepada kemampanan.

Terdapat juga jualan barangan yang dihasilkan secara mampan, serta persembahan secara langsung.

Sorotan utama acara itu adalah daya usaha, KIDSforKIDS, melibatkan kira-kira 25 gerai barangan mampan yang didiri dan diuruskan oleh kanak-kanak, dengan bantuan ibu bapa mereka.

Semua pendapatan daripada acara itu akan disalurkan untuk membantu kanak-kanak yang tinggal di flat sewa.

Dana itu akan meningkatkan program pendidikan, pengayaan dan bimbingan yang diterajui oleh program Palang Merah Singapura (SRC) yang dinamakan ‘Young Hearts’ untuk memerangi kemiskinan antara generasi.

Maklumat lanjut boleh didapati di laman web, https://bh.sg/mampan

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg